Strategi Arsenal: Menyimpan Dana untuk Perancangan Musim Panas 2025

Pada awal jendela perpindahan Januari, Arsenal merancang untuk menumpukam fokus kepada masa depan dengan membawa masuk pemain muda berbakat yang boleh memperkukuh skuad sedia ada dan memberi nilai jangka panjang. Sasaran utama mereka ialah dua pemain berusia 18 tahun iaitu Vitor Reis, seorang pertahanan tengah dari Brazil dan Sverre Nypan, pemain muda antarabangsa Norway.

Namun, mereka juga sedar bahawa jendela perpindahan Januari sering kali memerlukan tindakan segera untuk mengatasi masalah kecederaan dalam pasukan. Apabila Bukayo Saka mengalami kecederaan hamstring pada 21 Disember, perancangan asal Arsenal mula terjejas. Keadaan menjadi bertambah rumit apabila Gabriel Jesus mengalami kecederaan lutut serius yang menyebabkan mereka semakin terdesak mencari penyerang baharu.

Dalam tempoh itu, Manchester City telah bergerak lebih pantas dalam usaha mendapatkan Reis. Arsenal memantau pemain itu dengan teliti malah mereka telah menghantar wakil menonton perlawanan Palmeiras menentang Corinthians. Ketika itu Arsenal dilihat sebagai destinasi utama Reis, malah Arsenal dilihat lebih berpeluang mendapatkannya berbanding Real Madrid. Reis dikenal pasti sebagai pemain jangka panjang untuk memperkukuh pertahanan Arsenal.

Namun, timbul perdebatan mengenai bagaimana bajet perpindahan yang perlu dikeluarkan oleh Arsenal. Arsenal memasuki jendela Januari dengan bajet yang besar tetapi terhad. Ia kerana Arsenal juga merancang untuk mendapatkan Martin Zubimendi dari Real Sociedad. Jason Ayto dan James King mengambil alih rundingan untuk mendapatkan Zubimendi daripada Edu. Arsenal masih berada dalam kedudukan kukuh untuk mendapatkan pemain tengah Sepanyol itu.

Mikel Arteta dan beberapa pihak dalam kelab berpendapat bahawa sebahagian bajet perlu disimpan sekiranya terdapat keperluan mendesak dalam pasukan utama. Harga Reis dianggarkan sekitar £30 juts. Sebelum Jesus cedera, Arteta sudah ragu-ragu untuk berbelanja sebanyak itu bagi seorang pemain yang tidak akan memberi impak segera. Lebih-lebih lagi dalam posisi yang sudah mempunyai banyak pilihan.

Mencari Penyerang Baru

Arsenal perlu mencari penyerang yang sesuai dalam masa singkat. Arteta tidak mahu sekadar menambah bilangan pemain dalam skuad. Dia mahukan pemain yang benar-benar mampu meningkatkan mutu pasukan.

Calon pilihan utama Arteta, Alexander Isak, terlalu mahal dan sukar didapati. Arsenal juga cuba mendapatkan Benjamin Sesko tetapi RB Leipzig menolak sebarang tawaran kerana mereka tidak mahu kehilangan bintang utamanya di pertengahan musim. Sesko yang baru menandatangani kontrak baharu pada Jun 2024 juga lebih cenderung untuk kekal di Jerman sehingga akhir musim.

Kemungkinan mendapatkan Ollie Watkins mula dibincangkan. Villa memang merancang untuk menjual salah seorang daripada Watkins atau Jhon Duran kerana sukar untuk memberi mereka berdua tempat dalam kesebelasan utama.

Ketika itu Villa sedang berunding dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr mengenai penjualan Duran. Disebabkan masih ada ketidakpastian sama ada perpindahan itu akan berlaku, Villa bersedia untuk menjual Watkins kepada Arsenal dengan harga sekitar £60 juta.

Arteta sangat berminat. Walaupun Watkins tidak pernah menjadi sasaran Arsenal sebelum ini. Arteta percaya Watkins adalah penyerang yang sudah terbukti dalam Liga Perdana yang boleh memberi impak segera. Masalahnya jika Arsenal membeli Watkins ia bermakna Arsenal terpaksa melupakan Sesko pada musim panas nanti.

Tidak semua orang dalam kelab bersetuju dengan keputusan itu. Ada yang berpendapat bahawa harga Watkins terlalu tinggi untuk pemain yang bakal mencecah usia 30 tahun. Terdapat juga kebimbangan mengenai nilai jualan semula serta kesan terhadap perancangan masa depan pasukan. Tidak kira apa pandangan pihak lain, pandangan Arteta lebih berpengaruh. Josh Kroenke, pemilik bersama Arsenal tiba di London beberapa hari selepas perlawanan menentang Villa untuk membincangkan strategi perpindahan. Keputusan dibuat untuk terus mendapatkan Watkins.

Sebagai peminat Arsenal sejak kecil, Watkins sangat teruja dengan peluang untuk menyertai kelab itu. Pada 27 Januari, Arsenal mengemukakan tawaran pertama sebanyak £40 juta tetapi Villa menolaknya serta-merta kerana terlalu rendah. Arsenal bersedia untuk menaikkan tawaran tetapi apabila Al Nassr bersetuju untuk membeli Duran, Villa tidak lagi mahu menjual Watkins. Ketika berita mengenai minat Arsenal terhadap Watkins tersebar perpindahan itu sebenarnya sudah pun gagal.

Beberapa Percubaan yang Tidak Berjaya

Selain Watkins, Arsenal juga cuba menandatangani Sverre Nypan dari Rosenborg. Pemain tengah muda itu menarik perhatian beberapa kelab lain termasuk Girona dan Aston Villa. Nypan datang ke England pada 25 Januari untuk berbincang dengan Arsenal tetapi akhirnya memutuskan untuk kekal di Rosenborg sehingga musim.

Dengan hanya beberapa hari berbaki sebelum jendela perpindahan ditutup, Arsenal mencari pilihan lain. Mereka mengadakan perbincangan dengan wakil penjaga gol Espanyol, Joan Garcia yang sebelum ini mereka cuba dapatkan pada musim panas lalu. Dalam mesyuarat yang sama, Arsenal menyatakan minat terhadap Alvaro Morata dari AC Milan. Arsenal cuba mendapatkan penyerang berusia 32 tahun itu secara pinjaman tetapi Galatasaray bertindak lebih pantas dan berjaya mendapatkan pemain itu.

Selain Watkins dan Morata, tidak ramai penyerang lain dalam pasaran yang menarik perhatian Arteta. Arsenal pernah meminati Evan Ferguson tetapi mereka tidak boleh meminjamnya kerana sudah mempunyai Raheem Sterling dan Neto dalam skuad secara pinjaman. Sementara itu, Bayern Munich menawarkan Mathys Tel kepada Arsenal tetapi kelab itu tidak melihatnya sebagai penyerang utama yang mereka perlukan.

Akhirnya, jendela perpindahan Januari berakhir tanpa sebarang pembelian besar oleh Arsenal. Mereka juga memilih untuk tidak membawa pulang Fabio Vieira dari Porto. Borussia Dortmund berminat mendapatkan Oleksandr Zinchenko secara pinjaman tetapi Arsenal hanya mahu menjualnya secara tetap. Celtic juga cuba mempercepatkan perpindahan Kieran Tierney tetapi pemain itu dan Arsenal bersetuju untuk kekal sehingga musim panas.

Tumpuan di Musim Panas

Keputusan untuk tidak membuat pembelian pada Januari ini meningkatkan tekanan terhadap jendela perpindahan musim panas. Arsenal berharap untuk mendapatkan Zubimendi dengan harga £50 juta dan masih memantau perkembangan Nypan serta Garcia.

Yang paling penting, Arsenal akan menyelesaikan isu penyerang utama. Mereka masih berminat dengan Isak dan Sesko dan tidak mustahil mereka akan mencuba sekali lagi untuk mendapatkan Watkins. Apabila musim panas tiba, Arteta dan Arsenal mempunyai lebih banyak pilihan mengenai penyerang yang mereka mahu buru.

Walaupun jendela Januari telah ditutup, perancangan Arsenal untuk musim panas terus berjalan. Buat masa ini, Jason Ayto akan mengetuainya. Bulan ini menjadi ujian besar baginya seolah-olah ia satu “temu duga pekerjaan” secara langsung untuk jawatan pengarah sukan, di mana dia perlu mengimbangi keperluan jangka pendek dan jangka panjang kelab.

Keputusan untuk tidak membeli pemain mungkin menimbulkan keraguan dari luar tetapi kebijaksanaannya dalam mengurus bajet mungkin lebih dihargai secara dalaman. Arsenal kini sedang mencari pengarah sukan tetap sebelum musim panas.

Mereka sedar bahawa jendela perpindahan musim panas ini amat penting dan perlu mmberjaya. Namun sebelum itu, mereka masih dalam persaingan merebut trofi. Selepas separuh akhir Piala Carabao menentang Newcastle, skuad Arsenal akan terbang ke Dubai untuk menjalani latihan cuaca panas.

Para penyerang Arsenal perlu menggunakan peluang rehat ini dengan sebaiknya. Ia kerana kecergasan mereka terutama Kai Havertz akan menjadi faktor utama dalam menentukan kejayaan kelab musim ini.

BACA:  Dapat Penalti Pun Cara Keji Sebab Tu Tak Score