Son, Kane Dan Lucas Dianggap Lebih Hebat Berbanding Sancho, Rashford Dan Cavani

Jadon Sancho akhirnya telah diumumkan secara rasmi sebagai pemain Manchester United pada awal minggu lalu.

Pemain kebangsaan England itu telah ditandatangani oleh setan merah dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan bernilai £73 juta.

Selepas sekian lama beliau dikaitkan dengan bakal ke Old Trafford, penyokong Manchester United akhirnya berjaya juga untuk melihat Jadon Sancho menyarung jersi kebanggaan setan merah.

Man Utd kini mempunyai jentera serangan yang agak menakjubkan dengan membentuk trio serangan hasil gandingan Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Edinson Cavani.

Namun begitu, adakah trio serangan setan merah itu boleh dianggap sebagai trio serangan terhebat dalam saingan premier league musim hadapan?

Andai peminat Manchester United menganggap jawapannya adalah ya, Jamie O’Hara dengan tegas mengatakan yang jawapannya adalah tidak.

Penyampai talkSPORT itu berfikir yang jentera serangan Tottenham Hotspur adalah yang lebih baik berbanding front three yang dimiliki oleh Manchester United itu.

“Saya rasa front-three Spurs kalau dapat prestasi terbaik, mereka adalah lebih bagus dari front-three Manchester United.”

Jelas Jamie O’Hara.

“Son lebih bagus berbanding Rashford, Kane lebih bagus berbanding Cavani, dan OK, Moura tidak sebagus Sancho.”

“Tapi Moura mempunyai penyudah yang sangat bagus pada musim lalu dan dia boleh pamerkan persembahan di tahap yang lebih tinggi.”

O’Hara kemudiannya mengatakan yang Liverpool mempunyai front three terbaik dalam saingan Premier League, bahkan lebih bagus berbanding Manchester City.

“Liverpool mempunyai front-three terbaik dalam saingan premier league. Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah.”

Tambah O’Hara lagi.

Peminat Man Utd sudah tidak sabar untuk melihat gandingan Rashford dan Sancho di Old Trafford

“Bagi saya itu jauh lebih baik berbanding Man United. Bukan berdasarkan pada musim lalu sahaja, tapi ia berdasarkan bakat dan apa yang boleh mereka berikan ketika mereka sedang dalam rentak persembahan terbaik masing-masing.”

“Saya juga pertikaikan Man City, jika mereka menggandingkan Phil Foden, Riyad Mahrez dan Kevin De Bruyne sebagai false nine, gandingan itu juga lebih baik berbanding trio Manchester United.”

“City masih perlu untuk menandatangani seorang penyerang baru, namun KDB juga boleh bermain dengan sangat bagus di posisi itu. Jika ia merupakan pilihan antara Gabriel Jesus dan Cavani, kamu tentu akan pilih Cavani, tapi jika kamu bandingkan Foden dengan Rashford, jelas sekali kamu akan kata Foden lebih bagus.”

O’Hara sememangnya sentiasa mengeluarkan kenyataan kontroversi dengan membandingkan Spurs dengan pasukan lain dalam saingan premier league.

Sebelum ini, ketika bercakap tentang Marcelo Bielsa, beliau pernah mendedahkan pengurus dari Argentina itu selayaknya berada bersama pasukan yang lebih besar dan bukannya bersama Leeds.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menganggap yang Spurs sebenarnya jauh lebih besar berbanding Leeds dan percaya Bielsa lebih sesuai mengurus Tottenham berbanding Leeds United.

Menurut dakwaan yang dikeluarkan oleh Jamie O’Hara, Leeds United sebenarnya sangat bertuah kerana memiliki Marcelo Bielsa sebagai pengurus kelab.

Pengurus yang ketika ini berusia 66 tahun itu telah menggantikan Paul Heckingbottom sebagai pengurus Leeds pada 2018.

Beliau telah memainkan peranan cukup penting dalam membantu kejayaan Leeds United hingga menjadi sebagai salah sebuah pasukan underdog terhebat dalam saingan Premier League.

Bielsa gagal untuk membawa skuad kendalian beraksi ke saingan Premier League ketika musim pertamanya sebagai pengurus, dengan mereka ketika itu tewas di pusingan play-off kepada Derby County.

Pengurus dari Argentina itu kemudiannya menerapkan budaya dan gaya permainan baru dalam skuad Leeds seterusnya memenangi gelaran Championship pada musim keduanya.

Kejayaan menjuarai Championship telah membawa Leeds United untuk beraksi dalam saingan Premier League.

Bekas pengurus Athletic Bilbao dan skuad kebangsaan Argentina itu telah berjaya memukau peminat dan pundit atas hasil usaha dan kerja kerasnya sepanjang musim lalu.

Beliau berjaya membantu Leeds United mengakhiri saingan Premier League di kedudukan kesembilan, dan turut mengejutkan ramai dengan kejayaan mereka menewaskan beberapa pasukan gergasi liga.

Kerja keras dan ciri kepimpinan Bielsa telah memukau banyak pihak dan ia turut berjaya membuatkan Pengurus City, Pep Guardiola berasa kagum dan menganggap beliau sebagai pengurus sejati.

Baru-baru ini, O’Hara telah membuat dakwaan yang menyatakan bahawa pengurus Leeds United itu perlu untuk menguruskan pasukan besar dan bukannya Leeds.

Beliau bahkan turut menganggap Spurs sebagai pasukan yang jauh lebih besar berbanding Leeds United.

Penyampai talkSPORT yang kini berusia 34 tahun itu turut menyatakan yang Leeds tak mungkin mampu mempertahankan Bielsa seandainya pasukan gergasi seperti Barcelona, Real Madrid atau PSG tampil membuat tawaran.

Bercakap di studio talkSPORT, O’Hara menjelaskan bahawa:

“Dia perlu berada bersama pasukan gergasi, Bielsa, layak bukan? Dia perlu ada bersama pasukan seperti Barcelona, kita kena jujur.”

“Spurs merupakan pasukan yang lebih besar berbanding Leeds… Itu juga merupakan langkah pertama untuk dia. Jose Mourinho tak akan pergi untuk semata-mata menjadi pengurus Leeds United bukan?”

“Saya tak kata Leeds bukan pasukan besar dan saya tak kata Bielsa perlu pergi, saya katakan dia seharusnya bersama pasukan seperti Barcelona. Dia seorang pengurus yang hebat dan Leeds patut berbangga memiliki dia.”

“Saya suka kalau dia bersama Spurs, tapi dia tak mungkin akan tinggalkan Leeds untuk Spurs. Tak cukup bercita-cita tinggi kalau ke Spurs.”

“Dia pengurus berkelas dunia. Saya rasa dia ada perasaan cinta pada kelab, bandar, dan penyokong. Mereka semua sayangkan dia dan saya rasa dia juga sayangkan mereka.”

“Tapi jika seseorang dari Barcelona, Real Madrid atau PSG datang, maaf, dia tak sepatutnya kekal bersama Leeds, dia perlu pergi.”

Sumber: GMS

BACA:  Lingard Cabar Manchester United Teruskan Rekod Cemerlang Di Etihad Stadium