Bruno Fernandes: Nadi Manchester United di Saat Genting
Ketika Bruno Fernandes bangkit perlahan dari tanah di luar kotak penalti bahagian Stretford End, tubuhnya terasa sakit kerana menghalang rembatan dari Axel Tuanzebe. Dalam kepenatan itu, timbul persoalan; adakah dia masih mempunyai tenaga untuk membantu Manchester United melancarkan serangan balas yang diperlukan?
Namun, semangat di Old Trafford seakan memberikan kekuatan tambahan kepadanya. Beberapa saat kemudian, Fernandes berlari ke sayap kiri, berusaha mengekalkan bola dalam permainan sebelum merempuh masuk ke dalam kotak penalti Ipswich Town dan melakukan hantaran rendah yang hampir disambut oleh Noussair Mazraoui.
Ketika Ipswich cuba melancarkan serangan balas, Fernandes segera mengejar, kepalanya tunduk, tangannya mengepam udara. Hanya apabila permainan sedikit reda, dia sempat mengambil nafas sebentar. Namun, tanpa menunggu lama, dia kembali bangkit bersedia untuk berjuang hingga ke minit terakhir melambangkan ketokohannya sebagai kapten sejati Manchester United.
Fernandes, Penggerak Kebangkitan United
Gol penyamaan United terhasil daripada sepakan percuma Fernandes yang memaksa kapten Ipswich, Sam Morsy tertampan bola ke gawang sendiri. Tidak lama selepas itu, sepakan sudutnya mencetuskan kekalutan dalam kotak penalti lawan membolehkan Matthijs de Ligt menjaringkan gol kedua.
Pada awal babak kedua, ketika United hampir kehilangan kawalan permainan, satu lagi sepakan sudut Fernandes menemui Harry Maguire, yang menanduk masuk gol ketiga. Ia adalah gol yang memastikan kemenangan untuk pasukan.
Kini, 6 gol terakhir United semuanya berpunca daripada bola mati yang diambil Fernandes, sejak jaringan kemenangan Maguire dalam perlawanan Piala FA menentang Leicester City. Seperti di Goodison Park hujung minggu lalu dan seperti dalam perlawanan ini, Fernandes sekali lagi menjadi nadi kebangkitan United.
Konsistensi Fernandes, Keistimewaan yang Jarang Dimiliki
Walaupun tahap kesukaran lawan perlu diambil kira, Fernandes bukan satu-satunya pemain yang menonjol pada malam itu. Maguire beraksi cemerlang dalam mengekang kelincahan Liam Delap, sementara itu Leny Yoro menunjukkan prestasi terbaiknya sejak menyertai United.
Joshua Zirkzee juga semakin menyerlah dari satu perlawanan ke perlawanan lain, cukup bertenaga sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong di Stretford End ketika pemain itu meninggalkan padang.
Namun, masalah utama United sejak 5 tahun terakhir ialah pemain hanya bersinar sekejap sahaja. Mereka beraksi cemerlang dalam satu perlawanan tetapi tenggelam dalam perlawanan seterusnya. Hanya segelintir pemain yang mampu mengekalkan prestasi konsisten sepanjang musim.
Sejak menyertai United 5 tahun lalu, hanya Mohamed Salah dan Kevin De Bruyne yang mencatat lebih banyak bantuan gol berbanding Fernandes dalam saingan Liga Perdana. Dengan 48 assist, jumlahnya lebih daripada dua kali ganda berbanding Marcus Rashford, pemain United yang paling kreatif selepasnya.
Jika menilai perlawanan ini sahaja, Fernandes menguasai segalanya. Tiada pemain yang mencipta lebih banyak hantaran daripadanya, tiada yang membawa bola ke hadapan sejauh dia dan hanya empat pemain yang melakukan lebih banyak aksi bertahan. Fernandes berada di mana-mana.
Di Mana Peranan Terbaik Fernandes?
Walaupun peranan tepat Fernandes dalam sistem Ruben Amorim masih menjadi perdebatan, kini persoalannya bukan lagi sama ada dia mempunyai tempat dalam pasukan tetapi adakah dia memikul terlalu banyak tanggungjawab serentak.
“Kami perlu lebih banyak menguasai bola dan hari ini kami lebih tenang dengan penguasaan,” kata Amorim. “Bruno sangat penting dalam aspek itu. Kadang-kadang kami perlukan dia lebih dekat dengan gawang tetapi kadang-kadang dia juga perlu turun membina serangan.”
Oleh sebab itu, Fernandes bermain di posisi midfielder selama 6 perlawanan berturut-turut sebelum perlawanan di Goodison Park. United sering bergelut untuk membawa bola dari kawasan sendiri ke bahagian serangan tanpa keberaniannya mengambil kawalan permainan.
Namun, apabila Fernandes membantu menggerakkan serangan, dia tidak berada di posisi terbaik untuk mencipta peluang gol. Amorim juga mengakui,
“Kami perlu mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan lebih banyak gol. Itu masalah utama dalam pasukan kami yang perlu diselesaikan.”
Masih Banyak yang Perlu Diperbaiki
Menurut statistik FBref, sepanjang musim ini Ipswich telah melepaskan peluang gol berkualiti (xG) sebanyak 52.7 – rekod kedua terburuk dalam Liga Perdana. Dalam perlawanan ini, tiga gol United hanya bernilai 0.7 xG, manakala Ipswich mencatat jumlah dua kali ganda lebih tinggi termasuk kesilapan Patrick Dorgu dan Andre Onana yang membolehkan Jaden Philogene membuka jaringan dengan mudah.
Walaupun kemenangan ini memberikan kelegaan, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Amorim sendiri tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya. Setelah menampilkan aksi penuh semangat dengan 10 pemain di Emirates, mengapa United lebih selesa bertahan daripada bermain secara dominan seperti yang diinginkannya?
Fernandes turut mengakui wujud kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan sistem baharu.
“Kami tahu kami perlu berpegang pada apa yang kami latih, apa yang sepatutnya kami lakukan,” katanya kepada TNT Sports. “Mungkin ada masa kami rasa ia tidak berkesan, tetapi jika pengurus mahukan kami melakukannya, pasti ada sebabnya…”
Kata-kata Fernandes ini sempat disalah tafsir tetapi dalam konteks penuh, mesejnya jelas – Amorim ada perancangan dan terpulang kepada pemain untuk merealisasikannya.
Soalnya kini, adakah United mempunyai pemain yang sesuai untuk memenuhi visi Amorim? Itu masih diperdebatkan. Namun, satu perkara yang pasti mereka mempunyai kapten yang tepat.