Bekas penyerang sensasi Manchester United, Romelu Lukaku mendakwa pengurus legenda dalam pembikinan Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, telah mengeluarkan cerita yang tidak benar berkenaan perpindahannya ke Inter Milan.
Sebelum ini, ketika ditanya wartawan berkenaan Lukaku, Ole mengatakan bahawa tempoh masa Lukaku di Old Trafford telah tamat dan dia tiada dalam perancangan pengurus berbangsa Norway itu untuk musim 2019-20. Lukaku akhirnya dijual kepada Inter Milan pada harga GBP70 juta.

Walaubagaimanapun, cerita versi Lukaku sedikit berbeza.
Menurutnya, Ole sebenarnya telah merayu kepadanya untuk kekal di bandar Manchester untuk sekurang-kurangnya semusim, bukan sebaliknya.
Pun begitu, hubungan kedua-dua insan ini cukup baik dan tidak keruh.
“Aku memang tabik gila dengan Solskjaer,” kata Lukaku kepada Het Belang van Limburg.
“Dia faham apa yang aku nak bila aku beritahu dia pada bulan Mac yang aku nak berhijrah.
“Aku dah main di Premier League sejak usia aku 18 tahun dan sekarang aku dah 26.
“Solskjaer minta aku kekal, tapi aku nak cabaran baru,” tambah Lukaku lagi.
Sejak berpindah ke Itali, pemain yang sinonim dengan lagu kumpulan New Boyz itu telah menjaringkan sembilan gol dalam 12 penampilan, namun cabaran terbesar di sana adalah sikap perkauman para penyokong pasukan lawan.
Menurutnya, dia seringkali diejek dengan ejekan perkauman di dalam padang.
“Aku dah agak dah benda ni akan jadi. Aku pun dah persiapkan diri sebab aku dah tanya pemain lain sebelum datang sini.
“Tapi aku gembira je di Itali. Orang yang aku jumpa pun baik je dengan aku, dan aku nak fokus je sekarang ni,” tambah lelaki sasa itu lagi.
Berita tak penting ini dipetik dari sini