Sony Bill Williams Tutup Logo Penaja di Jersi Sebagai Tanda Menolak Riba

Sonny Bill Williams merupakan satu nama yang cukup besar dalam dunia ragbi – sama ada kategori 15 atau 7 sebelah. Selepas memenangi Piala Dunia bersama New Zealand pada tahun 2015, Sony telah beralih arah kepada ragbi 7-sebelah dan bermain untuk pasukan All Black Sevens.

Ketika Olimpik Rio 2016, Sony mengalami kecederaan lutut yang memaksanya berehat panjang, dan pada tahun ini, Sony kembali bersaing dalam ragbi 15 sebelah dan mewakili pasukan Auckland Blues yang bermain dalam kejohanan Super Rugby.

Pada hari Ahad, Sony kembali beraksi setelah sekian lama berehat. Walaupun sekadar berada di atas padang selama 30 minit, Sony menarik perhatian ramai, bukan kerana aksinya, tetapi apa yang dilakukan di bajunya.

BNZ ialah singkatan bagi Bank of New Zealand, dan merupakan salah satu daripada penaja Blues. Logo BNZ terletak di bahagian kolar baju. Apa yang menariknya, Sony telah melekatkan pita untuk menutup logo bank tersebut di jersinya.

Sony dikatakan berbuat demikian sebagai tanda tidak menyokong sistem perbankan yang mengamalkan riba dan bertentangan dengan Islam. Untuk menjelaskan hal ini, Sony telah memuat naik satu status di Twitter mengatakan bahawa dia bakal menerangkan asbab kenapa dia berbuat demikian pada minggu ini.

Seorang jurucakap BNZ walaubagaimanapun tidak tersinggung dengan apa yang dilakukan Sony. Dia mengatakan bahawa Sony memupunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan agamanya, dan berkenaan menutup logo bank di jersi, itu adalah urusan antara Sony dan Blues, dan BNZ tidak mempunyai sebarang isu mengenai hal tersebut.

Sony merupakan permata  dan cukup disayangi di New Zealand, dan kalau di Malaysia, dia diibaratkan sebagai Lee Chong Wei ataupun Najib Razak.  Dia memeluk Islam pada tahun 2008, ketika bermain untuk kelab ragbi di Perancis, Toulon.

Nasib baik lah Sony bermain di New Zealand. Kalau dia main di Malaysia, isu ini pasti akan menjadi satu topik hangat perdebatan hamba-hamba politik di dalam dewan parlimen, ataupun dikecam Siti Kassim. Malaysia kan?

Ketika Piala Dunia 2015, Sony telah memberikan pingat kejuaraan yang dimenanginya kepada seorang kanak-kanak yang menceroboh masuk ke padang. Oh Sony, kau lelaki agung.

Sumber berita : Daily Mail

Baca Juga

Baca Juga