Simeone Berang Dengan Keputusan Pengadil Yang Tidak Konsisten

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone meluahkan perasaan kecewanya dengan keputusan pengadil yang tidak konsisten selepas melihat Diego Costa dibuang padang ketika pertemuan penting menentang Barcelona semalam.

Atletico Madrid memerlukan kemenangan untuk mencerahkan peluang mereka mengejar Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga musim ini.

Simeone mempersoalkan keputusan pengadil yang tidak konsisten walaupun melakukan kesalahan yang sama

Walau bagaimanapun, situasi menjadi sukar buat anak buah Simeone apabila bekas penyerang Chelsea, Diego Costa dilayangkan kad merah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil.

Walaupun bermain 10 orang untuk satu tempoh yang lama, Atletico Madrid bertahan dengan sangat baik dan ia menyukarkan Barcelona untuk mencari gol.

Kekentalan bahagian pertahanan Atletico Madrid akhirnya terkubur apabila Luis Suarez berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-85. Beliau merembat kencang dari sebelah kiri kotak penalti untuk menewaskan Jan Oblak.

Selang seminit kemudian, giliran penyerang prolifik Barcelona, Lionel Messi untuk menghukum Atletico Madrid. Kali ini Messi mudah menolak masuk bola ke dalam gawang Atletico Madrid selepas memperdayakan beberapa orang pemain.

Costa mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menerima kad merah

Tetapi insiden yang menjadi penentu perlawanan sudah tentu adalah layangan kad merah terhadap Diego Costa pada minit ke-28. Costa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil bertugas, Jesus Gil Manzano.

Simeone yang berang dengan keputusan pengadil tersebut mengeluarkan statistik layangan kad merah terhadap pasukannya ketika berkunjung ke Nou Camp dalam beberapa musim kebelakangan ini.

“Dalam 11 perlawanan kami di sini, kami telah menerima 7 layangan kad merah. Kami mungkin melakukan sesuatu yang salah.”

“Saya bertanya kepada pengadil dan pengadil beritahu sesuatu yang Costa cakap dia tidak sebut. Jika betul Costa ada mengeluarkan kata-kata kesat, beliau layak menerima kad merah.”

Costa ditenangkan rakannya

“Tetapi pemain lain juga ada mengeluarkan kata-kata kesat tetapi pengadil tidak menghantar mereka keluar. Saya melihatnya sendiri dan pengadil tidak memberikan kad merah.”

“Tetapi saya tidak menyokong tindakan Costa. Jika pengadil membuat penilaian Costa ada melakukan cacian, beliau patut menerima kad merah. Tetapi keputusan seperti ini tidak berlaku terhadap semua pemain.”

Dengan kekalahan ini,  Atletico Madrid kini ketinggalan 11 mata di belakang Barcelona dengan baki 7 lagi perlawanan. Mereka berada di tempat ke-2 sekarang, 2 mata di hadapan musuh setempat Real Madrid yang turut meraih kemenangan semalam.

Walaupun impian untuk bergelar juara La Liga semakin samar, Simeone berkata cabaran musim ini untuk Atletico Madrid masih belum berakhir.

“Musim kami masih belum tamat. Kami perlu memenangi seberapa banyak mata yang boleh. Saya sangat menghargai kejayaan pasukan ini memenangi European Supercup. Dan sekarang kami akan berjuang untuk menamatkan kempen musim ini di tempat ke-2.”

BACA:  Pique Minta Bantuan Staff Untuk Lakukan 'Guard of Honour' Selepas Tamat Perlawanan