Takut Kena Kecam Punca Pogba Tolak Man City

Paul Pogba dikatakan sebenarnya sudah bersetuju untuk menyertai Manchester City, namun memikirkan kecaman yang bakal beliau terima, maka beliau memutuskan untuk menolak tawaran dari The Citizens itu.

Beliau bimbang para penyokong Manchester United yang sudah sememangnya sering menghentam beliau akan menghentam beliau dengan lebih teruk lagi andai beliau ke Etihad.

Pemain berusia 29 tahun itu akan meninggalkan Man Utd pada penghujung musim ini selepas kontraknya bersama skuad setan merah itu tamat.

Beliau akan pergi sebagai pemain bebas ejen dan sehingga kini masih belum jelas ke mana destinasi Pogba selepas meninggalkan Old Trafford.

Manchester City merupakan antara kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya dengan Real Madrid, Paris Saint Germain dan Juventus turut dikaitkan dengan pemenang Piala Dunia itu.

Menurut sumber laporan dari The Times, Pogba sebenarnya sudah bersetuju dengan syarat peribadi bersama City, yang dikatakan mampu membayar gaji yang beliau minta.

Pogba juga dijanjikan minit permainan di Etihad dan kerana itulah beliau berminat mahu melengkapkan perpindahannya menyertai jiran sebandar kelabnya itu.

Walau bagaimanapun, Pogba akhirnya menolak tawaran untuk melengkapkan perpindahan ke Etihad kerana beliau memikirkan kecaman yang akan beliau terima dari penyokong Man Utd.

Menurut laporan sama, Pogba merasakan kehidupan beliau di bandar itu akan sangat sukar andai beliau benar-benar melengkapkan perpindahan menyertai Man City.

Carlos Tevez merupakan pemain berprofil tinggi terakhir yang melengkapkan perpindahan dari United ke City.

Sebaik bintang Argentina itu melengkapkan perpindahannya menyertai The Citizens, beliau dengan segera dianggap sebagai tokoh paling jahat di Old Trafford.

Pogba dikatakan menolak tawaran dari Man City pada dua minggu lalu dan kini beliau sepertinya lebih berminat mahu menyertai Juventus atau Paris Saint Germain.

Ejen beliau sempat mengadakan rundingan dengan Juventus pada minggu ini, yang mana beliau sebelum ini pernah beraksi selama empat tahun di Turin sebelum kembali ke Old Trafford dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £89 juta pada 2016 yang lalu.

PSG turut sangat berminat mahu mendapatkan khidmat Paul Pogba walaupun pemain midfield itu tidak berada di tahap persembahan terbaiknya bersama setan merah.

Secara keseluruhannya, Paul Pogba hanya mampu menjaringkan 39 gol sahaja dari 233 penampilan untuk Man Utd dan beliau turut berjaya memenangi gelaran Europa League dan Carabao Cup sepanjang kariernya di Old Trafford.

Bercakap dalam satu temu bual pada Mac lalu, Pogba mengakui yang karier keduanya bersama skuad setan merah sebenarnya satu hal yang sangat sukar untuk beliau lalui.

“Kebenaran perlu diperkatakan. Memang banyak detik-detik sukar, terutama ketika saya masih di Manchester.”

Jelas Pogba kepada Telefoot.

“Ketika saya tidak bermain atau ketika keputusan tidak berpihak pada kami, ia sukar, tapi bersama skuad kebangsaan Perancis, ia beri saya semangat.”

“Ia sangat sukar kerana banyak yang sudah berlaku, dari pertukaran pengurus hingga ke masalah kecederaan saya. Kami kini sudah tidak berjuang untuk kejuaraan, jadi ia neutral.”

“Saya mahu menang kejuaraan, saya mahu bermain untuk sesuatu. Sama ada ia berlaku tahun ini atau musim sebelumnya, kami tidak pernah menang apa-apa. Itulah apa yang menyedihkan pada akhirnya.”

Ketika ini masih belum jelas ke mana Pogba akan pergi pada jendela perpindahan musim panas nanti, namun satu hal yang pasti, beliau tidak mungkin akan kekal di Old Trafford.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pogba Hangat Dikaitkan Dengan Perpindahan Ke Barcelona Selepas Bertemu Messi Di Dubai