Szoboszlai Kongsi Bagaimana Rutin Di Padang Latihan Bantu Cetus Gol Pertama Untuk Liverpool

Bintang baharu Liverpool Dominik Szoboszlai mendedahkan bagaimana gol pertamanya untuk kelab baharunya itu sebenarnya dicipta hasil rutin di padang latihan.

Szoboszlai sekali lagi menampilkan persembahan memberangsangkan untuk memikat hati penyokong Liverpool pada hujung minggu lalu.

Pemain itu memainkan peranan penting membantu Liverpool dengan mudah menewaskan Aston Villa 3-0 di Anfield pada Ahad lalu.

Tidak menunggu lama, pemain tengah itu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga dengan percubaan deras menuju ke penjuru bawah kanan gawang Aston Villa selepas pemain pertahanan pasukan pelawat gagal mengeluarkan bola yang berpunca daripada gerakan set-pieces oleh Trent Alexander-Arnold.

Bercakap kepada laman sesawang rasmi kelab selepas perlawanan, Szoboszlai mengakui jaringan tersebut terhasil berkat rutin di padang latihan baru-baru ini. Sudah tentu hasilnya lebih manis kerana berjaya dituai ketika perlawanan.

“Saya gembira pasukan memperolehi tiga mata di tempat sendiri. Permainan sangat baik, reaksinya juga hebat. Saya berpendapat setiap pemain menampilkan diri mereka sebagai sebuah pasukan dengan cemerlang.

“Saya juga sangat gembira untuk jaringan pertama saya di Anfield. Tidak ada perkara yang lebih baik selain daripada itu yang saya boleh harapkan.

“Jujur seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, kami melakukan gerakan tersebut ketika latihan dan kalau tidak silap dua minggu lalu saya berhadapan situasi hampir sama, dan saya melakukan percubaan dari jarak 50 meter.

“Hari ini saya memberikan fokus lebih lagi sebelum merembat bola dan ia menerjah jaring… ia berjaya.”

Szoboszlai turut meluahkan rasa kagum akan kualiti dan kekuatan skuad Liverpool pada hari ini.

“Kami benar-benar memiliki sebuah skuad yang bagus. Joel [Matip] bermula hari ini dengan cemerlang, bermain sehingga ke akhirnya. Dia memenangi semua perebutan bola.

“Kami memerlukan pemain sebegini. Kami perlukan setiap pemain kekal cergas dan jika ada sesuatu [kecederaan] berlaku, anda perlu sentiasa bersedia.

“Kami harus bertenang dan terus bekerja keras seperti yang kami lakukan sekarang, dan perkara seterusnya akan datang sendiri,” tambahnya lagi.

BACA:  Asal Usul Lagu Keramat Liverpool, You'll Never Walk Alone