Skuad Juventus Teruk ‘Dihamun’ Peminat Selepas Aksi Kekalahan 1-0 Bertemu Atalanta

Para pemain Juventus dianggap tak ada telur oleh para penyokong selepas mereka berdepan dengan kekalahan demi kekalahan sepanjang musim ini.

Selepas diaibkan dengan kekalahan memalukan 4-0 bertemu Chelsea dalam aksi saingan Champions League, Juventus meneruskan rentak kekalahan mereka selepas tewas 1-0 di tangan Atalanta awal pagi tadi.

Kekalahan memalukan bertemu Atalanta dalam saingan Serie A itu menyebabkan pengurus kelab, Max Allegri berdepan dengan kecaman, hinaan, makian dan cacian dari para peminat.

Rasa marah penyokong melihat mereka dibelasah teruk ketika bertemu Chelsea masih belum hilang, skuad Juventus tambah lagi api kemarahan itu dengan membenarkan pasukan lawan mencipta rekod mencatat kemenangan pertama di Turin.

Alasan sudah mengesahkan tempat beraksi di pusingan kalah mati mungkin boleh digunakan oleh Juventus sebagai alasan mereka tewas di tangan Chelsea dalam saingan Champions League.

Namun untuk kekalahan bertemu Atalanta, mereka sepertinya sudah tiada alasan lain untuk digunakan dengan para peminat sudah mula memaki hamun kelab kerana mempamerkan aksi persembahan yang sangat mengecewakan.

Hantaran mengarut dari Alvaro Morata berjaya dipintas oleh Berat Djimsiti pada minit ke-28, dengan pemain pertahanan Albania itu segera melorongkan bola mencari Duvan Zapata.

Dek kerana Matthijs de Ligt sedikit off position, beliau secara tidak langsung membenarkan Zapata untuk berada dalam kedudukan offside dan membawa bola untuk menewaskan Wojciech Szczesny.

Juventus meninggalkan padang pada aksi babak pertama untuk mencari semangat baru dalam usaha mereka untuk melakukan comeback.

Namun malang untuk Juve, aksi babak kedua jelas sekali tidak memihak kepada mereka, dengan skuad nyonya tua kehilangan khidmat dua pemain penting mereka musim ini, Federico Chiesa dan Weston McKennie yang terpaksa dikeluarkan kerana masalah kecederaan.

Wisel penamat dibunyikan dengan Atalanta berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 menewaskan Juventus, seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka untuk berada di tempat keempat dalam carta saingan Serie A.

Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama Atalanta bertemu Juventus di halaman lawan sejak dari tahun 1989 dahulu.

The Old Lady kini berada di kedudukan keenam dalam carta liga, dan berpotensi untuk jatuh ke kedudukan ketujuh seandainya Bologna mencatat kemenangan bertemu Spezia malam ini.

Allegri kembali menjadi pengurus Juventus pada musim ini, selepas beliau meninggalkan kelab pada tahun 2019 yang lalu.

Sepanjang lima tahun bersama The Old Lady sebelum ini, Allegri berjaya membantu kelab memenangi lima kali gelaran Serie A, dan juga beberapa kejuaraan lain.

Beliau walau bagaimanapun gagal untuk mengendalikan Juventus dengan baik ketika karier duanya kali ini, selepas The Old Lady mengharungi aksi awal musim yang sangat mengecewakan.

Kekalahan bertemu Atalanta secara tidak langsung menambah lagi beban dan tekanan untuk Max Allegri dengan para penyokong sepertinya sudah mula hilang sabar.

Ketika para pemain Atalanta berpesta meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan ini, pemain-pemain Juventus dilihat meninggalkan padang dengan penuh kedukaan.

Hanya de Ligt, Szczesny, Paulo Dybala, Leonardo Bonucci dan Juan Cuadrado sahaja yang berani menghadap penyokong untuk meminta maaf selepas tamat perlawanan tersebut.

Ketika mereka mengharap para penyokong, yang mereka terima hanyalah chanting berunsur hinaan dan makian dari penyokong kepada para pemain.

Para penyokong Juventus menganggap pemain-pemain Juventus tak ada telor dan meminta mereka jadi lebih jantan selepas berdepan dengan deretan kekalahan.

Juventus menjual pemain terbaik mereka pada musim lalu, Cristiano Ronaldo kepada Manchester United dengan yuran perpindahan bernilai £12.86 juta.

Walau Ronaldo dianggap sebagai beban kelab, namun selepas kehilangan beliau, Juventus kini seolah-olah hilang pemain yang pandai menjaringkan gol.

Rekod jaringan yang mereka catatkan teramat teruk dengan ramai peminat yang mula mempertikaikan bagaimana Ronaldo mampu menjadi penjaring terbanyak musim lalu, ketika beliau dikelilingi 10 kayu mati di atas padang.

Juventus hanya mampu menjaringkan 18 gol sahaja dalam saingan Serie A, dengan ia dianggap antara rekod terburuk dalam sejarah penubuhan kelab.

Penjaring terbanyak kelab pada ketika ini adalah Paulo Dybala yang baru sahaja menjaringkan tiga gol sepanjang musim ini dalam saingan Serie A.

Jarak antara Juventus dengan empat pasukan teratas dalam saingan Serie A juga dilihat semakin jauh dan mereka berpotensi untuk langsung tidak bermain di pentas Eropah pada musim hadapan.

Para penyokong sudah tidak mampu bersabar lagi dengan melihat keadaan Juventus yang semakin teruk pada ketika ini.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Ronaldo Hanya Berminat Sertai Kelab Besar, Bukan Bersara Di Asia