Pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling mendedahkan keputusan Jose Mourinho untuk meletakkan dua penyerang ketika perlawanan menentang Arsenal adalah titik paling penting yang membantu Red Devils menjinakkan The Gunners di stadium Emirates.
Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi semalam, Manchester United berjaya menewaskan Arsenal dengan jaringan 3-1 untuk terus menekan pendahulu liga, Manchester City dengan hanya ketinggalan 5 mata di belakang tetapi The Citizens masih lagi belum turun beraksi minggu ini. Kemenangan ini juga menjarakkan kedudukan diantara pasukan Mourinho dan Arsenal menjadi 7 mata.
Manchester United bermula dengan garang dalam perlawanan tersebut dengan mendahului pihak lawan dengan dua jaringan tanpa balas seawal minit ke-11, hasil jaringan Jesse Lingard dan Antonio Valencia.
Gol-gol ini berjaya dijaringkan selepas barisan serangan Manchester United berjaya menekan Laurent Koscielny dan Shkodran Mustafi untuk melakukan kesilapan.
Arsenal dilihat menguasai keseluruhan perlawanan tetapi gagal mengekang serangan balas Manchester United walaupun pada satu ketika berjaya merapatkan jurang melalui jaringan Alexander Lacazette, tetapi Lingard sekali lagi muncul duri dalam daging buat barisan pertahanan Arsenal dengan mudah menolak masuk gol ke-3 United dan ke-2 peribadi.
Chris Smalling yang diturunkan dalam kesebelasan utama semalam berkata keputusan Mourinho untuk menurunkan Romelu Lukaku dan Anthony Martial dihadapan Lingard adalah kunci utama kemenangan mereka dalam perlawanan terbabit.
“Saya berpendapat kami meneruskan aksi cemerlang kami selepas perlawanan Watford, dan dengan sistem yang dimainkan sekarang, kami mampu meletakkan dua penyerang dalam satu masa.”
“Arsenal selalunya berdepan dengan pasukan yang bermain dengan sistem satu penyerang. Dalam perlawanan tersebut, kami meletakkan dua penyerang untuk menekan mereka dan mereka kelihatan seperti tidak selesa dengan perkara tersebut.”
“Saya rasa perlawanan tersebut adalah bagus untuk penonton, dan juga kami sebagai pemain. Aksi tanpa henti sepanjang perlawanan, dan apabila kami menjaringkan dua gol awal, kami tahu Arsenal perlu terus menyerang dan ia membuatkan perlawanan tersebut menjadi menarik untuk ditonton.”
Smalling turut sempat memuji barisan pertahanan Manchester United yang kental bertahan terutamanya selepas Paul Pogba diperintahkan keluar padang selepas terjahan bahaya ke atas Hector Bellerin.
“Saya rasa pertahanan mampu bermain dengan baik kerana taktikal dan mental yang kuat. Mereka mungkin telah meletakkan 4 penyerang di atas padang untuk mendapatkan sesuatu dari perlawanan tersebut. Seluruh pasukan termasuk bahagian serangan memainkan peranan penting dalam menjaga setiap pemain lawan.”