Skandal Ciuman Di Piala Dunia Wanita 2023: Kejatuhan Luis Rubiales

Kontroversi Ciuman di Piala Dunia Wanita 2023: Kes Luis Rubiales dan Implikasinya

Ketika Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales mencium salah seorang pemain pasukan kebangsaan selepas kemenangan mereka dalam Piala Dunia Wanita 2023, dunia dikejutkan dengan insiden itu.

Bagi penyerang Sepanyol, Jenni Hermoso dan rakan sepasukannya kejayaan ini sepatutnya menjadi detik paling membanggakan dalam karier mereka. Sebelum itu Sepanyol tidak pernah memenangi Piala Dunia Wanita. Namun kegemilangan mereka dibayangi oleh tindakan Rubiales serta reaksi pihak sekelilingnya.

Dalam tempoh tiga minggu selepas kejadian, Hermoso diancam dengan tindakan undang-undang oleh RFEF. Rubiales akhirnya meletakkan jawatan. Ketua jurulatih pasukan, Jorge Vilda dipecat. Seramai 81 pemain Sepanyol mengumumkan mereka tidak akan mewakili negara selagi kepimpinan RFEF tidak berubah.

Bermula 3 Februari 2025, Rubiales akan dibicarakan selama 13 hari atas dakwaan serangan seksual dan paksaan terhadap Hermoso. Beliau menegaskan bahawa ciuman itu berlaku dengan sukarela namun pihak pendakwa raya berpendapat sebaliknya dan mendakwa terdapat usaha untuk memaksa Hermoso bersetuju dengan versi Rubiales selepas kejadian.

Turut didakwa ialah Vilda, bekas pengarah sukan pasukan lelaki Sepanyol, Albert Luque, dan bekas pengarah pemasaran RFEF, Ruben Rivera. Pendakwa raya memohon hukuman penjara dua tahun enam bulan terhadap Rubiales (setahun bagi serangan seksual dan 18 bulan bagi kesalahan paksaan) serta 18 bulan untuk tiga tertuduh lain atas dakwaan paksaan. Keempat-empat mereka menafikan sebarang salah laku.

Kejadian Ciuman dan Reaksi Awal

Pada 20 Ogos 2023, Sepanyol menewaskan England 1-0 di Stadium Australia, Sydney hasil jaringan Olga Carmona untuk meraih kejuaraan Piala Dunia Wanita pertama. Semasa majlis penyampaian medal, Rubiales berdiri di podium memberi penghormatan kepada setiap pemain Sepanyol.

Apabila tiba giliran Hermoso, Rubiales memeluk, memegang kepalanya dengan kedua-dua tangan dan mencium bibir Hermoso.

Ketika menonton rakaman kejadian itu bersama rakan sepasukan dalam siaran langsung di Instagram, Hermoso berkata:

“Ya, itu berlaku… tapi saya tidak menyukainya tapi apa boleh saya buat?”

Pada mulanya, media Sepanyol tidak memberi perhatian serius terhadap insiden itu tetapi kecaman terhadap Rubiales mula meningkat termasuk dari bekas Menteri Kesaksamaan Sepanyol, Irene Montero yang menyifatkannya sebagai “keganasan seksual”.

Pada malam yang sama, Rubiales mempertahankan tindakannya dalam satu temu bual radio. Dia mengatakan ciuman itu adalah “sekadar tanda kegembiraan antara dua rakan” dan menggelar pengkritiknya sebagai “bodoh”, “kalah” dan “bangang”.

Sementara itu, Hermoso berkata dalam program yang sama bahawa dia tidak menyukai kejadian itu tetapi menganggapnya sekadar anekdot. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh RFEF mendakwa Hermoso menyatakan bahawa ciuman itu berlaku secara spontan dan tanda persahabatan. Kenyataan kemudiannya dinafikan oleh sumber yang rapat dengan pemain itu.

Rubiales turut dikecam kerana meraikan kemenangan dengan memegang kemaluannya di dalam kawasan VIP stadium di hadapan Ratu Letizia dan puterinya, Sofia yang berusia 16 tahun.

Dakwaan Paksaan dan Tekanan terhadap Hermoso

Dalam penerbangan pulang ke Madrid, Rubiales didakwa cuba memaksa Hermoso mengeluarkan kenyataan bahawa ciuman itu berlaku dengan sukarela. Dalam dokumentari The Kiss That Changed Spanish Football di Netflix, rakan sepasukan Hermoso mendakwa Vilda mendekati keluarga Hermoso di dalam pesawat dan meminta mereka mempengaruhi Hermoso untuk menyokong Rubiales sambil memberi amaran kariernya boleh terjejas jika tidak berbuat demikian.

Ketika singgah di Doha, Rubiales merakamkan kenyataan video, menyebut bahawa dia menyesali “kesilapan” yang dilakukan tetapi menegaskan ciuman itu adalah sesuatu yang “semula jadi dan biasa”.

Luque pula didakwa menghantar mesej kepada Hermoso dan seorang rakannya, meminta mereka membantu Rubiales. Sementara itu, Rivera dituduh cuba meyakinkan Hermoso agar menghubungi jabatan integriti RFEF dan mengatakan bahawa tiada apa-apa yang berlaku.

Kesan dan Kejatuhan Rubiales

Setibanya di Madrid, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez menggesa Rubiales meletakkan jawatan. Liga Bola Sepak Wanita Sepanyol (Liga F) turut mengecam kelakuannya.

Pada 25 Ogos, Rubiales mempengerusikan mesyuarat tergempar RFEF. Disitu dia berulang kali menegaskan, “Saya tidak akan meletak jawatan”, sambil menuduh pengkritiknya sebagai “feminis palsu”. Ucapannya mendapat tepukan gemuruh daripada ramai pegawai RFEF termasuk Vilda dan ketua jurulatih pasukan lelaki Sepanyol, Luis de la Fuente. La Fuentes kemudiannya meminta maaf atas tindakannya.

Tindakan ini mencetuskan gelombang bantahan. Seramai 81 pemain Sepanyol termasuk Hermoso mengumumkan mereka tidak akan bermain untuk pasukan kebangsaan selagi kepimpinan RFEF tidak berubah. Hermoso menegaskan bahawa kenyataan Rubiales adalah palsu dan ciuman itu tidak pernah berlaku dengan sukarela.

Pada 26 Ogos, FIFA menggantung Rubiales daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 90 hari dan mengarahkannya supaya tidak menghampiri Hermoso. Namun RFEF terus mengeluarkan kenyataan mempertahankan Rubiales dan mengancam tindakan undang-undang terhadap Hermoso jika dia terus “menyebarkan pembohongan”.

Tiga hari kemudian, ibu Rubiales memulakan mogok lapar di sebuah gereja di Motril untuk mendesak Hermoso mengubah kenyataannya. Dia akhirnya dibawa ke hospital selepas tiga hari mogok.

Pada 10 September, Rubiales akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu temu bual bersama Piers Morgan. Dia mendakwa bahawa ciuman itu adalah “tindakan bersama” dan dia sudah pun meminta izin Hermoso terlebih dahulu.

Proses Perbicaraan

Pendakwa raya Sepanyol membuka siasatan terhadap Rubiales pada 28 Ogos 2023 dan Hermoso kemudian membuat laporan rasmi di mahkamah tinggi Sepanyol, Audiencia Nacional. Pada Januari 2024, mahkamah mendapati terdapat bukti bahawa ciuman itu “tidak dilakukan dengan persetujuan”.

Perbicaraan bermula pada 3 Februari 2025 di Madrid. Seramai 27 saksi termasuk rakan sepasukan Hermoso dan pegawai RFEF dijangka memberi keterangan di hadapan hakim tunggal, José Manuel Clemente.

Kesimpulan

Kes ini bukan sekadar soal tindakan individu tetapi melibatkan isu lebih besar dalam bola sepak Sepanyol termasuk budaya patriarki dan penyalahgunaan kuasa. Walaupun Rubiales kini berdepan tindakan undang-undang, kesannya terhadap bola sepak wanita dan reformasi institusi sukan Sepanyol masih belum dapat dipastikan.

Artikel asal dari Dermot Corringan
BACA:  FutPro Dan TMJ Mahu Presiden RFEF Cium Pemain Wanita Diambil Tindakan