Arteta dan Arsenal: Misi Dominasi Liga atau Senjata Makan Tuan?
Arsenal di Bawah Arteta: Menuju Kejayaan atau Muncul Halangan Baru?
Mikel Arteta mempunyai satu sasaran utama sejak mengambil alih Arsenal, dia mahu menjadikan pauskannya sebagai kuasa besar dalam Liga Perdana Inggeris. Pada pandangan pertama, ia kelihatan seperti sesuatu yang positif. Arsenal sememangnya salah satu pasukan paling konsisten di England sejak beberapa beberapa tahun kebelakangan ini. Namun adakah pendekatannya boleh menjadi senjata makan tuan?
Selepas gagal memenangi liga musim 2022-23, Arteta kembali dengan beberapa keinginan baharu. Dalam satu sidang media pada September lalu, beliau ditanya tentang aspek utama yang perlu diperbaiki dalam pasukannya. Jawapannya jelas:
“Menyekat lawan dengan lebih ketat, mencipta lebih banyak peluang, tidak membenarkan lawan menyerang langsung dan bermain jauh dari gol sendiri.”
Bukan sekadar mahu menguasai liga, Arteta mahu mendominasi setiap perlawanan yang ditentangnya.
Taktik ‘Menyekat Lawan’ Tidak Selalu Berkesan
Selama 18 bulan terakhir, Arsenal berjaya menerapkan strategi ini terhadap hampir semua lawan mereka di Liga Perdana. Namun, pendekatan itu tidak selalu menghasilkan keputusan yang positif.
Dalam perlawanan menentang Nottingham Forest pada minggu lalu, Arsenal hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0. Ia merupakan kali ke-5 musim ini mereka gagal menjaringkan gol, menyamai jumlah keseluruhan musim lalu.
Corak permainan Arsenal juga berbeza sejak 3 musim terakhir. Pada musim 2022-23, kelincahan pemain seperti Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko menjadikan permainan Arsenal lebih bertenaga dan menyerang secara pantas. Musim berikutnya, Arsenal lebih berhati-hati dan menekankan kestabilan pertahanan tetapi hilang kreativiti. Musim ini pula, kecederaan pemain utama talah memberi kesan kepada pasukannya namun gaya permainan Arsenal masih mirip seperti musim lalu.
Dari segi taktikal, Arteta berjaya mencapai sebahagian daripada sasarannya. Arsenal kini lebih kerap berada di kawasan lawan berbanding musim 2021-22. Mereka menggunakan 2 kaedah untuk ‘menyekat’ lawan:
- Menekan lawan melalui organisasi yang tersusun
- Memaksa pasukan lawan bertahan lebih dalam untuk mengelakkan bolos
Namun di sinilah masalah timbul. Arsenal dan beberapa pasukan lain sering berdepan kesukaran apabila lawan bermain dengan ‘blok rendah’. Strategi bertahan telah menyukarkan mereka untuk menembusi pertahanan lawan.
Permainan Arsenal Semakin Perlahan?
Satu perkara yang membezakan Arsenal dengan pasukan seperti Liverpool ialah gaya serangan mereka. Arsenal kini lebih menumpukan kepada membina serangan secara perlahan. Kebanyakan hantaran lebih kepada mencari rakan sepasukan – bola ke kaki. Sebaliknya, Liverpool lebih agresif dengan larian tanpa bola dan sering menghantar bola terus ke bahagian serangan.
Tiada kaedah yang salah atau betul dalam menyerang tetapi fakta menunjukkan bahawa Liverpool lebih pantas menghantar bola kepada pemain penyerangnya. Ia terbukti dengan 17 bantuan gol Mohamed Salah musim ini, kebanyakannya daripada hantaran terus dari kawasan sendiri.
Arsenal tidak perlu menukar gaya mereka sepenuhnya tetapi mereka boleh melakukan secara terus seperti yang dilakukannya pada separuh kedua musim 2021-22.
Pelajaran dari Musim 2021-22: Bermain Lebih Bijak
Pada akhir musim 2021-22, Arteta melakukan perubahan penting dengan menaikkan Granit Xhaka ke posisi lebih menyerang. Selepas kemenangan 3-2 ke atas Watford, beliau berkata:
“Pada kedudukan 3-1, kami sepatutnya mengawal permainan dengan membuat ribuan hantaran di kawasan lawan sebelum mencari peluang menyerang. Tetapi kami tidak melakukannya. Akibatnya, permainan terbuka sehingga ke minit akhir.”
Selepas itu, Arsenal mula mengamalkan corak permainan lebih bijak, menyimpan bola di bahagian sendiri sebelum melancarkan serangan secara tiba-tiba.
Kini, dengan kecederaan beberapa pemain utama termasuk penyerang, Arsenal gagal menjaringkan gol dalam 3 daripada 4 perlawanan terakhirnya. Satu-satunya perlawanan yang Arsenal menang (menentang Leicester), mereka hanya menjaringkan gol pada minit ke-81 dan ke-87 menerusi pemain gantian Mikel Merino.
Arteta masih percaya kepada pendekatannya seperti yang dinyatakan dalam sidang media sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang PSV:
“Kadangkala ini bukan pilihan. Dalam perlawanan menentang Forest, kami banyak kehilangan peluang untuk menyerang kerana tidak melaksanakannya dengan baik. Kami perlu lebih cekap dalam situasi ini.”
Kesimpulan
Pendekatan Arteta yang mahu mendominasi setiap perlawanan telah menjadikan Arsenal sebagai salah satu pasukan terbaik di England. Namun, mereka kini perlu mencari keseimbangan antara penguasaan permainan dan keupayaan untuk menjaringkan gol. Jika mereka mahu terus bersaing dalam perebutan gelaran, mereka mungkin perlu lebih fleksibel dalam pendekatan mereka dan tidak terlalu bergantung kepada satu gaya permainan sahaja.