Spurs Kembali Kuat: Siapakah Trio Tengah Terbaik Mereka?

Ada sesuatu yang baharu di Tottenham Hotspur, sesuatu yang tidak dirasakan sejak sekian lama.

Ia adalah rasa memiliki squad depth. Rasa mempunyai pilihan. Rasa di mana ketua jurulatih, Ange Postecoglou kini mempunyai ruang untuk memilih kesebelasan utama yang diinginkannya apabila mereka berdepan Ipswich Town. Bukan sekadar terpaksa memilih pemain yang cergas dan mencuba menyusun mereka menjadi satu pasukan yang padu.

Itulah cerita Spurs sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutama pada Januari dan separuh pertama Februari. Namun keadaan mula berubah pada hujung minggu lepas apabila 5 pemain telah kembali daripada kecederaan. 2 daripada mereka bermula dalam kesebelasan utama manakala 3 lagi berada di bangku simpanan. Postecoglou juga mempunyai ruang untuk memasukkan 5 pemain berpengalaman pada separuh masa kedua yang membantu mereka menang 1-0.

Saat itu, Tottenham akhirnya kelihatan seperti sebuah pasukan yang lengkap semula.

Persoalan Besar di Bahagian Tengah

Buat pertama kali sejak musim luruh, pemilihan pemain kembali menjadi topik perbincangan yang serius. Walaupun perdebatan mengenai barisan pertahanan dan serangan masih terbuka, bahagian tengah mungkin menjadi bahagian yang paling menarik untuk dibincangkan. Ia kerana Postecoglou kini mempunyai lebih banyak pilihan di posisi tersebut dan kombinasi terbaik untuk trio pemain tengahnya terus menjadi perdebatan hangat.

Perlawanan menentang Manchester United pada minggu lepas merupakan perlawanan ke-40 Spurs untuk musim ini. Dalam 39 perlawanan sebelumnya, mereka kebanyakkan menggunakan sistem 3 pemain tengah. Satu-satunya pengecualian ialah ketika menentang Everton sebulan lalu di mana kecederaan yang melanda skuad memaksa Postecoglou menggunakan 2 pemain bertahan dan dua pemain NO10.

Sepanjang musim ini, 6 pemain telah berkongsi tanggungjawab di bahagian tengah. Pape Matar Sarr telah diturunkan dalam 24 dari 40 perlawanan. James Maddison dan Rodrigo Bentancur masing-masing 22 kali, Yves Bissouma 20 kali, Dejan Kulusevski 18 kali dan Lucas Bergvall 15 kali.

Penggiliran pemain adalah perkara biasa dalam bola sepak tetapi itulah yang tidak dapat dilakukan oleh Spurs sepanjang musim ini. Beberapa pemain seperti Kulusevski, Pedro Porro, Dominic Solanke dan Son Heung-min terpaksa bermain dalam setiap perlawanan. Sekiranya Spurs mempunyai lebih banyak pilihan untuk merehatkan pemain, mereka pasti dalam keadaan yang lebih baik sekarang.

Kecederaan dan Penggantungan Mengubah Percaturan

Sebahagian besar penggiliran yang dilakukan Postecoglou di bahagian tengah bukanlah kerana taktikal tetapi lebih kepada keperluan.

  • Bentancur terlepas 7 perlawanan domestik akibat penggantungan pada November dan Disember.
  • Kulusevski sering bermain di bahagian tengah sehingga November, kemudian lebih kerap digunakan sebagai pemain sayap akibat kecederaan di bahagian serangan.
  • Maddison baru kembali selepas 3 minggu direhatkan kerana kecederaan betis.
  • Bergvall, pemain yang dibeli pada musim panas mengambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.

Pada satu ketika, Postecoglou langsung tidak mempunyai fleksibiliti dalam pemilihan pemain. Selepas kekalahan 2-1 di tempat sendiri kepada Leicester City pada 26 Januari, beliau mengakui bahawa Sarr  sepatutnya tidak bermain kerana “jelas sekali dia tidak cergas.”

Situasi seperti ini diharapkan tidak berulang lagi sekarang kerana Spurs akhirnya mempunyai lebih ramai pilihan pemain.

Kombinasi Pilihan Postecoglou

Dari segi taktikal, Spurs hampir selalu bermain dengan 1 pemain NO6 dan 2 pemain NO8. Postecoglou telah memilih sama ada Bentancur atau Bissouma untuk posisi NO6 dalam 32 daripada 40 perlawanan. Dalam 5 perlawanan lain, mereka berdua bermula bersama. Hanya dalam 3 perlawanan Spurs tidak menggunakan kedua-duanya.

Di samping itu, Postecoglou juga mahukan kreativiti di bahagian tengah. Biasanya, peranan ini dimainkan oleh Maddison, Kulusevski atau Bergvall. Hanya dalam 1 perlawanan musim ini tiada seorang pun daripada mereka dirurunkan iaitu pada separuh akhir kedua Piala Carabao menentang Liverpool.

Pada awal musim, Postecoglou sering menggandingkan Maddison dan Kulusevski di bahagian tengah bersama seorang pemain No. 6. Namun sejak itu, mereka hanya bermula bersama sekali iaitu dalam perlawanan luar biasa menentang Everton yang disebutkan tadi.

Akhirnya, semua ini berbalik kepada satu perkara utama: mencari keseimbangan yang tepat.

  • Menggandingkan Maddison dan Kulusevski di bahagian tengah memberikan banyak kreativiti dan Spurs meraih kemenangan menarik ke atas Everton, Brentford dan Manchester United.
  • Namun, Spurs juga tampak lebih seimbang apabila Sarr berada di tengah untuk menampung kelemahan pertahanan. Tidak hairanlah dia menjadi pemain yang paling kerap beraksi di bahagian tengah musim ini.

Trio Tengah Paling Kerap Digunakan

1. Bissouma-Sarr-Maddison (7 kali)

  • Berjaya: Menang 4-0 ke atas Manchester City dan 4-3 ke atas Manchester United di Piala Carabao.
  • Gagal: Kekalahan kepada Bournemouth, Liverpool dan Tamworth di Piala FA.

2. Bentancur-Sarr-Kulusevski

  • Berjaya: Menang ke atas Manchester City dan Aston Villa.
  • Gagal: Kekalahan kepada Ipswich dan Nottingham Forest.

3. Bentancur-Kulusevski-Maddison

  • Digunakan 4 kali pada awal musim tetapi dihentikan selepas kekalahan kepada Brighton pada 6 Oktober.

Secara keseluruhan, terdapat 10 kombinasi trio tengah yang telah dicuba oleh Postecoglou pada musim ini. Jika bertanya kepada setiap peminat Spurs, pasti mereka akan memberikan kombinasi kegemaran masing-masing.

  • Ada yang percaya Kulusevski adalah pemain terbaik Spurs dan harus dibina di sekelilingnya.
  • Ada yang melihat Maddison sebagai enjin utama Spurs melalui 9 gol liganya musim ini.
  • Ada yang berpendapat Sarr adalah kunci keseimbangan pasukan.
  • Ada juga yang percaya Bergvall adalah pemain tengah terbaik Spurs sepanjang 2025 – setakat ini.

Di samping itu, seorang lagi pemain yang belum mendapat peluang di bahagian tengah ialah Archie Gray. Pemain berusia 18 tahun ini sering digunakan sebagai pertahanan kerana krisis kecederaan tetapi ramai peminat mahu melihatnya bermain sebagai NO6.

Apa yang pasti, dengan baki 13 perlawanan liga dan kempen Eropah yang masih berlangsung, Postecoglou kini mempunyai masa untuk menguji, mengubah dan mencari kombinasi terbaik. Jika keseimbangan yang sempurna berjaya ditemui, Spurs bukan sahaja boleh memperbaiki kedudukan liga tetapi juga berpotensi mara ke final Liga Europa yang akan berlangsung di Bilbao.

BACA:  Tottenham Hotspur Dedah Enam Pemain Yang Bakal Dilepaskan Musim Panas Ini