Tammy Abraham Bagi Gambaran Beliau Akan Ke Anfield?

Tammy Abraham bergurau dengan Trent Alexander Arnold dan gurauan beliau itu sepertinya telah membuatkan para penyokong Liverpool tak senang duduk.

Abraham dirakam bercakap kepada Trent Alexander Arnold yang mereka akan menjalani latihan bersama musim hadapan ketika kedua-dua mereka sedang menyertai sesi latihan bersama skuad England.

Mendengar kenyataan Abraham yang mengatakan beliau akan menjalani latihan bersama Arnold pada musim hadapan, para penyokong Liverpool menjadi semakin teruja dan percaya yang bintang Roma itu akan ke Anfield.

Tammy Abraham berjaya menjaringkan 27 gol ketika musim debutnya bersama AS Roma dan turut membantu gergasi Itali itu untuk menjuarai saingan Europa Conference League musim ini.

Ia merupakan piala Eropah pertama yang berjaya dimenangi oleh AS Roma dan kerana itulah kejayaan tersebut akan turut tercatat dalam lipatan sejarah mereka.

Di tambah pula dengan Tammy Abraham memainkan peranan penting dalam membantu Roma, maka tidak hairanlah mengapa beliau akan terus menjadi pemain kesayangan peminat.

Selepas beliau tidak mendapat tempat dalam skuad utama Chelsea, Tammy Abraham akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Itali dan beraksi bersama AS Roma.

Walau bagaimanapun, sejak dari debutnya bersama Roma, sudah banyak rumours yang mengaitkan beliau akan kembali semula ke saingan Premier League.

Pemain berusia 24 tahun itu pada ketika ini sedang beraksi bersama skuad kebangsaan England dan aksi beliau bergurau bersama rakan sepasukannya sedang tular di media sosial pada ketika ini.

Beliau dirakam sedang bergurau dengan pemain full-back terhebat Premier League dan juga bintang sensasi Liverpool, Trent Alexander Arnold.

Sambil berjalan, Abraham dilihat bersalam dengan Alexander Arnold dan beliau kemudiannya dikatakan telah menyatakan sesuatu yang turut sempat dirakam oleh kamera.

“Trent selamat maju jaya. Saya akan berlatih dengan kamu semua musim depan.”

Sebenarnya Tammy Abraham dikatakan bergurau tentang mereka yang memakai bib dan tidak memakai bib dan kerana beliau sedang memakai bib, maka beliau menganggap musim hadapan beliau tidak akan memakai bib itu lagi dan akan menjalani latihan bersama pemain utama.

Ia dikatakan tidak ada kaitan sama sekali dengan isu beliau akan melengkapkan perpindahannya ke Anfield dan sememangnya beliau sedang bercakap tentang bib tersebut.

Walau bagaimanapun, hal itu sama sekali tidak menghentikan para penyokong Liverpool dari terus berharap mereka akan mampu melihat bekas bintang Chelsea itu ke Anfield musim hadapan.

Para penyokong Liverpool membanjiri ruangan komen dan mencetuskan spekulasi kononnya Tammy Abraham memberi bayangan yang beliau akan ke Anfield musim panas nanti.

“Saya langsung tak faham kenapa Tuchel layan dia dengan teruk. Saya sendiri dari dulu sangat berharap agar dia akan ke Liverpool satu hari nanti.”

“Abraham kalau main bawah kendalian Jurgen sudah, dia tentu akan menjadi pemain yang lebih bagus, Klopp terbukti mampu menaikkan pemain-pemain berbakat menjadi pemain berkelas dunia.”

“Rasanya kita dah jumpa pengganti Sadio Mane. Abraham sememangnya pemain yang sesuai dengan sistem Klopp, saya yakin dia akan jadi bintang besar satu hari nanti.”

“Rasanya pemain Chelsea yang datang ke Anfield semuanya berjaya mencipta nama menjadi bintang, ini memang destinasi mereka. Mungkin Liverpool dah berunding dengan dia dan kerana itu dia bagi gambaran awal.”

“Saya yakin dia akan ke Anfield, gambaran yang terlalu jelas, bila agaknya Liverpool akan umumkan berita penandatanganan dia?”

Dua pembelian terakhir Liverpool dari AS Roma sebenarnya merupakan pembelian yang berbaloi dan jelas sekali kedua-dua Mohamed Salah dan Alisson Becker cemerlang memainkan peranan penting di Anfield.

Mohamed Salah sendiri sebenarnya juga turut pernah beraksi bersama Chelsea sebelum ini, dan beliau kemudiannya turut ke Roma, sama seperti apa yang dilakukan oleh Abraham.

Mohamed Salah kini merupakan antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak, dan ramai percaya Jurgen Klopp akan mampu lakukan hal sama pada Tammy Abraham.

Alisson Becker dari AS Roma turut kini menjadi antara penjaga gol terhebat dunia selepas beliau beraksi bersama skuad utama Liverpool.

Abraham sementara itu mungkin tidak akan meninggalkan AS Roma kerana beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pengurusnya, Jose Mourinho.

Selepas kejayaan mereka menewaskan Feyenoord 1-0 di Albania, beliau menjelaskan kepada BT Sport bahawa:

“Satu hal yang saya katakan ketika saya datang sini adalah saya mahu membantu pasukan untuk layak ke perlawanan akhir dan satu hari nanti saya mahu memenangi Piala. Pada musim pertama di sini, saya sudah berjaya capai itu.”

“Pujian kepada semua rakan sepasukan saya, persembahan yang menakjubkan. Kita berhak untuk itu. Kita dah bekerja keras sepanjang tahun.”

“Saya suka mereka (para penyokong). Dari hari pertama saya datang sini, saya rasa ia sememangnya yang terbaik.”

“Kita juara, saya gembira untuk menjadi sebahagian dari pasukan, sekarang masa untuk meraikan kejayaan dan bergembira.”

Arsenal sebelum ini turut dikaitkan dengan bakal menandatangani Tammy Abraham namun urusan perpindahan itu tak menjadi kenyataan.

Liverpool sementara itu sedang giat mencari pemain di posisi penyerang apa lagi selepas mereka kini bakal kehilangan penggempur utama mereka, Sadio Mane yang sudah bersedia untuk sertai Bayern Munich.

Masa hadapan Mo Salah sendiri masih menjadi tanda tanya dengan beliau sehingga kini masih belum menandatangani kontrak baru dengan kontrak asalnya akan tamat pada 2023 nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  2 Gol Jaringan Jota Cukup Untuk Tendang Arsenal Keluar Dari Saingan EFL Cup