Steven Gerrard Dalam Perbincangan Untuk Menjadi Pengurus Rangers Yang Seterusnya

Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard kini dalam perbincangan untuk mengambil alih jawatan pengurus di Rangers menurut sumber terkini daripada BBC dan Sky Sports.

Rangers telah menghubungi Gerrard untuk menyatakan minat mereka supaya mengemudi pasukan utama musim hadapan dan menurut sumber itu juga, jawatan pengurus Rangers akan menjadi milik Gerrard sekiranya beliau mahu.

Calon utama untuk menjadi pengurus Rangers yang seterusnya

Gerrard yang kini berusia 37 tahun sedang menimba pengalaman dalam bidang pengurusan dengan menjadi jurulatih pasukan remaja Liverpool.

Jawatan pengurus di Rangers kini disandang oleh Graeme Murty yang berusia 43 tahun sejak Oktober tahun lalu tetapi kelab berkenaan mahu calon yang baru untuk mengisi posisi tersebut musim hadapan. Dan individu yang menjadi pilihan utama mereka adalah bekas kapten England dan Liverpool, Steven Gerrard.

Sekiranya Gerrard bersetuju untuk menerima tawaran Rangers, beliau akan menyertai bekas pengurusnya di Liverpool dahulu di Scotland iaitu Brendan Rodgers. Rodgers kini mengemudi pasukan Celtic dan mereka semakin hampir untuk memenangi ‘Treble’ untuk dua musim berturut-turut.

Kini sedang menimba pengalaman dalam bidang pengurusan dengan menjadi jurulatih Skuad Pembangunan Liverpool

Berita ini juga turut disambut baik oleh pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang berkata kelab berkenaan akan menyokong segala keputusan yang akan diambil oleh bekas kapten mereka tersebut.

“Saya tidak risau. Apa sahaja keputusan yang diambil oleh Gerrard, kami akan menyokongnya. Buat masa sekarang Gerrard masih lagi belum membuat keputusan.”

“Saya sudah menjangka akan ada kelab yang akan cuba mendapatkan khidmat Gerrard kerana beliau memiliki pengalaman yang luas dalam bolasepak. Kami akan menyokong setiap keputusan yang diambil oleh beliau.”

Tetapi bukan semua pihak menyambut baik tindakan Rangers untuk melantik Gerrard sebagai pengurus pasukan. Bekas kapten Rangers, Lee McCulloch berkata Rangers mengambil risiko yang besar dengan melantik Gerrard kerana bekas pemain Liverpool tersebut masih lagi baru dalam bidang pengurusan.

Sekiranya Gerrard menerima tawaran Rangers, perkara pertama yang perlu dilakukan beliau adalah memikirkan cara untuk menghalang dominasi Celtic di Scotland.

“Betul, Gerrard adalah jurulatih bawah 18-Tahun, pemain yang fantastik untuk kelab dan negara, dan juga telah memenangi Liga Juara-Juara dan UEFA Cup.”

“Tetapi dari segi pengurusan kelab, beliau masih kekurangan pengalaman. Keputusan untuk melantik Gerrard hadir dengan risiko yang tinggi.”

Untuk rekod, Gerrard berjaya mempamerkan prestasi yang baik sepanjang bergelar jurulatih skuad bawah 18-Tahun Liverpool dimana pasukan beliau menduduki tangga ke-4 dalam Divisyen 1.

BACA:  Jawapan Bijak Gerrard Ketika Ditanya Tentang Liverpool Buat Wartawan Mati Kutu