“Takkan Liverpool Beli Balik Suarez” – Man Utd Berfikir Seperti Kelab Kecil Apabila Beli Semula Ronaldo

Luis Suarez and Ronaldo

Jamie Carragher berpendapat keputusan Man Utd merekrut kembali Cristiano Ronaldo pada musim panas lalu membuktikan kelab itu tidak mempunyai visi dan tahap kepimpinan pengurusan yang lemah.

“Saya sentiasa berpendapat keputusan Man Utd membawa kembali Cristiano Ronaldo (daripada Juventus) akan membawa masalah,” kata legenda Liverpool itu kepada Sky Sports.

“Membeli semula Ronaldo membuatkan Man Utd seperti sebuah kelab kecil, seperti mana Everton membawa masuk semula Wayne Rooney – semata-mata untuk memenuhi permintaan peminat.”

Carragher yang juga pakar bola sepak Inggeris itu kemudiannya berkata: “Sebuah kelab terbesar di dunia tidak akan membeli pemain berusia 37 tahun.

“Saya sentiasa menganggap Man Utd sebagai salah sebuah kelab terbesar dunia, setaraf Bayern Munich, Real Madrid, Juventus, Barcelona.

“Mereka adalah kelab yang pernag memenangi UEFA Champions League.”

Komen kontroversi Carragher itu tiba selepas Ronaldo sekali lagi menyinar membantu Man Utd menewaskan Brentford 3-0 baru-baru ini.

Ronaldo, dilahirkan pada 1985 menjaringkan 18 gol di Premier League pada musim ini dan merupakan penjaring ketiga terbanyak musim ini setakat ini.

Hanya Song Heung-min (19 gol) dan Mohamed Salah (22 gol) menjaringkan lebih banyak gol daripada Ronaldo pada musim ini.

Walaupun Carragher bersetuju Ronaldo adalah legenda yang masih mampu mengekalkan sentuhan jaringan berbisanya, kehadiran bintang Portugal itu bagaimanapun menyebabkan kelab itu hilang peluang merekrut bintang muda yang lain.

“Saya berpendapat Man Utd sepatutnya mendapatkan Erling Haaland,” kata bekas pemain antarabangsa England itu.

“Kini Man City akan memiliki Haaland, manakala Man Utd masih lagi kekal bersama Ronaldo.

“Saya tidak fikir Liverpool akan membeli kembali Luis Suarez walaupun pemain itu akan menjaringkan 20 gol semusim.”

Selepas perlawanan menentang Brentford bari-baru ini, Ronaldo berpaling ke arah kamera dan berkata: “Saya masih belum selesai.”

Ia adalah indikasi Ronaldo akan kekal bersama Man Utd pada musim hadapan di bawah kendalian pengurus baharu, Erik ten Hag.

BACA:  Jam Baru Ronaldo Bertemakan Arab Saudi Bernilai RM3.3 Juta