Southgate Dikecam Teruk Kerana Meletakkan Saka Sebagai Pengambil Sepakan Penalti Penentu England

Para penyokong England tidak begitu gembira dengan keputusan Gareth Southgate membenarkan Bukayo Saka untuk mengambil sepakan penalti kelima England ketika bertemu Itali.

Ramai yang mengkritik dan mengecam keputusan pengurus dari England itu berkait pemilihan pemain yang beliau pilih untuk aksi penentuan sepakan penalti.

England turun bertemu Itali dalam aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020 yang telah dilangsungkan di Wembley awal pagi tadi.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 sebelum berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

Selepas bermain selama 120 minit, masih tiada jaringan tambahan yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan menyebabkan perlawanan dilanjutkan lagi ke penentuan sepakan penalti.

Itali berjaya menewaskan England dalam aksi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-2 seterusnya membawa pulang Piala kejuaraan ke bumi Rome.

Sepakan penalti dari Jorginho dan Andrea Belotti berjaya diselamatkan oleh penjaga gol England, Jordan Pickford.

Namun penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma yang telah menjadi wira dalam perlawanan ini selepas beliau menafikan sepakan penalti terakhir England yang diambil oleh pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka.

Marcus Rashford dan Jadon Sancho yang kedua-dua mereka dibawa masuk pada minit ke-120 tambahan masa turut gagal untuk menjaringkan gol ketika aksi penentuan sepakan penalti itu.

Kedua-dua mereka sememangnya dibawa masuk untuk aksi penentuan sepakan penalti, namun mereka gagal menyempurnakan tugas yang diberi.

Mungkin kedua-dua mereka juga tertekan kerana Southgate memasukkan mereka hanya untuk penentuan sepakan penalti, dan tanggungjawab itu sangat besar dalam perlawanan terpenting negara.

Selepas kedua-dua mereka gagal, tekanan untuk Saka semakin tinggi. Donnarumma membuat jangkaan yang tepat seterusnya berjaya menyelamatkan sepakan penalti Saka untuk mengesahkan kejuaraan European Championship menjadi milik Itali.

Saka yang telah mempamerkan aksi permainan sungguh menakjubkan sepanjang kejohanan ini menangis teresak-esak selepas kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti itu.

Southgate memujuk Saka

Beliau terlihat sangat kecewa dengan rakan sepasukannya serta pengurus datang menghampiri beliau untuk menenangkannya.

Southgate yang sepatutnya boleh dipuji atas usahanya membawa skuad England, untuk mara ke perlawanan akhir pertama negara sejak 55 tahun lalu, telah dikritik teruk atas keputusannya berkait pemilihan pemain.

Ramai yang mengecam keputusan beliau meletakkan Saka di kedudukan yang begitu tertekan dengan beliau ketika itu sebenarnya masih ada pilihan lain yang lebih berpengalaman.

Para peminat benar-benar terkesan dengan keputusan Southgate dan menyebabkan beliau dikritik teruk di media sosial oleh para penyokong.

“Dia sedar atau tidak yang dia telah memberikan beban yang teramat berat kepada pemain muda seperti Saka.”

“Kalau kalah saya boleh terima, tapi keputusan dia meletakkan Saka sebagai pengambil sepakan penalti penentu adalah sangat mengarut dan tidak masuk akal. Belum lagi dia keluarkan pemain berpengalaman seperti Henderson untuk Rashford dan Sancho.”

“Dalam padang masih ramai pemain yang lebih berpengalaman, kenapa dia pilih pemain muda untuk berdepan dengan tekanan yang begitu tinggi.”

“Kalau dia nak sangat Saka mengambil sepakan penalti tu, bagilah dia ambil yang pertama, walau tertekan tapi setidaknya tak seteruk jadi penentu. Saya tak faham kenapa dia buat keputusan macam itu.”

Southgate selepas tamat perlawanan beliau segera mencari Saka dan terus menenangkan pemainnya itu diwaktu bintang Arsenal itu sedang benar-benar berduka.

Beliau mungkin boleh faham dengan apa yang dirasakan oleh pemainnya yang gagal menyempurnakan sepakan penalti kerana dirinya sendiri juga pernah merasakan hal yang sama ketika Euro 96.

“Itu keputusan saya untuk beri dia ambil sepakan penalti itu.”

Jelas Southgate ketika sesi temu bual selepas tamat perlawanan.

“Semuanya tanggungjawab saya. Kami lalui semua itu ketika sesi latihan, itulah apa yang kami ikut.”

Berbicara soal keputusan pemilihan pemain, Southgate sememangnya sering dipertikaikan tentang itu.

Donnarumma menyelamatkan sepakan penalti Saka

Baik ketika pemilihan untuk kesebelasan utama, mahupun pemilihan skuad untuk dibawa beraksi dalam saingan Euro 2020.

Keputusan beliau sering dipertikaikan dan mengundang kritikan dari kalangan peminat dan pemerhati bola sepak.

Namun begitu, beliau tetap boleh menafikan segala dakwaan dan kritikan yang dilemparkan padanya kerana beliau sendiri juga yang akan menanggung sebab dan akibat dari keputusan yang dibuat.

Keputusan beliau memasukkan Sancho dan Rashford pada minit-minit akhir hanya untuk mengambil sepakan penalti sangat berisiko kerana pemain yang beliau keluarkan adalah Walker dan Henderson.

Kedua-dua pemain itu merupakan pemain yang sangat berpengalaman dan boleh memberi sokongan moral kepada pemain muda dalam situasi tertekan seperti penentuan sepakan penalti.

Meletakkan pemain muda seperti Saka sebagai pengambil sepakan penalti terakhir juga adalah pilihan yang sangat teruk dengan Sterling dan Grealish masih ada di atas padang.

Walau bagaimanapun, perlawanan sudah tamat, Itali juga sudah sah dinobatkan sebagai Juara saingan Euro 2020, maka England seharusnya memberi tumpuan untuk kejohanan Piala Dunia akan datang pula.

Dengan barisan pemain yang beliau miliki, adalah sangat rugi jika Southgate gagal untuk membawa pulang setidak-tidaknya satu Piala ke bumi Baginda Ratu.

Itali menepati ramalan dengan muncul Juara saingan Euro 2020, seterusnya mempertahankan rekod 34 perlawanan tanpa kalah mereka di bawah kendalian Roberto Mancini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Detik Chiellini Menangkap Saka Dijadikan Inspirasi Untuk Mencacah Tattoo