Pada beberapa minggu lalu, Ange Postecoglou bergurau bahawa setiap kali dia merasakan krisis kecederaan Tottenham Hotspur semakin pulih, “cahaya di hujung terowong” itu sebenarnya datang daripada “kereta api yang sedang meluncur ke arahnya“.
Sepanjang bulan lepas Spurs telah bermain tanpa penjaga gol utama, bek kiri, penyerang, pemain tengah menyerang serta gandingan bek tengah pilihan utama. Seolah-olah mereka terperangkap dalam kitaran tanpa henti kerana setiap kali seseorang pulih dari kecederaan, pemain lain pula mengalami masalah baharu. Situasi ini digambarkan dengan jelas apabila Micky van de Ven kembali daripada kecederaan hamstring ketika menentang Elfsborg tetapi dalam perlawanan yang sama, Radu Dragusin pula terpaksa diketepikan sepanjang musim kerana kecederaan lutut.
Ia adalah tempoh yang sukar dan penuh cabaran tetapi kemenangan 1-0 ke atas Manchester United pada Ahad lepas mungkin menjadi titik perubahan.
Guglielmo Vicario beraksi cemerlang selepas pulih daripada kecederaan buku lali. James Maddison menjaringkan gol selepas kembali dari rehat 4 minggu akibat kecederaan betis. Brennan Johnson pula masuk sebagai pemain gantian selepas sebulan diketepikan kerana kecederaan yang sama. Destiny Udogie kembali dalam skuad buat kali pertama sejak Disember dan Djed Spence terus menampilkan aksi cemerlang sejak akhir-akhir ini. Satu kejutan besar ialah Wilson Odobert yang telah diketepikan sejak Oktober akibat kecederaan hamstring berjaya membuat kemunculan dalam 5 minit terakhir perlawanan.
Kebangkitan Spurs Pada Saat Genting
Dalam tempoh seminggu, Spurs telah berubah daripada pasukan yang keletihan (selepas tersingkir dari 2 pertandingan piala dalam tempoh 4 hari) kepada pasukan yang penuh tenaga. Mereka kembali memiliki squad depth yang lebih baik dan tidak lagi perlu bergantung kepada kumpulan pemain yang keletihan setiap 4 hari. Mereka mencatat kemenangan berturut-turut dalam liga buat kali pertama sejak September, satu pencapaian yang mengejutkan bagi pasukan yang bercita-cita untuk layak ke Liga Juara-Juara setiap musim. Ini juga merupakan kemenangan liga pertama mereka di tempat sendiri sejak menewaskan Aston Villa pada 3 November. Malah mereka berjaya mengekalkan 2 perlawanan tanpa bolos dalam liga buat kali pertama sejak Oktober 2023. Secara tiba-tiba, mereka kembali dalam perlumbaan untuk mendaki tangga liga.
“Kami hampir tidak menjalani latihan sepanjang 2 bulan terakhir,” kata Postecoglou.
“Kami hanya turun bermain dan cuba bekerja tanpa memberikan beban fizikal yang terlalu banyak kepada pemain kerana jadual padat. Kami terpaksa bergantung kepada pemain bawah 21 dan bawah 18 tahun.”
“Namun pada minggu ini, secara tiba-tiba kami mempunyai 20 pemain senior yang cergas dan ia memberikan semangat kepada semua. Latihan menjadi lebih bertenaga dan pantas. Semua pemain dan jurulatih bertindak balas dengan baik terhadap situasi ini. Itulah sebabnya saya rasa kemenangan hari ini sangat penting.”
Walaupun dikritik, Maddison tetap menjadi penjaring utama Tottenham musim ini dengan 9 gol dalam 23 penampilan. Namun, sumbangan terbesarnya adalah dalam cara dia mengawal dan menggerakkan bola. Pada minit ke-27 dia melakukan hantaran luar biasa, melepasi bek tengah Manchester United dan menemui Son Heung-Min yang berada di sayap kiri. Son kemudian menghantar bola ke dalam kotak penalti tetapi percubaan Mathys Tel berjaya diselamatkan oleh Andre Onana.
Lucas Bergvall dan Dejan Kulusevski memiliki keupayaan hebat dalam membawa bola ke ruang terbuka. Pape Matar Sarr kerap membuat larian tanpa bola yang memberi ruang kepada rakan sepasukan. Manakala Yves Bissouma dan Rodrigo Bentancur bertindak sebagai pelindung pertahanan. Namun tiada seorang pun daripada mereka yang mempunyai keupayaan melakukan hantaran sehebat Maddison. Apabila pemain antarabangsa England itu cergas sepenuhnya dan mahu membuktikan sesuatu, dia membawa Tottenham ke tahap yang lebih tinggi. Kini dia perlu mengekalkan prestasi ini setiap minggu.
Kembalinya Vicario juga sangat penting. Dalam 10 perlawanan Fraser Forster kelihatan kurang selesa menggantikan Vicario sebelum Antonin Kinsky tiba dari Slavia Prague pada 5 Januari. Kinsky mencipta debut yang mengagumkan dalam separuh akhir Piala Carabao menentang Liverpool tetapi dia masih muda, hanya berusia 21 tahun. Vicario memberi isyarat kepada semua orang bahawa dia adalah penjaga gol utama pasukan.
Walaupun gaya hantaran Vicario mungkin tidak seagresif atau kreatif seperti Kinsky, dia tetap boleh diharapkan. Dia adalah salah seorang pemain yang paling vokal di atas padang. Dia sentiasa memberi arahan kepada barisan pertahanan. Dia juga memimpin dengan contoh, melakukan beberapa aksi penyelamatan penting termasuk menafikan percubaan Rasmus Hojlund pada minit ke-10 dan menepis sepakan melengkung Alejandro Garnacho beberapa saat kemudian.
Namun, satu aspek yang membimbangkan dari keputusan perlawanan ini ialah United berjaya mencipta 13 peluang meskipun kehilangan 8 pemain utama dan terpaksa menyenaraikan 8 pemain remaja di bangku simpanan.
Ujian Seterusnya Buat Spurs
Walaupun Spurs gembira dengan kepulangan beberapa tonggak utama, beberapa masalah lama masih berlarutan. Mereka masih memberikan terlalu banyak ruang di hadapan pertahanan. Dalam separuh masa kedua, Joshua Zirkzee kerap turun dari posisinya untuk membekalkan hantaran berbahaya kepada Hojlund dan Garnacho.
Dengan kembalinya pemain-pemain utama, Spurs kini tidak lagi mempunyai alasan untuk tercicir mata. Mereka akan bertemu Ipswich Town, diikuti dengan perlawanan menentang Manchester City. Kali terakhir Spurs bertemu Ipswich, ketika itu kemenangan boleh membawa mereka ke tangga ketiga liga tetapi mereka kalah dan melepaskan peluang untuk membina momentum. Kesilapan itu tidak boleh berulang lagi.
“Masih banyak yang boleh kami capai dalam separuh kedua musim ini,” kata Postecoglou.
“Eropah adalah sasaran jelas tetapi dalam liga, kami masih boleh membuat kemajuan. Tidak dapat diterima bahawa kami berada dalam kedudukan sekarang. Namun keadaan akan berubah.
“Pemain yang kembali hari ini akan terus meningkat dan menjadikan kami lebih kuat. Masih ada 2 atau 3 lagi pemain yang hampir pulih sepenuhnya. Ia akan memberikan kami lebih banyak pilihan tidak lama lagi. Ini baru satu perlawanan tetapi saya rasa kemenangan hari ini sangat penting untuk memulakan kebangkitan kami.”
Kini, persoalannya: Adakah Spurs benar-benar telah menemui cahaya di hujung terowong… atau sekadar satu lagi kereta api yang bakal melanggar mereka?