Sir Jim Ratcliffe berkata beliau akan berundur dari Manchester United jika gagal mengubah prestasi kelab itu, tetapi beliau yakin mereka berada di landasan yang betul.
INEOS, syarikat milik Ratcliffe mengambil alih operasi bola sepak kelab tersebut pada Februari 2024 selepas membeli pegangan minoriti daripada keluarga Glazer.
Namun, pengambilalihan itu belum membawa perubahan besar dalam prestasi pasukan. United menamatkan musim lalu di tangga ke-8 Liga Perdana, kedudukan terendah mereka sejak 34 tahun. Pada musim ini, mereka berada di tangga ke-14 selepas memecat Erik ten Hag pada Oktober dan menggantikannya dengan Ruben Amorim.
Jika mereka gagal memperbaiki kedudukan liga, ia akan menjadi pencapaian terburuk sejak penyingkiran ke Divisyen Kedua pada tahun 1974. Sekarang Liga Europa menjadi satu-satunya peluang realistik mereka untuk layak ke pertandingan Eropah pada musim depan.
Di luar padang, Ratcliffe juga kurang popular dalam kalangan peminat selepas melaksanakan langkah penjimatan kos apabila kelab itu mengalami kerugian 5 tahun berturut-turut. Langkah penjimatan itu termasuk kemungkinan pemberhentian pekerja sehingga 450 kakitangan kelab.
Keluarga Glazer, yang mengambil alih kelab pada 2005 telah lama menjadi sasaran kemarahan penyokong kerana pengambilalihan menggunakan pinjaman serta hutang kelab yang masih membebankan sehingga kini.
Dalam beberapa bulan terakhir, penyokong turut mengalihkan kemarahan mereka kepada Ratcliffe terutamanya selepas kenaikan harga tiket. Sebahagian penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati secara langsung kepadanya selepas kemenangan United ke atas Fulham di Craven Cottage pada Januari lalu.
“Ia boleh menjadi tidak menyenangkan,” kata Ratcliffe kepada The Times. “Jika saya perlu menanggung sedikit kemarahan penyokong, saya boleh menerimanya. Tetapi saya juga manusia biasa. Ia tidak menyeronokkan terutamanya bagi keluarga dan rakan-rakan saya.
“Jadi, jika keadaan menjadi seteruk apa yang dialami keluarga Glazer, saya mungkin akan berkata, ‘Cukuplah, biar orang lain yang ambil alih.’ Keluarga Glazer sendiri sudah tidak boleh datang ke perlawanan. Mereka lebih banyak menyepi sekarang, jadi sayalah yang menerima segala kritikan.”
“Sejujurnya, jika saya gagal, saya akan berundur,” tambahnya. “Tetapi saya tidak fikir saya akan gagal. Sebaik sahaja kami mula bermain bola sepak dengan baik dan mula menang, segalanya akan berubah.”
Manchester United akan kembali beraksi menentang Leicester City pada hari ini.