Stan Kroenke Lancar Bidaan Bernilai RM 2.89 Bilion Untuk Menjadi Pemilik Tunggal Arsenal

Pemegang saham terbesar Arsenal, Stan Kroenke melancarkan bidaan berjumlah £550 juta atau RM 2.89 bilion untuk membeli 30% pegangan saham yang dimiliki pemegang saham kedua terbesar Arsena, Alisher Usmanov.

Kroenke membuat tawaran tersebut dalam bentuk tunai dan sekiranya Usmanov menerima tawaran tersebut, Kroenke bakal bergelar pemilik tunggal Arsenal.

Kroenke bercadang untuk bergelar pemilik tunggal Arsenal, sama seperti Roman Abramovic di Chelsea

Berdasarkan tawaran terbaru Kroenke, Arsenal secara keseluruhannya kini dinilai pada harga £1.8 bilion atau RM 9.49 bilion. Sesungguhnya duit yang disonglap IMDB masih belum cukup untuk membeli Arsenal.

Kroenke merupakan bilionaire yang berasal dari Amerika Syarikat dan buat masa sekarang, beliau mempunyai 67% pegangan saham di Arsenal melalui syarikatnya, Kroenke Sports & Entertainment.

Beliau membuat tawaran untuk membeli 30% pegangan saham dalam Arsenal yang dimiliki oleh Syarikat Red and White Securities, syarikat penuh milik Usmanov yang juga seorang bilionaire berasal Uzbekistan.

Walaupun memiliki kekayaan lebih tinggi dari Kroenke, Usmanov gagal dalam usahanya untuk mengambil alih saham Arsenal dari Kroenke

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di London Stock Exchange, Kroenke dipetik berkata:

“Kami di Kroenke Sports & Entertainment (KSE) akan bergerak ke hadapan dengan membuat tawaran untuk memegang 100% pegangan saham dalam kelab Arsenal.”

“Kami menghargai dedikasi yang ditunjukkan Mr. Usmanov terhadap Kelab Bola Sepak Arsenal sepanjang tempoh beliau bersama kelab ini.”

Syarikat yang dimiliki Kroenke itu turut berkata mereka telah menerima ‘irrevocable undertaking’ (persetujuan dari pemilik saham yang menjadi sasaran untuk pengambil alihan) dari syarikat Usmanov bagi mempersetujui tawaran tersebut secepat mungkin. Tarikh tutup telah ditetapkan pada hari Selasa pukul 3 P.M waktu tempatan.

Pada Oktober tahun lepas, syarikat Kroenke telah membuat tawaran berjumlah  £550 juta untuk membeli lebihan saham dalam Arsenal yang dimiliki oleh syarikat Usmanov.

Kroenke percaya pemilikan tunggal mampu memacu Arsenal berkembang pada kadar yang lebih pantas dalam usaha kelab berkenaan untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana Inggeris yang semakin hari semakin mencabar.

“Sekiranya tawaran ini diterima, ia bakal membuka lembaran baru dalam sejarah kelab ini dan KSE bakal memiliki 100% pegangan saham dalam Arsenal buat kali pertama.”

Financial Times pernah melaporkan pada Julai lalu yang Usmanov sedang mempertimbangkan niatnya untuk menjual pegangan saham Arsenal yang dimilikinya kepada Kroenke selepas gagal dalam percubaannya untuk mengambil alih Arsenal secara penuh.

Pengurus kesayangan Kroenke kerana Wenger seorang yang pandai membuat duit

Dengan perkembangan terbaru ini, Arsenal bakal melalui satu lagi perubahan besar selepas Arsene Wenger meninggalkan tampuk pengurusan kelab tersebut pada hujung musim lepas. Arsenal telah membawa masuk Unai Emery untuk menggantikan tempat Wenger.

Arsenal juga dilaporkan bakal kehilangan khidmat Ketua Eksekutif mereka, Ivan Gazidis yang dijangka menyertai AC Milan sebagai Eksekutif Direktor pada September ini, seperti yang dilaporkan oleh Sky Italia.

Kelab penyokong Arsenal, Arsenal’s Supporter Trust telah mengkritik tindakan Kroenke yang cuba mengambil alih pegangan penuh dalam Arsenal dan menggambarkan situasi ini sebagai ‘hari yang sengsara’ bagi peminat kelab berkenaan.

BACA:  Mourinho Beri Gambaran Masa Depan Mkhitaryan Bukan Di Manchester United