Sikap Terpuji Lionel Messi Menjaga Dan Mengutamakan Isterinya Berhak Untuk Dikagumi

Lionel Messi menunjukkan sikap terpuji dengan melindungi dan menjaga hati isteri tercintanya ketika dalam perjalanan masuk untuk acara penyampaian anugerah Ballon D’or di Paris semalam.

Isteri beliau disuruh ketepi oleh pegawai France Football dengan Messi tidak gembira melihat hal itu, serta menolak untuk membenarkan hal itu berlaku.

Beliau berjaya memenangi anugerah Ballon D’or ketujuh peribadinya, menjadikan beliau pemain pertama dalam dunia bola sepak yang memiliki tujuh koleksi bola emas di kabinetnya.

Messi menewaskan pesaing terhebatnya, Robert Lewandowski, Jorginho, Karim Benzema dan N’Golo Kante untuk memenangi anugerah tersebut, yang disampaikan sendiri oleh sahabat karibnya, Luis Suarez.

Sebelum acara bermula, para pemain seperti kebiasaannya akan berjalan di laluan karpet merah dengan pihak media seluruh dunia akan mengambil gambar mereka.

Messi bersama isterinya, Antonella dan anak-anaknya, Thiago, Mateo dan Ciro yang memakai suit yang sama seperti ayahnya turut berjalan di laluan tersebut.

Namun terdapat satu rakaman yang sedang tular di media sosial pada ketika ini, yang memperlihatkan bagaimana pengarah France Football meminta Antonella untuk bergerak ke tepi.

Beliau menyuruh Antonella untuk ke tepi sambil menunjuk ke hadapan, mungkin memberi isyarat kepada isteri Messi itu agar masuk terlebih dahulu.

Hal ini kerana beliau mungkin mahu bergambar bersama Messi dan tiga anaknya sahaja kerana mereka semuanya memakai warna pakaian yang sama.

Antonela kemudiannya memenuhi permintaan dari pengarah France Football itu dan beliau mula bergerak untuk masuk terlebih dahulu.

Namun Messi segera memanggil beliau semula dan mengajak isterinya itu untuk mengambil lebih banyak gambar bersama, dengan pemenang tujuh kali anugerah Ballon D’or itu nampak tak gembira dengan hal tersebut.

Ia jelas sekali satu tindakan yang sangat terpuji, dan membuktikan yang Messi sebenarnya sangat menjaga hati isterinya dan sentiasa mahu cinta matinya itu berada di sisi beliau.

Messi bersama isteri tercintanya itu mula menjalin kasih sejak sembilan tahun yang lalu, dengan kedua-dua mereka diperkenalkan oleh sepupu kepada Antonella, Lucas Scaglia, yang juga rakan sepasukan Leo ketika beraksi bersama Newell’s Old Boys.

Antonella boleh dikatakan sentiasa ada bersama Messi setiap kali bintang Argentina itu menerima anugerah Ballon D’or, dan setiap kali itu jugalah akan ada ucapan terima kasih tak terhingga dari seorang suami, kepada seorang isteri di atas pentas.

Semalam, selain mengucapkan terima kasih kepada isterinya, Messi turut memberi ucapan khas kepada Robert Lewandowski, yang berada di kedudukan kedua dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or tahun ini.

Messi sendiri turut sedar yang kemenangan Lewandowski telah dirompak dengan beliau meminta agar France Football memberikan anugerah tersebut kepada bintang Bayern tersebut, kerana beliau berhak menang pada tahun lalu.

Anugerah Ballon D’or pada tahun 2020 telah dibatalkan kerana dunia dilanda pandemik, dengan Lewandowski merupakan individu paling layak untuk memenangi anugerah itu pada tahun lalu.

Kerana itu jugalah Messi meminta agar France Football tetap menyerahkan anugerah tersebut kepada Lewandowski walau ia sudah dibatalkan pada tahun lalu.

“Robert, kamu berhak untuk terima anugerah Ballon D’or kamu.”

Jelas Messi.

“Tahun lalu, semua orang bersetuju yang kamu merupakan calon paling layak untuk memenangi anugerah paling berprestij ini.”

Bintang Paris Saint Germain itu kemudiannya menambah lagi.

“Hari ini saya di sini di Paris. Saya sangat gembira, sangat-sangat gembira, saya benar-benar mahu terus berjuang dan mencapai objektif yang lebih besar.”

“Saya tak tahu berapa tahun lagi, tapi saya benar-benar sedang menikmati hidup saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya di Barcelona, PSG dan Argentina.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Koeman Tak Kisah Jika Benar PSG Tawarkan Messi Kontrak