Ketika hari terakhir jendela perpindahan ditutup semalam, keadaan pusat latihan di Kirkby Liverpool sunyi sepi. Para pemain Arne Slot sedang menikmati cuti selama 2 hari selepas kemenangan 2-0 di Bournemouth.
Mereka telah pergi ke London untuk berkumpul disana bagi tujuan pengukuhan pasukan. Mereka menjamu selera di restoran Jepun-Peru, Pirana yang terletak di kawasan mewah Mayfair. Ia adalah peluang yang jarang diperolehi oleh mereka, untuk berehat dan bersosial bersama-sama kerana kepadatan jadual. Jika Liverpool berjaya menjuarai semua 4 pertandingan yang disertainya, ia bermakna mereka akan bermain sebanyak 65 perlawanan.
Pada hari Isnin, telah diumumkan bahawa usaha mereka untuk mencapai kejayaan dalam 4 kejohanan tidak akan melibatkan sebarang pengambilan pemain baru. Tiada pemain baharu yang dibawa masuk dalam jendela perpindahan kali ini.
Sejak awal bulan Januari, Liverpool telah menunjukkan mereka tidak berhasrat untuk memperkuat skuad dengan pemain baharu. Walaupun terdapat desakan dari segelintir penyokong supaya menambah pemain tetapi Slot telah menyatakan dia sudah berpuas hati dengan pilihan yang dia ada.
Pengarah sukan, Richard Hughes bersedia untuk bertindak sekiranya berlaku kecederaan serius atau terdapat peluang di pasaran yang menarik muncul tetapi kedua-dua senario itu tidak berlaku.
Ia juga bermakna hanya Federico Chiesa yang dibeli dengan bayaran awal sebanyak £10 juta dari Juventus tiba musim panas lalu, kekal sebagai satu-satunya pemain senior yang tiba di Anfield dalam 3 jendela pemindahan terakhir. Untuk jendela seterusnya Liverpool telah mencapai persetujuan untuk membeli penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili dengan harga £29 juta. Dia akan menyertai Liverpool pada hujung musim ini.
Tiada kebimbangan di dalam kelab itu walaupun segelintir pihak luar merasa sebaliknya. Para pegawai senior di Anfield merujuk kepada kekuatan barisan simpanan yang dimiliki Slot ketika perlawanan menentang Bournemouth. Kumpulan itu terdiri dari Diogo Jota, Darwin Nunez, Curtis Jones, Harvey Elliott, Wataru Endo, Conor Bradley, Jarell Quansah, Kostas Tsimikas dan Caoimhin Kelleher. Chiesa dan Joe Gomez juga semakin cergas namun masih tiada ruang untuk mereka berada dalam skuad 20 pemain pada hari perlawanan. Ia bermakna Liverpool yakin mereka mempunyai squad depth yang cukup baik.
Sebelum ini, terdapat desakan ketidakpuasan berikutan kekurangan aktiviti pemindahan pada musim panas, tetapi keputusan untuk tidak meneruskan pelan B selepas gagal menandatangani Martin Zubimendi dari Real Sociedad ternyata memberi sudut positif apabila Ryan Gravenberch menunjukkan prestasi yang baik dalam peranan NO6.
Kepercayaan Hughes dan Slot bahawa terdapat potensi besar untuk pembangunan dalam kalangan pemain sedia ada tidak sia-sia. Kini, Liverpool mendahului 6 mata di puncak Liga Premier dengan 1 perlawanan di tangan.
Pada hari Khamis nanti Liverpool berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir Piala Carabao jika mereka dapat menterbalikkan defisit 1-0. Liverpool akan turun menentang Tottenham Hotspur di Anfield. Mereka juga telah melayakkan diri ke pusingan ke-16 Liga Juara-Juara selepas menduduki tempat pertama dalam fasa liga 36 pasukan. Liverpool menang 7 kali dari 8 perlawanan. Liverpool juga telah mara ke pusingan ke-4 Piala FA.
Kenangan musim lepas ketika Liverpool gagal pada saat-saat akhir masih segar di ingatan. Mereka mendahului Liga Perdana pada awal April tetapi akhirnya menamatkan musim di tempat ke-3 di belakang Manchester City dan Arsenal. Dalam tempoh buruk itu Liverpool hanya menang 3 kali daripada 8 perlawanan terakhirnya.
Terdapat harapan di dalam kelab bahawa dasar penggiliran pemain oleh Slot disamping rejim latihan yang kurang intensif telah membuatkan rekod kecederaan pemain menjadi lebih baik. Situasi itu akan membantu Liverpool bertahan lebih lama untuk musim ini.
Pada bulan lepas terdapat satu laporan kuat Liverpool mahu mendapatkan pemain sayap Napoli, Khvicha Kvaratskhelia. Namun Liverpool memilih untuk tidak meneruskan usaha memdapatkan pemain antarabangsa Georgia itu. Kvaratskhelia kemudiannya menyertai Paris Saint-Germain melalui perjanjian bernilai sekitar £66 juta. Bagi Liverpool, membeli pemain serangan kiri tidak masuk akal kerana mereka sudah mempunyai Cody Gakpo dan Luis Diaz.
Posisi bek kiri juga menjadi topik perdebatan memandangkan prestasi Andy Robertson yang semakin kurang memuaskan. Tsimikas bukan pengganti jangka panjangnya. Dia tidak boleh dijadikan lemak utama dan penambahan di posisi itu mungkin berlaku pada musim panas nanti.
Sekarang Gomez telah pulih dari kecederaan hamstring, Slot mempunyai 4 pemain pertahanan tengah. Quansah menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas melalui tempoh sukar pada separuh pertama musim. Kekurangan sokongan untuk Gravenberch juga sering dianggap sebagai kelemahan skuad. Tetapi Liverpool masih mempunyai Endo yang telah mengisi kekosongan tersebut dengan baik apabila diperlukan.
Strategi kelab adalah untuk bersikap tenang semasa jendela perpindahan kali ini, bukan kerana pemilik kedekut untuk berbelanja. Model perniagaan Liverpool memerlukan mereka bijak dalam berbelanja. Liverpool dijangka akan membeli pemain baharu pada musim panas nanti.
Kawasan yang perlu diperkukuh akan dipengaruhi oleh keputusan masa depan Virgil van Dijk, Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold. Ketiga-tiga pemain ini berada dalam 5 bulan terakhir kontrak. Rancangan kontingensi telah disediakan untuk Liverpool mengharungi semua kemungkinan.
Keazaman Liverpool untuk mengekalkan skuad ini bagi memaksimumkan potensi mereka dalam musim 2024-25 bermakna, mereka menolak tawaran daripada Real Madrid mendapatkan membeli Alexander-Arnold pada bulan Januari. Liverpool kini berisiko kehilangan naib kapten mereka secara percuma apabila kontraknya tamat pada bulan Jun nanti. Liverpool percaya bahawa mengekalkan Alexander-Arnold sehingga kempen mereka berakhir pada bulan Mei lebih berharga daripada menerima tawaran £20- £30 juta. Kesan kehilangan pemain itu pada pertengahan musim juga agak besar.
Seorang perantara telah menghubungi Liverpool tentang minat dari Liga Pro Saudi terhadap Nunez namun tiada perbincangan kerana kelab menyatakan pemain itu tidak akan dijual. Masa depan jangka panjang Nunez masih tidak jelas, dengan bekas penyerang Benfica itu masih tidak dapat memastikan tempat permulaan tetap di Liverpool pada musim ketiganya disana. Namun aksi cemerlangnya dalam kemenangan ke atas Brentford menunjukkan kemampuannya memberi impak dari bangku simpanan. Dia menawarkan Slot pilihan serangan yang berbeza selain Jota dan Diaz.
Liverpool juga menolak bidaan daripada Crystal Palace (£15 juta) dan Ipswich Town (£16 juta) untuk pemain sayap muda Scotland, Ben Doak. Mereka gembira dengan perkembangan Doak yang sedang dipinjamkan ke Middlesbrough. Liverpool percaya pemain berusia 19 tahun itu boleh menjadi sebahagian daripada rancangan pasukan utama Slot bermula musim depan.
Terdapat beberapa pemergian pada hari terakhir pemindahan. Penyerang berusia 19 tahun, Jayden Danns menandatangani kontrak baru sebelum menyertai Sunderland secara pinjaman untuk baki musim ini. Pemain sayap Kaide Gordon, berusia 20 tahun juga melengkapkan pemindahan sementara ke Portsmouth. Sebelum ini, Marcelo Pitaluga (Fluminense) dan Tom Hill (Harrogate Town) telah menyelesaikan perpindahan kekal. Manakala terdapat perjanjian pinjaman untuk Stefan Bajcetic (Las Palmas) dan Calvin Ramsay (Kilmarnock).
Mereka yang mengharapkan Liverpool membeli pemain pada musim sejuk ini pasti berasa kecewa. Namun, di pihak kelab mereka tidak merasakan keperluan untuk melakukan sebarang penambahan pemain. Skuad ini telah membina platform yang sempurna untuk meraih trofi dan mereka mendapat sokongan untuk menyelesaikan misi mereka yang berbaki 4 bulan lagi.