Tammy Abraham Dedah Ayat Mourinho Ketika Yakinkan Beliau Sertai Roma

Share on facebook
Share on twitter

Karier Tammy Abraham bersama AS Roma di bawah kendalian Jose Mourinho semakin meningkat naik hingga beliau dipanggil semula untuk sertai skuad kebangsaan England.

Bekas bintang Chelsea itu mendedahkan tentang apa yang ‘The Special One’ beritahu beliau untuk meyakinkannya meninggalkan Stamford Bridge dan menyertai Roma.

Beliau sebelum ini berjuang berhabis-habisan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Chelsea, namun kerana yakin dengan pujukan Mourinho, Tammy Abraham akhirnya bersetuju untuk meneruskan kariernya di Itali.

Pemain berusia 24 tahun itu meninggalkan Stamford Bridge untuk ke Stadio Olimpico dalam usahanya untuk mendapatkan minit permainan yang mencukupi.

Apa yang menariknya, keputusan beliau untuk berpindah sebenarnya sangat tepat dengan beliau kini menjadi antara pemain terpenting AS Roma di bawah kendalian Jose Mourinho.

Beliau ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £34 juta dan Tammy Abraham setakat ini sudah berjaya menjaringkan empat gol dari 10 penampilan pertamanya bersama AS Roma.

Kecemerlangan yang beliau pamerkan di ibu kota Itali itu telah menaikkan semula nama beliau dengan Tammy Abraham akhirnya dipanggil semula untuk sertai skuad kendalian Gareth Southgate.

Kali terakhir beliau membuat kemunculan bersama skuad The Three Lions adalah pada November 2020 sebelum namanya disingkirkan kerana kurang minit permainan di peringkat kelab.

Beliau berjaya mencatatkan hat-trick ketika aksi terakhirnya bersama Chelsea di bawah kendalian Frank Lampard, dan terus diketepikan ketika The Blues diambil alih oleh Thomas Tuchel.

Tammy Abraham mendedahkan yang ketenangan Jose Mourinho merupakan faktor terpenting dalam meyakinkan beliau untuk sertai AS Roma.

“Perkara pertama yang dia katakan kepada saya ketika saya menjawab panggilan dia adalah, ‘adakah kamu mahu menikmati cahaya matahari, atau kamu mahu kekal basah berhujan?’, saya ketawa.”

Dedah Abraham sambil mengukir senyuman manis.

“Saya rasa pada awalnya saya tidak begitu memikirkan hal tersebut ketika kami sedang bercakap. Saya rasa mindset saya adalah saya mahu kekal dalam saingan Premier League dan saya mahu kekal di situ.”

“Saya rasa ia seperti rumah saya, berada sekitar London, berada di sekitar England. Ia rumah saya. Dan saya fikir saya perlu buka sayap saya dan membuat pilihan dan saya memilih Itali dan saya tidak akan ubah itu.”

“Saya sudah banyak belajar tentang taktikal, ia sebanyak apa yang saya belajar seumur hidup saya. Ia sangat bagus. Kamu perlu belajar sesuatu dari pengurus berbeza. Sekarang saya memang banyak belajar.”

Abraham sedang menikmati cahaya matahari yang dimaksudkan oleh Mourinho sebelum ini, dan beliau sangat gembira dengan keputusan yang beliau lakukan.

Tambahan pula, beliau dapat belajar bermacam hal lagi di ibu kota Itali itu, dan turut menimba pengalaman dalam menikmati budaya bola sepak yang berbeza.

Pemain berusia 24 tahun itu menyatakan yang beliau sangat gemar untuk belajar dan turut mendedahkan tentang kesulitan yang beliau alami sepanjang tahun ini.

Beliau mengakui dirinya tidak faham mengapa beliau gagal untuk mendapatkan lebih banyak peluang di bawah kendalian Thomas Tuchel.

“Saya rasa pilihan paling mudah adalah kekal di situ dan duduk.”

Tambah Abraham lagi.

“Chelsea merupakan kelab bola sepak yang besar, mereka akan bersaing dan cuba untuk menang Piala, jadi pilihan paling mudah adalah untuk melakukannya.”

“Saya sedar yang saya perlu pergi keluar dan buktikan pada diri saya sendiri, saya perlu dapatkan minit permainan. Saya buat keputusan dan ia adalah keputusan yang tepat.”

“Saya rasa pada awalnya agak sukar untuk saya biasakan. Kamu sudah biasa menjadi pemain utama kemudian diketepikan dan adakala tidak tersenarai dalam skuad. Saya sampai pada satu titik yang mana saya perlu duduk dan bercakap pada diri saya sendiri. Saya perlu keluar dan lakukannya untuk diri saya sendiri.”

“Saya akan pergi untuk kembangkan bakat saya kerana saya tahu bukan mudah untuk berada di sana, marah-marah di sekitar, jadi seperti telor busuk.”

“Bagi saya, saya sudah kenal diri saya dan saya rasa ia menguatkan mental saya. Saya bersama pasukan tidak kira bila saja mereka perlukan saya.”

“Pemain seperti Mason Mount, Reece James, Callum Hudson Odoi, pemain yang lebih muda dari saya, saya selalu angkat mereka, beri mereka sokongan, bantu mereka dan bimbing mereka.”

“Pada akhirnya kami memenangi sesuatu sebagai satu pasukan, jadi saya perlu ucapkan terima kasih pada mereka untuk itu.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Jose Mourinho Kenyang Makan Duit Pampasan RM489 Juta Sejak 2007
Share on facebook
Share on twitter