Son Heung-min Dedah Alasan Mengapa Beliau Berdendam Dengan Jerman

Son Heung-min telah mendedahkan tentang bagaimana derita beliau berdepan hinaan berunsur perkauman ketika kariernya di Jerman.

Bintang Korea Selatan itu juga turut menjelaskan tentang bagaimana puasnya hati beliau dapat membalas dendam terhadap Jerman ketika di pentas Piala Dunia 2018.

Son meninggalkan negara asalnya, Korea Selatan untuk beraksi di pentas bola sepak Eropah pada tahun 2008 yang lalu.

Beliau ketika itu menyertai skuad akademi Hamburg, dalam satu projek pertukaran antarabangsa.

Son walau bagaimanapun berjaya memukau kelab dari Jerman itu yang kemudiannya menandatangani beliau secara tetap pada tahun berikutnya.

Beliau menghabiskan tempoh empat tahun bersama Hamburg sebelum melengkapkan perpindahan menyertai Bayer Leverkusen.

Mengenang kembali kariernya di Jerman, pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan tentang bagaimana pengalaman beliau menjadi mangsa hinaan berunsur perkauman dari para penyokong Bundesliga.

Bercakap ketika sesi bertemu peminat di Seoul, Son mendedahkan bahawa:

“Saya berpindah ke Jerman ketika saya masih muda, dan saya melalui begitu banyak kesukaran, detik yang sukar untuk dibayangkan.”

“Saya berdepan masalah perkauman. Dan ketika saya melalui segala kesukaran pada ketika itu, saya juga ada berfikir tentang hasrat saya mahu membalas dendam satu hari nanti.”

Son Heung-min akhirnya berjaya merealisasikan hasratnya itu selepas kejayaan beliau memimpin Korea Selatan untuk menewaskan Jerman di pentas Piala Dunia 2018.

Beliau berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol ketika membantu skuadnya menewaskan Jerman 2-0, seterusnya menyingkirkan mereka di pentas Piala Dunia pada ketika itu.

“Ketika orang menangis, saya kebiasaan akan tenangkan mereka dan berikan mereka pelukan.”

Tambah Son Heung-min lagi.

“Tapi melihat orang Jerman menangis, saya rasa puas sebab saya mampu membalas dendam dengan melakukan hal seperti itu.”

Son menikmati karier dua tahun bersama Leverkusen, sebelum beliau menyertai Tottenham Hotspur dengan yuran perpindahan bernilai £22 juta pada tahun 2015 yang lalu.

Malangnya, pemain penyerang berkelas dunia itu sekali lagi berdepan masalah melibatkan perkauman ketika kariernya di England.

Walau bagaimanapun, hal itu sepertinya sama sekali tidak memberikan impak kepada perjalanan karier Son, dengan beliau tetap cemerlang mempamerkan aksi persembahan yang sungguh dasyat.

Beliau juga turut berjaya menjadi pemenang anugerah kasut emas pada musim lalu, berkongsi kedudukan dengan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Son Heung-min berjaya menjaringkan 24 gol dari semua pertandingan pada musim lalu, dan harus diakui beliau melalui musim terbaiknya dalam saingan Premier League pada musim lalu.

Melihat kepada persembahan luar biasa dasyat beliau bersama Tottenham Hotspur pada musim lalu, ramai peminat yang mempersoalkan mengapa beliau tidak memenangi anugerah pemain terbaik tahunan.

PFA Player of The Year sepatutnya menjadi milik Son Heung-min kerana beliau pada musim lalu berhak untuk mendapatkan anugerah tersebut.

Son jelas sekali antara pemain terbaik di benua Asia, dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap yang beliau antara bintang terhebat dunia pada ketika ini.

Banyak kelab gergasi dalam dunia bola sepak yang berhasrat mahu mendapatkan khidmatnya, namun jelas sekali Tottenham Hotspur tidak akan melepaskan pemain terbaik mereka itu.

Son sudah pun dianggap sebagai legenda kelab, dan walau beliau pernah berdepan masalah melibatkan perkauman pada awal kariernya, beliau kini merupakan antara pemain paling disayangi oleh penyokong Tottenham Hotspur.

Bahkan, rata-rata peminat bola sepak turut berpendapat, yang Son Heung-min merupakan antara pemain yang paling tidak dibenci dalam dunia bola sepak hari ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jerman Umun Skuad 26 Pemain EURO 2020