SMK Tengku Ampuan Jemaah Ungguli Kategori Bawah 14 tahun Trio Impian Liga Perangsang Selangor Daerah Klang 2017

16 September 2017 – Kompleks Rakan Muda Klang

Regu A SMK Tengku Ampuan Jemaah (SMKTAJ) telah membuktikan bahawa mereka adalah regu yang perlu dihormati sepaktakraw bagi kategori bawah 14 tahun bagi daerah Klang menerusi program Trio Impian Liga Perangsang Selangor 2017.

Pemain yang berusia 14 tahun dari regu ini sangat menonjol sejak awal permainan dengan aksi memukau dan meletakkan mereka sebagai calon pilihan juara sejak awal lagi terutamanya apit kiri mereka iaitu Haikal yang mempamerkan permainan yang cukup matang.

Regu SMKTAJ bawah 14 tahun ini adalah pelatih Pusat Latihan Daerah (PLD) Kelang dan menajalani latihan di bawah pimpinan En. Azizie Mokhtar dan di sekolah berkenaan terdapat hampir 30 pelatih berusia dari 13 hingga 17 tahun.

Regu SMKTAJ telah menundukkan regu SMK Seksyen 11 dengan perlawanan yang sengit yang memakan masa hampir 30 minit. Kemenangan ini membolehkan regu SMKTAJ membawa pulang hadiah kemenangan yang berupa wang tunai RM100 dan medal beserta sijil penyertaan.

Trio Impian adalah salah satu program pembangunan sepaktakraw yang dijalankan oleh komuniti sepaktakraw terbesar di Malaysia iaitu Masyarakat Bolarotan (MBR).

Bagi edisi ini, En. Mohd Fauzi Mohd Nasir iaitu guru kaunseling di SMK Dato Hamzah telah bertindak selaku Pengurus Projek dibantu oleh penggiat sepaktakraw dari sekitar Klang.

Edisi kedua Trio Impian Liga Perangsang Selangor 2017 yang berlangsung pada 16 – 17 September lalu yang bertempat di Kompleks Rakan Muda Klang telah berjaya menarik hampir 200 orang peserta dari pelbagai latar usia.

Ini antara pencapaian terbaik Trio Impian setakat ini dengan pendekatan kali ialah mengumpulkan bakat dari usia muda sehingga ke kelompok veteran.

Selaras dengan misi Sports For All, program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini berlangsung hebat dengan dimulakan dengan Bengkel Kepengadilan Muda pada 15 September 2017 dilokasi sama.

Misi bengkel ini ialah memberikan kefahaman kepada pemain muda mengenai keperincian teknikal dan undang – undang permainan sepaktakraw sekaligus melatih pemain dibawah usia 18 tahun untuk menjadi pelapis pengadil dimasa akan datang.

Ini juga adalah usaha awal Masyarakat Bolarotan (MBR) melatih lebih ramai pelapis pengadil sepaktakraw bagi menampung permintaan tinggi penganjuran kejohanan sepaktakraw di sekitar Lembah Klang.

Selain perlawanan bagi kategori bawah 14 tahun, kategori bawah 11 dan 16 tahun turut dipertandingkan. Pada 17 September 2017 pula, kategori terbuka telah berlangsung dengan 12 regu dari gelanggang – gelanggang aktif sekitar Kelang pula mengambil bahagian.

Program Trio Impian Liga Perangsang Selangor ini akan meneruskan edisi ketiganya di daerah Sepang pada 23 – 24 September 2017 ini. Maklumat lanjut program ini boleh didapati di laman Facebook rasmi Bolarotan.

Baca Juga

Baca Juga