Stadium Baharu Everton dan Kebimbangan Masalah Pengangkutan yang Perlu Diselesaikan
Stesen Sandhills terletak di utara pusat bandar Liverpool. Ia menjadi tumpuan selepas acara ‘ujian pertama’ di stadium baharu Everton. Dalam cuaca musim sejuk yang berangin, ramai penyokong menunggu kereta api untuk pulang.
Stadium baharu Everton yang dibina dengan kos hampir £800 juta kelihatan mengagumkan dan berpotensi membawa perubahan besar, bukan sahaja kepada kelab tetapi juga kawasan sekitarnya yang sudah lama diabaikan.
Namun, ramai yang hadir mula menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan Stesen Sandhills serta infrastruktur pengangkutan di sekitar stadium.
Masalah di Stesen Sandhills
Berdasarkan pengalaman penyokong yang hadir, mereka yang meninggalkan acara lebih awal kerana kesejukan tidak menghadapi masalah besar untuk menaiki kereta api di Sandhills. Tetapi keadaan berubah sejurus selepas ‘perlawanan ujian’ antara pasukan bawah 18 tahun Everton dan Wigan Athletic tamat.
Tony Scott, pengendali podcast All Together Now Everton adalah salah seorang yang mengharungi kesesakan di stesen itu. Dia terpaksa menunggu lebih 40 minit dalam kawasan berpagarkan besi yang digelar ‘zon penyokong’. Apabila dapat masuk ke platform, dia dan anaknya berada dalam keadaan berhimpit.
Keadaan ini berlaku walaupun hanya 10,000 penyokong hadir dalam ‘acara ujian’ tersebut. Apabila stadium dibuka sepenuhnya kelak, ia akan menampung 53,000 penonton pada hari perlawanan biasa. ‘Ujian acara’ seterusnya akan dilakukan pada akhir Mac dan dijangka menarik sekitar 25,000 orang.
Pada keesokan harinya, Everton Fans Forum menulis surat terbuka kepada Datuk Bandar Metro Liverpool City Region, Steve Rotheram. Mereka mendakwa Stesen Sandhills terlalu sesak dan berbahaya dan menggesa pihak berkuasa pengangkutan mengambil tindakan segera.
Scott menyimpulkan keadaan dengan berkata, “Ini stadium bertaraf dunia tetapi sistem pengangkutannya kelas kedua.”
Usaha Everton Menangani Masalah
Everton bertindak pantas dengan menjemput pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa bandar, penyedia perkhidmatan pengangkutan dan kumpulan penyokong ke satu mesyuarat pada hari Jumaat lepas di ibu pejabat mereka di Royal Liver Building.
Stesen Sandhills yang terletak kurang dari 1.5 kilometer dari stadium dan hanya 15 minit berjalan kaki bakal menjadi laluan utama bagi penyokong yang menggunakan kereta api. Walaupun ia berada di bawah pentadbiran Merseytravel dan pihak berkuasa gabungan Rotheram, Everton telah menyumbang lebih £1 juta kepada stesen ini sebagai sebahagian daripada perjanjian asal pembinaan stadium.
Namun, bagaimana wang itu akan digunakan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan dan pengendali pengangkutan.
Menurut jurucakap Liverpool City Region Combined Authority, tujuan ‘acara ujian’ adalah untuk mengenal pasti masalah dan menyesuaikan perancangan bagi memastikan perlawanan dan acara besar dapat berlangsung dengan selamat. Sistem beratur di Sandhills adalah berdasarkan kaedah yang telah diuji semasa acara besar seperti perlumbaan kuda Grand National di Aintree.
Mereka juga berkata pihak berkuasa akan meneliti maklum balas penyokong dan mencari langkah segera untuk mengatasi masalah yang timbul. Rotheram sendiri akan bertemu dengan Everton Fans Forum dan bakal memberikan respons rasmi.
Namun, langkah pengawalan orang ramai di Sandhills yang diperkenalkan oleh Rotheram mendapat kecaman sejak ia diumumkan awal bulan ini.
Rotheram menegaskan bahawa langkah ini hanya peringkat awal dan perancangan lanjut akan menyusul. Menurut dokumen perancangan, kemudahan baharu akan merangkumi tangga, jambatan pejalan kaki, dan laluan bertingkat untuk akses ke platform. Selain itu, zon peminat akan diperbaiki dengan tandas baharu, pentas tetap, kawasan makanan dan minuman serta skrin digital bagi meningkatkan pengalaman penyokong.
Alternatif Pengangkutan yang Sedang Dikaji
Membina stesen baharu berhampiran stadium bukanlah pilihan yang realistik dalam situasi kewangan semasa. Pemimpin Parti Liberal Demokrat tempatan, Carl Cashman mencadangkan sistem tram baharu tetapi kosnya terlalu tinggi.
Sebagai alternatif, pihak berkuasa gabungan Rotheram sedang meneliti penggunaan tram tanpa landasan (glider) untuk membawa penumpang dari pusat bandar Liverpool ke stadium Everton.
Jurucakap mereka menjelaskan bahawa sistem ini akan menghubungkan pusat bandar Liverpool, Stadium Everton, Anfield dan Lapangan Terbang Liverpool John Lennon. Perancangan sedang berjalan dan sistem ini dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada 2028.
Sementara itu, wakil penyokong Everton mahu jadual perjalanan kereta api di Sandhills diubah suai termasuk menambah jumlah tren pada hari perlawanan dan menggunakan tren 8 gerabak berbanding 4 gerabak yang digunakan semasa ‘acara ujian’.
Isu Parkir dan Kritikan Terhadap Pihak Berkuasa
Dalam perdebatan di Radio Merseyside, Rotheram menyebut bahawa ketidaktentuan pemilikan Everton serta persoalan sama ada stadium akan disiapkan telah menghalang perancangan pengangkutan. Beliau menegaskan bahawa sebaik sahaja isu ini diselesaikan, pelaburan dalam pengurusan penyokong telah dibuat.
Everton menegaskan bahawa pembinaan stadium tidak pernah terhenti walaupun menghadapi cabaran semasa pandemik Covid-19. Kelab ini mengetuai kumpulan kerja pengangkutan dan telah menyumbang kepada pembaikan Sandhills tetapi keputusan penting masih dibuat oleh pakar industri.
Di sebalik cabaran ini, masih ada keyakinan bahawa Sandhills boleh menangani jumlah penonton pada hari perlawanan jika jadual perjalanan disesuaikan.
Selain pengangkutan, isu parkir juga menjadi kebimbangan utama. Perniagaan tempatan di sekitar stadium membantah Experimental Parking Zone yang diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Liverpool.
Peraturan ini yang dikuatkuasakan pada hari ujian pertama, melarang kebanyakan penyokong daripada meletakkan kenderaan berhampiran stadium. Dengan larangan ini, sekitar 3,000 perniagaan perlu memohon permit khas untuk parkir.
Pasar Blackstock Market, yang mewakili lebih 3,000 perniagaan dan 30,000 penduduk menggesa pihak berkuasa menarik balik keputusan itu atau sekurang-kurangnya mengehadkannya kepada hari perlawanan sahaja.
Jurucakap Majlis Bandaraya Liverpool berkata mereka sedang menilai kesan peraturan ini dan bersedia untuk menyesuaikannya sebelum musim baharu yang akan bermula pada Ogos.
Bagi penyokong kurang upaya, Everton dan pihak berkuasa tempatan sedang mencari jalan untuk menyediakan tempat letak kereta khas. Penyokong juga meminta pencahayaan jalan ditingkatkan di laluan berjalan kaki ke pusat bandar Liverpool.
Perlunya Tindakan Segera
Mesyuarat hari Jumaat ini akan melibatkan Everton Fans Forum, Everton Disabled Supporters Association, pihak berkuasa tempatan dan penyedia pengangkutan. Keputusan yang dibuat diharap dapat menyelesaikan isu utama sebelum stadium dibuka sepenuhnya.
Everton juga menekankan perkhidmatan bas ulang-alik yang akan beroperasi dari pusat bandar Liverpool, Stesen Lime Street dan Bootle ke stadium, termasuk perkhidmatan khas untuk penyokong kurang upaya dari Sandhills.
Dengan hanya 6 bulan sebelum musim baharu bermula dan Everton bersedia menjadi tuan rumah Euro 2028 serta acara muzik besar, isu pengangkutan perlu diselesaikan segera. Stadium baharu ini mungkin bertaraf dunia tetapi tanpa sistem pengangkutan yang baik, pengalaman penyokong boleh terjejas.
Sumber: Patrick Boyland