Syarat Sah Anugerah Puskas

Suatu ketika dahulu, ketika zaman pra-Faiz Subri, mungkin tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan satu anugerah khas FIFA untuk gol yang paling cantik dalam satu tahun yang diberi nama Anugerah Puskas.

Namun, dengan kejayaan Faiz Subri merangkul anugerah gol tercantik dunia tahun 2016, rakyat Malaysia bagaikan begitu obses dengan gol cantik.

Asal gol cantik di mata mereka, pasti akan dicanang sebagai calon anugerah Puskas, ibarat asal nampak jejaka kacak, pasti digelar Fatah Amin. Kelakar kan?

Faiz Subri sepatutnya sudah bergelar Datuk Seri

Saingan liga Malaysia sedang menghampiri separuh musim dan banyak gol-gol cantik yang telah dijaringkan terutamanya daripada pemain import Pahang, Herold Goulon.

Herold Goulon bagaikan lahir ke dunia ini untuk menjaringkan gol dari jarak jauh, maka bertebaranlah gesaan di media sosial supaya FAM menghantar pencalonan ke anugerah Puskas.

Gesaan kali ini turut dizahirkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail yang nyata kagum dengna jaringan itu.

Jadi kami nak tanya, tahu ke apa syarat sah Anugerah Puskas? Kalau tak tahu baca perkongsian di bawah.

Syarat Sah Pencalonan Anugerah Puskas

Menurut jumhur umara’ dari FIFA, mereka telah bersepakat bahawa terdapat empat rukun yang perlu dipenuhi untuk memenuhi syarat sah pencalonan.

1- Gol dijaringkan mestilah cantik.

Cantik itu subjektif. Antara gol yang boleh dikira sebagai cantik seperti gol jarak jauh, gol berpasukan, gol sepakan gunting, gol individu yang menggelecek 11 orang pemain lawan, gol guna hidung atau apa sahaja yang dikira sebagai cantik.

Nak tahu cantik tu macam mana, tepuk dada, tanya iman.

2- Gol mestilah dikira tanpa mengira kejohanan, jantina penjaring atau kewarganegaraan.

Gol yang dijaringkan perlu dimainkan di kejuaraan yang dianjurkan oleh FIFA atau badan bersekutunya. Jadi, kalau kau main liga Setia Alam atau liga Alumni kau jaringkan gol cantik macam mana sekalipun, kau tetap tak akan dicalonkan ke anugerah Puskas.

Jadi berhentilah mencuba.

Dalam kes Herold Goulon, golnya yang cantik layak untuk dipersembahkan oleh FAM kepada FIFA untuk pencalonan anugerah Puskas, walaupun dia bukan warganegara Malaysia.

Andai Alan Shearer kembali dari persaraan bermain untuk Melaka United dan jaringkan gol cantik, gol tersebut tetap layak untuk dicalonkan.

3- Gol mestilah bukan bernasib baik, hasil kesilapan, bola tertampan atau pemain yang berada dalam keadaan ofsaid.

Dengan kata lain, gol mestilah hasil kerja yang dirancang. Kalau pemain yang menjaringkan gol tersebut berada dalam keadaan ofsaid, meskipun gol tersebut dikira dalam perlawanan, ia tetap tidak sah untuk dibawa ke anugerah Puskas.

4- Gol mestilah mengikut lunas-lunas fair play.

Maksudnya di sini pemain yang menjaringkan gol atau terlibat dalam jaringan mestilah berperangai elok. Contohnya kau jaringkan gol dalam Liga Super di stadium Darul Makmur.

Selepas jaringan cantik sepakan gunting dari tengah padang, kau celebrate sambil berbogel, maka gol ini tidak akan dibawa ke tengah. Kalau kau balut dulu sebelum bermain dan disahkan positif, maka gol tersebut juga tidak akan dipandang mulia.

Isu di Malaysia

Ketika Faiz Subri menjaringkan gol fenomenon pada tahun lalu, perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang tersebut ditayangkan secara langsung. Jadi timbul isu, jika dan hanya jika perlawanan tersebut tidak disiarkan secara langsung, adakah gol tersebut dikira?

Untuk menjawab persoalan ini, ada baiknya kita merujuk kembali kepada rukun sah anugerah puskas. Tidak dinyatakan dalam empat perkara di atas bahawa gol tersebut mestilah disiarkan secara langsung dan dengan kata lain, kalau gol tersebut dirakam dengan Samsung Corby sekalipun boleh dibawa ke tengah.

Tapi FIFA amat mementingkan hubungan ahli sekutunya dengan penaja dan penyiar rasmi dan oleh sebab itu, hanya video yang dikeluarkan oleh penyiar rasmi sahaja yang akan dilayan oleh FAM dan FIFA.

Jadi, sewaktu perlawanan berlangsung di stadium, simpan telefon kau tu. Orang gi stadium untuk tengok bola, bukan untuk selfie.

Lagipun, walaupun tiada perlawanan siaran langsung semua perlawanan seperti yang dijanjikan FMLLP dan FAM sebelum ini, pihak penyiar rasmi tetap akan merakam perlawanan tersebut untuk dimasukkan ke arkib mereka, selain untuk tujuan berita sukan di rangkaian berita masing-masing.

Itu kalau di Malaysia lah, kalau negara lain kau tak payah nak sibuk. Senang.

Rujukan :

1- Wikipedia

2- FIFA.com

3- Copy dari group sebelah

Baca Juga

Baca Juga