Siapa Michael Edwards? Mengapa Liverpool Takut Kehilangan Beliau?

Bila sebut tentang kejayaan Liverpool dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, semua orang tentu akan kata ia berpunca dari kebijaksanaan Jurgen Klopp.

Walau bagaimanapun, pengurus dari Jerman itu bukanlah satu-satunya individu yang menjadi punca kepada kejayaan The Reds pada ketika ini.

Sporting director, Michael Edwards juga sebenarnya merupakan individu paling berpengaruh dalam membawa Liverpool untuk menjadi penakluk dalam dunia bola sepak hari ini.

Beliau dilantik menjadi director pada tahun 2016 yang lalu, dan beliau jugalah yang membantu kejayaan serta kecemerlangan Liverpool era Jurgen Klopp.

Michael Edwards tidak dinafikan lagi merupakan manusia terpenting untuk kelab pada ketika ini, dengan beliau berjaya mengubah kedunguan barisan ‘transfer committee’ The Reds di bawah kelolaan Brendan Rodgers menjadi antara yang terbaik dalam dunia bola sepak.

Beliau sering dipuji atas kerja kerasnya dibelakang tabir, dengan The Athletic baru-baru ini mendakwa yang sporting director The Reds itu dijangka akan meninggalkan kelab selepas lima tahun menjalankan tugasnya dengan sempurna di Anfield.

Para peminat selepas mendengar hal tersebut dengan segera mendesak pimpinan kelab supaya melanjutkan kontrak Edwards dan jangan biarkan beliau pergi.

Peminat di media sosial bahkan turut melaungkan slogan #FSGOUT kerana tidak berbuat apa-apa ketika Edwards mahu mengundurkan diri.

“Hal yang paling menyedihkan untuk kelab, kalau FSG lepaskan dia, saya rasa dia bakal berdepan dengan kecaman teruk dari peminat.”

“Saya betul-betul menyampah dengan FSG, dia sebenarnya langsung tak tahu apa fungsi dan peranan dia, jadi untuk apa dia masih kekal?”

“Jujurnya ia sangat menyedihkan untuk mendengar yang Michael Edwards bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini dan saya sejujurnya meragui yang kita boleh dapat calon pengganti lebih baik darinya.”

“Era kecemerlangan Liverpool sepertinya bakal tiba ke penghujungnya.”

Siapa penandatanganan terbaik Michael Edwards?

Beliau berjaya membawa Sadio Mane dan Mo Salah ke Anfield dengan yuran perpindahan bernilai £69 juta sahaja untuk kedua-dua pemain tersebut.

£69 juta untuk kedua-dua pemain yang kini setiap seorang dari mereka boleh dijual dengan yuran perpindahan bernilai lebih dari £80 juta. Bukankah itu bijak?

Pada musim panas 2016 dan 2017, kedua-dua mereka tidak dilihat sebagai pemain bertaraf dunia, namun dengan corak permainan Klopp dan kesesuaian mereka dalam percaturan pengurus Jerman itu, kedua-dua pemain itu menjadi antara pemain terhebat dunia pada ketika ini.

Andy Robertson (£8 juta) dan Gini Wijnaldum (£25 juta) telah ditandatangani selepas kedua-dua mereka tersingkir dari saingan Premier League bersama pasukan masing-masing

Kedua-dua mereka kemudiannya menjadi pemain terpenting Liverpool dan dianggap sebagai barisan pemain terhebat dunia pada ketika ini.

Siapa sangka mereka bakal memegang status bintang pada hari ini dengan mereka sebenarnya sebahagian dari pasukan yang tersingkir dari saingan Premier League.

Kebijaksanaan Michael Edwards dalam mencari pemain yang sesuai dengan sistem dan corak permainan Klopp tidak boleh dinafikan.

Penandatanganan Virgil Van Dijk dan Alisson Becker mungkin dianggap terlalu mahal, namun melihat kepada impak kedua-dua pemain tersebut, ia sebenarnya pelaburan yang sangat berbaloi.

Van Dijk kini menjadi pertahanan terhebat dunia dan beliau juga merupakan nadi penting yang membantu Liverpool memenangi pelbagai kejuaraan dalam tempoh tiga musim terakhir ini.

Begitu juga dengan Alisson Becker, yang kini dianggap antara penjaga gol terhebat dunia dan turut menjadi nadi penting sebalik kejayaan The Reds.

Fabinho juga merupakan pemain yang berjaya dibawa masuk oleh Michael Edwards dengan beliau bijak membuat kerja dalam diam sahaja.

Tiada siapa sedar kehadiran Fabinho ke bumi Anfield sehinggalah pada hari beliau ditandatangani, dan pemain kebangsaan Brazil itu juga merupakan pemain terbaik Liverpool pada ketika ini.

Penjualan terbaik yang dilakukan oleh Michael Edwards

Selain bijak mencari pemain yang sesuai dengan kelab, Edwards juga sangat licik dalam membantu kelab mencari keuntungan berganda.

Dominic Solanke dan Rhian Brewster kedua-duanya dijual dengan nilai lebih £20 juta walaupun mereka sebelum itu tidak begitu berfungsi bersama skuad utama.

Kedua-dua pemain itu juga ketika ini sedang bermain dalam saingan Championship dan bayangkan bagaimana kelab bawahan yang sering mengaut keuntungan dari penjualan pemain boleh melabur untuk membeli pemain kelas kedua dari Liverpool.

Jelas sekali ia kerana kebijaksanaan Michael Edwards yang meyakinkan kelab-kelab tersebut untuk membeli pemain yang sememangnya tidak diperlukan oleh kelab itu.

Tidak dilupakan juga bagaimana liciknya beliau menjual Philippe Coutinho ke Barcelona dengan yuran perpindahan bernilai £142 juta.

Beliau bahkan turut memasukkan pelbagai klausa yang membantu Liverpool mengaut keuntungan dari penjualan pemain kebangsaan Brazil itu.

Hasil dari penjualan Coutinho, Liverpool mampu membeli pemain seperti Alisson, Van Dijk dan Fabinho dengan kesemua tiga pemain itu berjaya menghasilkan kejayaan untuk kelab.

Kedua-dua Danny Ings dan Mamadou Sakho juga turut berjaya dijual dengan yuran perpindahan yang sangat tinggi, walaupun mereka sebenarnya sering dibelenggu masalah kecederaan ketika beraksi bersama Liverpool.

Kemampuan beliau dalam melakukan rundingan teramat sangatlah dikagumi dan kerana itulah para penyokong Liverpool terkesan dengan berita bahawa Michael Edwards mahu meninggalkan kelab.

Sumber: GMS

BACA:  Peminat Percaya Emak Mbappe Beri Hint Mbappe Akan Ke Liverpool