Solskjaer Terkenang Zaman Ferguson Selepas Melihat United Bangkit Dari Ketinggalan

Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer meluahkan perasaan gembiranya selepas pemainnya menunjukkan semangat luar biasa untuk bangkit dari ketinggalan seterusnya mencatatkan kemenangan ke atas pasukan bergelut, Southampton di halaman sendiri semalam.

Old Trafford yang sebelum ini sunyi tanpa sebarang jaringan ketika melayan kunjungan Liverpool, dihidangkan dengan beberapa gol yang amat padu dari kedua-dua pasukan.

Solskjaer teringat kenangan lama selepas United bangkit untuk mencipta kemenangan

Southampton terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan luar kotak penalti dari Yan Valery yang gagal ditepis dengan baik oleh David De Gea.

Pemain tengah United, Andres Perreira berjaya mengikat kedudukan dengan gol yang amat cantik dan tidak lama selepas itu, giliran Romelu Lukaku pula untuk meletakkan United berada di hadapan.

Kegembiraan United tidak kekal lama kerana Southampton berjaya mengikat kedudukan menjadi 2-2 menerusi sepakan percuma yang diambil oleh James Ward-Prowse.

Ketika perlawanan seakan-akan bakal tamat dengan keputusan seri, Lukaku sekali lagi muncul wira buat Setan Merah apabila menjaringkan gol kemenangan United pada minit ke-88.

Sarjan Lukaku hero Setan Merah dengan 2 gol

Dengan kemenangan ini, United kembali merampas tempat ke-4 selepas Arsenal sekadar mampu seri menentang penghuni tempat ke-3, Tottenham Hotspurs di Wembley.

Untuk rekod, ini adalah kali ke-9 United berjaya bangkit dari ketinggalan untuk meraih kemenangan ketika bertemu Southampton dan Solskjaer mengakui situasi dalam perlawanan tersebut hampir sama seperti era kegemilangan United di bawah Sir Alex Ferguson.

“Cara kami bangkit tadi sama seperti waktu dulu-dulu. Saya sendiri sudah banyak kali terlibat dalam situasi seperti tadi.” Ujar Solskjaer ketika ditemu ramah.

“Saya sangat gembira kerana anak buah saya berjaya bangkit untuk meraih 3 mata. Kami ada bercakap pada rehat separuh masa pertama. Kami perlu cuba untuk membawa bola masuk ke dalam kotak penalti, bermain lebih ke atas, dan bahagian ‘Stretford End’ akan menyedut bola masuk ke dalam gol.”

“Saya tidak mahu menarik kredit dari penyudah cemerlang yang ditunjukkan Andres Perreira dan Romelu Lukaku, tetapi saya berpendapat sokongan peminat adalah sebahagian dari sejarah kelab ini kerana kami telah melakukan perkara seperti itu berkali-kali sebelum ini.”

Sanchez terus dirundum nasib malang selepas mengalami kecederaan pada separuh masa kedua

Walaupun meraih 3 mata, pengurus bermuka ‘babyface’ itu mengakui persembahan yang ditampilkan pemainnya tidak cukup ‘class’.

“Karakter dan keyakinan melebihi kualiti permainan adalah sebab mengapa kami menang tadi. 3 tindakan penyudah yang berkualiti tetapi selain daripada itu, kami sedikit kekurangan dari segi ‘class’.”

“Kami sepatutnya boleh menjaringkan dua gol pada 5 minit pertama. Kami menunjukkan bola sepak yang baik tetapi tindakan penyudah tidak cukup bagus.”

BACA:  Manchester United Mahu Keluarkan Dana Besar Untuk Mendapatkan Ansu Fati