Solskjaer Tegaskan Pogba Masih Gembira Di Old Trafford, Nafi Minat Real Madrid

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menolak kepentingan komen terbaru Paul Pogba mengenai minat Real Madrid terhadapnya sambil menegaskan pemain tengah tersebut masih lagi gembira untuk terus kekal di Old Trafford.

Pogba mencetuskan kontroversi baru-baru ini mengenai masa depannya apabila menggambarkan Real Madrid sebagai sebuah kelab yang impian dalam satu temuramah ketika bersama skuad kebangsaan Perancis.

Komen Pogba baru-baru ini mencetuskan tanda tanya mengenai kesetiannya pada pasukan Setan Merah

“Seperti yang saya selalu beritahu, Real Madrid adalah kelab impian untuk semua pemain. Mereka adalah salah sebuah kelab terbesar di dunia.”

“Mereka juga mempunyai Zidane sebagai pengurus dan adalah menjadi impian untuk mana-mana pemain bola sepak untuk bermain di bawahnya.”

“Buat masa sekarang, saya masih di Manchester. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Saya masih gembira bersama Manchester United.” Ujar Pogba dalam sidang media sebelum Perancis turun bertemu Moldova baru-baru ini.

Tambah memanaskan lagi keadaan, Pogba turut meluahkan perasaan kagumnya terhadap pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

Apabila mendengar namanya dipuji Pogba, Zidane memberi bayangan Pogba mungkin mempunyai masa depan bersama Real Madrid.

Zidane bersedia menerima Pogba dengan tangan yang terbuka

“Saya sangat menyukai Pogba. Ini bukan perkara baru. Saya juga kenal beliau secara peribadi. Pogba pemain yang lain dari yang lain, beliau mempunyai banyak kualiti. Hanya ada beberapa pemain sahaja yang mampu bermain sepertinya.”

“Pogba adalah pemain tengah yang tahu bertahan dan menyerang. Beliau tahu bagaimana untuk melakukan segala-galanya di atas padang.”

Komen Zidane jelas mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Pogba di Old Trafford. Walau bagaimanapun, Solskjaer menjelaskan Pogba tidak akan kemana-mana pada musim panas ini dan menjangkakan pemain itu akan kekal untuk satu tempoh yang lama bersama Manchester United.

Dalam satu temuramah bersama Sky Sports, Solskjaer telah ditanya sama ada beliau ingin membina pasukan Manchester United dengan Pogba sebagai titik rujukan.

“Sudah tentu. Saya cakap perkara yang sama beberapa tahun yang lepas.”

“Pogba gembira di sini dan bermain dengan baik. Terdapat komen ketika rehat antarabangsa tempoh hari dan timbul isu daripada komen tersebut.”

“Salah satu isu adalah semua pemain akan sentiasa terbuka untuk ditemuramah. Mereka sentiasa terbuka dan Pogba menjawab soalan umum mengenai keinginan setiap pemain yang mahu mewakili Real Madrid.”

Pogba gembira di Old Trafford dan akan kekal untuk tempoh yang lama. Jangan risau

“Beliau tidak bercakap mengenai dirinya. Pogba gembira di sini.”

Walaupun Solskjaer yakin dapat mengekalkan Pogba musim panas nanti, masih terdapat persoalan mengenai masa depan beberapa pemain utama Red Devils.

Antara yang hangat diperkatakan adalah dua pemain berasal dari Sepanyol, iaitu Ander Herrera dan Juan Mata yang akan tamat kontrak pada penghujung musim ini.

Selain itu, David De Gea masih lagi belum menurunkan tanda tangan untuk kontrak jangka panjang bersama kelab tersebut.

BACA:  Premier League 2022/23: Wolves 0-1 Manchester United