“Tak Terima Kekalahan” – Penyokong Nigeria Merusuh Merosakkan Stadium Selepas Gagal Ke Piala Dunia

Penyokong Nigeria menceroboh masuk ke padang di Moshood Abiola National Stadium selepas melihat skuad kebangsaan mereka gagal untuk layak ke Piala Dunia.

Bukan sekadar menceroboh masuk ke padang, mereka bahkan turut merosakkan stadium dek kerana terlalu koyak menanggung kekalahan.

The Super Eagles diikat 1-1 oleh Ghana dan gol away jaringan Thomas Partey sudah cukup untuk membawa pasukan pelawat layak ke Piala Dunia selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan ketika aksi leg pertama sebelum ini.

Ghana terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 permainan menerusi Thomas Partey sebelum Nigeria kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-22 permainan.

William Troost-Ekong cemerlang menyempurnakan sepakan penalti yang dimenangi oleh Ademola Lookman untuk mengikat Ghana dengan keputusan seri 1-1.

Para penyokong Nigeria tak boleh menerima kenyataan yang skuad kebangsaan mereka gagal untuk memburu gol kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Selepas wisel penamat dibunyikan, para penyokong yang ada di stadium dilihat terus menceroboh ke padang dan menghuru-harakan keadaan di padang dan stadium.

Ini merupakan kali pertama Nigeria gagal untuk layak ke Piala Dunia sejak 16 tahun lalu dan tidak keterlaluan untuk katakan, para penyokong bersikap begitu kerana terbawa-bawa dengan rekod tersebut.

Ada media yang melaporkan bahawa penyokong pasukan tuan rumah turut bergaduh dengan pihak polis hingga menyebabkan pegawai bertugas terpaksa menggunakan gas pemedih mata.

Pemain Ghana terpaksa di usir keluar dari stadium selepas ada antara mereka yang dilempar dengan objek oleh para penyokong.

Ia jelas sekali situasi yang sangat mencemaskan kerana petugas keselamatan sendiri gagal untuk mengawal keadaan di dalam stadium.

Hal seperti ini tak sepatutnya berlaku namun memikirkan kegilaan penduduk Afrika dengan bola sepak, maka tak terkejut untuk melihat insiden seperti ini.

Setakat ini tiada pemain yang mengalami kecederaan atau masalah apa-apa, melainkan stadium yang rosak teruk akibat kerakusan para penyokong.

Ghana terlepas kesempatan untuk layak ke Piala Dunia 2018 dan edisi kali ini merupakan edisi keempat mereka layak untuk beraksi di pentas Piala Dunia.

The Black Stars berjaya melalui musim paling cemerlang dan dianggap terhebat dari mana-mana pasukan Afrika lain pada 2010 lalu, selepas mereka berjaya layak ke peringkat suku akhir.

Kemenangan ke atas United States di pusingan 16 terbaik membawa Ghana ke peringkat suku akhir untuk bertemu Uruguay.

Mereka tewas dalam perlawanan tersebut menerusi sepakan penalti selepas Luis Suarez jadi penghalang Ghana menjaringkan gol kemenangan dengan menampan bola menggunakan tangan.

Usaha Suarez mengorbankan dirinya hingga dilayangkan kad merah membuahkan hasil selepas perlawanan tersebut berkesudahan seri 1-1.

Selain Ghana, Senegal juga berjaya melayakan diri ke pentas Piala Dunia selepas kejayaan mereka menewaskan Mesir 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi.

Keputusan seri 1-1 dalam aksi kedua-dua leg memperlihatkan Senegal dan Mesir terpaksa sekali lagi bermain di penentuan sepakan penalti untuk menentukan siapa yang layak ke Piala Dunia.

Kedua-dua pasukan gagal sempurnakan sepakan penalti keempat mereka, namun dek kerana silau dengan laser dari penyokong tuan rumah, Mesir gagal untuk tewaskan Senegal.

Sama seperti ketika aksi perlawanan akhir AFCON pada Februari lalu, Sadio Mane sekali lagi menjadi wira Senegal selepas meledak gol penentu untuk bantu negaranya layak ke Qatar.

Mujur saja penyokong Mesir tak buat perangai masuk ke padang mengamuk macam penyokong Nigeria.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sedih Osihhem Diejek Napoli, Kerajaan Nigeria Mahu Guna Kaedah Diplomatik Tuntut Keadilan