Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya Alexis Sanchez masih mampu menyelamatkan kariernya di Old Trafford sambil menyamakan prestasi Sanchez seperti botol sos.
Pemain antarabangsa Chile itu melalui waktu yang penuh berliku sejak menyertai Manchester United dari Arsenal pada Januari 2018 dalam perjanjian pertukaran pemain degan Henrikh Mkhitaryan berpindah ke arah sebaliknya.
Sanchez diberi kepercayaan untuk memakai jersi No.7 tetapi gagal untuk menepati jangkaan yang diletakkan di bahunya. Pertukaran pengurus juga gagal membawa prestasi Sanchez seperti ketika zaman kegemilangannya bersama Arsenal.
Musim ini beliau hanya mampu menjaringkan 2 gol dari 19 penampilan dimana beliau kini berada di belakang pemain seperti Anthony Martial, Jesse Lingard dan Marcus Rashford untuk membarisi jentera serangan Red Devils.
Walau bagaimanapun, Solskjaer menggesa peminat United untuk terus menyokong Sanchez dan terus bersabar.
“Saya rasa Sanchez merupakan pemain yang sangat baik. Beliau pemain yang cukup berbakat tetapi ada perkara yang kita perlu berbincang dan membuat sedikit perubahan.”
“Anda lihat sendiri aksi beliau ketika menentang Fulham. Apabila Sanchez memperolehi peluang, beliau sangat tajam dan bijak merampas bola dengan tenaganya.”
“Jika Sanchez mampu menjaringkan gol, saya percaya beliau akan dapat lebih banyak keyakinan. Itulah perkara yang paling utama apabila anda melalui tempoh yang mencabar dimana anda tidak beraksi pada standard yang biasa.”
“Kita semua tahu ada pemain yang sangat bagus dalam diri Sanchez. Beliau sama seperti satu botol sos. Kadang-kadang sos susah nak keluar, tapi apabila ia dapat keluar, sos keluar dengan begitu banyak sekali.”
Sanchez akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada bulan Disember nanti tetapi Solskjaer berpendapat Sanchez tidak boleh diketepikan disebabkan faktor umurnya.
“Sanchez boleh bermain untuk banyak tahun lagi. Beliau sudah berada di sana selama setahun.”
“Saya berada di sini bersama Sanchez selama dua bulan dan untuk separuh masa pertama, beliau mengalami kecederaan. Jadi agak tidak adil untuk menjangkakan beliau terus berada pada tahap terbaik dalam sekelip mata.”
“Saya sangat yakin kita akan melihat Sanchez yang sebenar bermula dari sekarang sehingga tamat musim ini.”
Manchester United berdepan risiko tersingkir dari kejohanan Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 2-0 di tempat sendiri kepada Paris Saint-Germain dalam perlawanan pertama minggu lalu.
Menyedari kempen musim ini bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, Solskjaer menggesa setiap pemain supaya bermain bersungguh-sungguh dan bermain pada tahap yang terbaik.
“Kami memerlukan setiap pemain untuk beraksi pada tahap terbaik kerana kami sedang berusaha untuk mencabar kedudukan empat teratas.”
“Kami bersaing dengan pasukan ternama jadi kami memerlukan setiap pemain untuk menaikkan permainan mereka.”
Sebelum ini bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho pernah menyamakan kemarau gol Lukaku seperti botol sos.
Mourinho Samakan Kemarau Gol Lukaku Dengan Botol Sos
Dalam satu temu ramah ekslusif Mourinho bersama Sky Sports, Mourinho telah diminta untuk mengulas kemarau jaringan yang dilalui Lukaku ketika ini. Pengurus berasal dari Portugal itu juga yakin Lukaku akan melalui tempoh cemerlang tidak lama lagi.
“Saya rasa salah seorang penjaring gol terbaik [Cristiano Ronaldo] dalam sejarah bola sepak mempunyai ungkapan yang agak kelakar untuk menggambarkan kemarau gol.”
“Ronaldo pernah menyamakan kemarau gol yang dihadapinya pada suatu ketika dengan satu botol sos. Apabila anda menggoncangnya, ia akan keluar, keluar dan keluar.”
“Saya percaya ia akan berlaku kepada Lukaku tidak lama lagi. Namun realitinya buat masa sekarang, ia masih belum terjadi.”
“Terdapat banyak perlawanan dimana Lukaku gagal menjaringkan sebarang gol. Bukan setakat menjaringkan gol tetapi kegembiraan dalam persembahannya, itu masalah yang berlaku kepada Lukaku sekarang.”
“Tetapi Lukaku adalah pemain yang bagus, pemain yang baik, dan perkara terbaik yang beliau lakukan ketika ini adalah terus berusaha keras dan masa beliau akan menjelma tidak lama lagi.”
Mengenai pertemuan liga menentang Everton di Old Trafford malam ini, Mourinho berjaga-jaga dengan ancaman yang dibawa Everton terutamanya dalam menghadapi ancaman bola tinggi dengan Everton telah menjaringkan 6 gol menerusi tandukan setakat ini – iaitu jumlah tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris, melebih mana-mana pasukan musim ini.
Menariknya, Red Devils dilihat bergelut untuk menghadapi situasi bola mati terutamanya ketika bertahan sepakan penjuru.
Mourinho juga sempat berbicara mengenai pelaburan yang dilakukan Everton ketika jendela perpindahan musim panas lalu. Everton berjaya mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Colombia, Yerry Mina dari Barcelona walaupun pemain tersebut merupakan antara bek tengah yang menjadi sasaran Mourinho.
Mourinho mendakwa pengurus Everton, Marco Silva tidak mempunyai tekanan yang terlampau tinggi untuk berjaya walaupun berbelanja besar.
“Everton mempunyai satu kelebihan berbanding kami, iaitu mereka mempunyai jangkaan yang agak rendah walaupun mereka mempunyai potensi sama seperti kami.”
“Semua perkara yang telah Everton lakukan setakat ini adalah positif, mood dalam kem Everton juga agak tenang berkenaan pelaburan pada musim panas lalu.”
“Everton telah menambah baik skuad mereka. Mereka mempunyai masa untuk bekerja tanpa sebarang tekanan walaupun potensi skuad yang mereka miliki sama sahaja seperti United.”