Solskjaer Beri Bayangan Akan Ada Pemain Baru Dibawa Masuk Pada Januari Nanti

Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan pasukan bimbingannya akan menerima pemain baru pada jendela perpindahan Januari nanti.

Dalam pada masa yang sama, Solskjaer berkata beliau mempunyai kuasa untuk menentukan pemain mana yang akan dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Red Devils yang mengalami kemerosotan prestasi musim ini.

Solskjaer bukan tunggul semata-mata di Old Trafford. Beliau ada kuasa untuk tentukan pemain yang akan dibawa masuk !

Solskjaer yang pernah bermain untuk United selama 11 tahun, juga tidak menolak kemungkinan United akan melalui jendela perpindahan Januari yang sibuk dengan membawa masuk lebih dari seorang pemain baru.

Berikutan pemecatan Jose Mourinho pada hari Selasa lalu, Solskjaer telah dipertanggungjawabkan untuk mengubah nasib skuad Setan Merah yang terumbang-ambing musim ini, sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim nanti.

Untuk mencapai sasaran tersebut, Solskjaer mungkin perlu ligat dalam pasaran pemain yang akan dibuka kembali 10 hari lagi. Dalam sidang media pertamanya sebagai pengurus United, Solskjaer mengesahkan perkara berkenaan.

“Sudah tentu saya akan mempunyai suara dalam soal perpindahan. Tetapi tugas saya sekarang adalah untuk mengenali pemain, meneliti mereka, dan mengenal pasti kualiti yang mereka miliki.”

“Saya ada melihat persembahan mereka dari Norway ketika saya mempunyai kelapangan masa. Saya perlu terlebih dahulu mengenali setiap pemain saya dan hanya selepas itu saya boleh membantu mereka untuk menjadi lebih baik.”

Fred flop

“Kelab ini mempunyai pasukan scouting dan recruitment, jadi sudah tentu mereka sudah mempunyai sasaran.”

Sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada tahun 2012, polisi perpindahan pemain dianggap punca utama mengapa Red Devils mengalami pemerosotan prestasi.Walaupun berbelanja besar untuk membawa pemain ternama seperti Paul Pogba, Alexis Sanchez dan Angel Di Maria, mereka ini tetap gagal membawa pasukan ke tahap yang dikehendaki.

Selain itu pemain tengah Brazil, Fred yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas lalu dengan harga £52 juta juga bergelut dengan masalah prestasi dan sering diletakkan di bangku simpanan sahaja.

Sesiapa sahaja yang bakal dibawa masuk pada Januari nanti, Solskjaer berharap pemain tersebut mampu membantu Setan Merah memanjat tangga Liga Perdana Inggeris setinggi yang mungkin.

Solskjaer pernah menguruskan Cardiff City tidak lama dahulu tetapi gagal membantu kelab tersebut dari mengalami relegasi. Walaupun masanya bersama Cardiff agak sukar, ‘Babyface Assasin’ mengakui beliau banyak perkara yang dipelajarinya ketika berada di sana.

“Saya semakin tua. Rambut kelabu saya juga semakin banyak. Sekarang saya sudah mempunyai 300 hingga 400 perlawanan sebagai seorang pengurus. Masa saya ketika di Cardiff merupakan langkah yang agak besar buat saya.”

Pengalaman sukar di Cardiff telah mendewasakan Solskjaer

“Saya banyak belajar, dan menganalisa diri sendiri. Saya melakukan beberapa kesilapan. Tetapi jika saya tidak melakukan kesilapan, saya tidak akan belajar. Malangnya banyak kesilapan yang saya lakukan.”

“Tetapi Cardiff sekarang sudah berada dalam Liga Perdana Inggeris dan saya tidak rasa mereka dalam keadaan tidak gembira sekarang.”

BACA:  Red Bull Salzburg Menganjing Man Utd Yang Berminat Mahu Dapatkan Khidmat Sesko