Shkodran Mustafi pemain baru menyertai Arsenal pada musim panas mula dibandingkan dengan Lagenda Arsenal, Tony Adam. Mustafi merupakan seorang Muslim yang baik dan bercita-cita untuk ke Mekah. Ikuti kisah Mustafi yang dipetik dari Utusan Online.
Pemenang Piala Dunia bernilai 35 juta pound (RM184 juta) itu, dilihat sebagai bayangan Adams yang mana patung legenda itu berdiri megah di perkarangan Emirates. Bekas kapten Gunners tersebut merupakan bintang Arsenal yang cukup dihormati dalam sejarah kelab.
Mustafi pula merupakan orang Islam yang taat, pernah meraih perhatian apabila dia enggan memulakan sidang akhbar selagi botel bir yang diletakkan di depannya tidak dialih ketika bersama bekas kelabnya Valencia.
Pemain pertahanan Jerman keturunan Albania itu bagaimanapun terpaksa juga meneruskan sidang akhbar kerana jenama bir tersebut yang merupakan penaja Valencia FC perlu kelihatan di dalam kamera televisyen.
Mustafi, yang turut ditawarkan minuman keras ketika menghadiri sebuah parti sewaktu mewakili Everton berkata: “Anda tahu, pada pengakhirannya saya menang pertarungan itu. Saya tidak mahu orang berfikir saya membantu mempromosikan minuman beralkohol tersebut.
“Akhirnya, botol itu kekal di letakkan di depan saya, tetapi kelab dan pengeluar minuman berkenaan memohon maaf kerana mereka memahami orang Islam tidak boleh mengambil alkohol. Kini di Valencia mereka menghormati pengangan agama orang lain.”
Apa yang pasti sikap tegas Mustafi itu merupakan satu kemenangan moral buat pemain berkenaan dan juga pegangan agamanya. Malah, pegangan teguh itu juga telah membantunya menjadi pemain yang semakin meraih perhatian peminat Arsenal.
Penyokong mula semakin yakin gandingan Mustafi dengan Laurent Koscielny mampu menjadi tulang belakang untuk Gunners memburu gelaran pertama Liga Perdana Inggeris sejak 2004. Bagi Mustafi, yang bersolat lima kali sehari, dia berpegang teguh kepada kepercayaannya terhadap Allah.
“Sebagai seorang muslim, solat amat penting berbanding perkara lain, walaupun kadang kala perjalanan jauh menyebabkan kesukaran saya menunaikan kewajipan itu. Kejuaraan Eropah juga menyukarkan saya, kerana berlangsung ketika bulan Ramadan dan mustahil untuk saya mengehadkan pengambilan makanan dan minuman.
“Agama amat penting buat saya dan karier. Ia banyak membantu saya. Pada akhirnya, sebagai insan seperti mana orang lain di bumi ini, saya juga mahu masuk syurga. Itu sasaran utama saya. Jika saya bermain buruk sekalipun, dunia tidak akan berakhir,” katanya yang menyimpan impian untuk ke Mekah. – AGENSI
Sumber : Utusan Online