Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson pernah memberitahu John Obi Mikel yang beliau akan menyesal dengan keputusannya untuk menolak tawaran Manchester United bagi menyertai Chelsea.
Mikel berkata Ferguson sangat marah dengan tindakan beliau yang melakukan pusingan ‘U’ pada saat akhir sekitar tahun 2006. Pemain antarabangsa Nigeria ini telah menjalani tempoh percubaan bersama Red Devils dan Ferguson berjaya meyakinkan kelab Mikel ketika itu, Lyn Oslo untuk membawanya ke Old Trrafford.
Sampai satu tahap, Mikel telah memakai baju Manchester United pada satu sidang media. Malang buat Manchester United kerana Mikel mengubah keputusan pada saat terkahir dan memilih untuk menyertai Chelsea yang pada ketika itu dibimbing Jose Mourinho.
Pemain berusia 30 tahun ini telah bermain selama 9 tahun bersama The Blues, memenangi 2 kejuaraan Liga Perdana Inggeris, 4 Piala FA dan 1 Liga Juara-Juara Eropah. Ketika memberitahu keputusannya kepada Ferguson, pengurus berasal dari Scotland itu telah memberitahu beliau akan menyesal kerana membuat keputusan tersebut.
“Saya seperti sedang bermimpi ketika itu. Saya berada di sekolah, dan 2 kelab terbesar di dunia, Chelsea dan Manchester United sedang berusaha untuk menandatangani saya. Saya tidak akan lupakan pertemuan kedua saya bersama Sir Alex Ferguson.
Saya telah menandatangani perjanjian bersama Manchester United tetapi saya terpaksa memberitahu beliau yang saya mahu bermain dengan Chelsea.”
“Beliau mesra dengan saya tetapi selepas keputusan tersebut, saya boleh melihat perasaan marah dan kecewa pada raut wajahnya.”
Mikel turut memberitahu Ferguson ada cuba memujuk beliau untuk tidak berpindah ke Stamford Bridge dan Mikel sendiri teragak-agak dengan keputusannya selepas itu. Walaubagaimanapun, beliau tetap dengan pendiriannya dan Ferguson menjadi semakin marah.
“Ada beberapa perkara yang Ferguson beritahu saya supaya menukar keputusan berpindah ke Chelsea tetapi saya juga memikirkan peluang untuk bermain di bawah Jose Mourinho. Saya mempunyai dua pengurus terbaik dunia berebut untuk mendapatkan khidmat saya dan saya tidak tahu apa yang patut dibuat.”
“Ferguson memberitahu saya, mengapa kamu menolak Manchester United? Ia adalah kelab terbesar di dunia dan kamu tidak boleh melakukan perkara tersebut. Kamu mesti menerima tawaran kami. Sebagai pemain bolasepak, kamu harus membuat keputusan yang bakal memberi kesan sepanjang hayat anda.”
Perpindahan Obi Mikel ke Chelsea merupakan satu isu yang panas ketika itu kerana kedua-dua kelab berkata pemain ini telah menandatangani perjanjian bersama kelab masing-masing. Selepas mengetahui pilihan Mikel yang mahu menyertai Chelsea, The Blues mengadakan perbincangan dengan Lyn Oslo dan Manchester United bagi membincangkan urusan perpindahan Mikel.
Pada Jun 2006, satu bayaran ganti rugi dipersetujui antara 3 kelab terlibat untuk menyelesaikan masa depan pemain ini. Manchester United bersetuju untuk membatalkan perjanjian awal yang dimeterai mereka bersama Mikel. Lyn Oslo pula bersetuju untuk memindahkan pendaftaran Mikel ke Chelsea.
Chelsea terpaksa membayar £12juta kepada Manchester United dan Lyn Oslo pula menerima £4juta hasil perbincangan antara ketiga-tiga buah kelab. Segala dakwaan terhadap Mikel dari Lyn Oslo dan Manchester United juga ditarik balik selepas Chelsea membayar duit pampasan.