‘Team of the Year’ Liga Perdana Inggeris Diumumkan

Liga Perdana Inggeris sudah semakin hampir melabuhkan tirai dan calon-calon pemain terbaik telah dikeluarkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Professional (PFA) dan hari ini, melalui akaun Twitter rasminya, PFA telah mengumumkan Pasukan Tahunan atau orang putih panggil Team of the Year.

Kesemua sebelas pemain dalam pasukan ini diundi dan dipilih oleh kesemua pemain bola sepak professional yang bermain di England. Seperti yang dijangka, pemain dari pasukan Chelsea dan Tottenham Hotspur mendominasi senarai ini, dengan setiap pasukan mempunyai empat pemain. Baki tiga lagi pemain terdiri daripada pemain dari Manchester United, Liverpool dan Everton.

Adalah tidak mengejutkan melihat tiada pemain dari Arsenal, Manchester City dan Watford dalam senarai sebelas pemain terbaik ini. Lagipun ketiga-tiga pasukan ini bukan pasukan kuat pun.

Senarai pemain dalam Pasukan Tahunan PFA bagi musim 2016-17.

Penjaga gol – David De Gea (Manchester United)

De Gea sempat bermain Candy Crush ketika perlawanan menentang Chelsea..

Memang dah boleh agak De Gea akan terpilih. Kau bayangkan kalau bukan De Gea penjaga gol, silap-silap Manchester United pasti berada di tangga belas-belas.

Pertahanan kanan – Kyle Walker (Tottenham Hotspur)

Sememangnya Walker layak untuk berada dalam senarai ini memandangkan dia cukup konsisten turun naik memberikan sokongan kepada serangan dan pertahanan. Gandingannya bersama Rose, Alderweireld dan Vertonghen menjadikan gawang Spurs paling sedikit dibolosi, dengan 22 gol setakat ini.

Pertahanan kiri – Danny Rose (Tottenham Hotspur)

Juga seperti Walker, Rose juga cukup konsisten memberikan sokongan kepada pertahanan dan juga bahagian serangan. Lebih manis lagi, Rose adalah antara pemain yang paling pendek di Liga Perdana Inggeris. Saiz bukan ukuran!

Pertahanan tengah kanan – David Luiz (Chelsea)

Salah satu kesilapan besar Mourinho di Chelsea ialah menjual pemain ini. Pemain berusia 29 tahun ini cukup konsisten dan padan dengan formasi 3-4-3 yang Antonio Conte terapkan di Chelsea. Kekal berdisiplin di atas padang menjadikan pemain ini sebagai watak utama mengenepikan John Terry di benteng Chelsea.

Pertahanan tengah kiri – Gary Cahill (Chelsea)

Cahill dan Costa

Cahill merupakan seorang pertahanan tengah secara neutral, dan digandingkan bersama Luiz dan Azpilicueta dalam sistem tiga pertahanan Chelsea pada musim ini. Keras bagaikan tembok batu, sukar untuk penyerang lawan melepasi pemain tinggi lampai ini.

Pemain tengah – Delle Alli (Tottenham Hotspur)

Muda dan bijak – itulah ciri-ciri utama pemain tengah Spurs ini. Ali sering kali melakukan gerakan dan hantaran menarik untuk membantu serangan Tottenham Hotspur mendapatkan gol.

Pemain tengah – N’Golo Kante (Chelsea)

Tiga musim lalu, pemain ini bermain bersama kelab Perancis dan langsung tidak dikenali dunia. Claudio Ranieri berjaya menaikkan nama pemain ini sekaligus muncul sebagai antara pemain tengah terbaik dunia. Tahun lalu Kante telah tersenarai dalam Pasukan Tahunan dan musim ini, sekali lagi lelaki berstamina kuda dan betis berurat ini tercalon.

Sayap kanan – Eden Hazard (Chelsea)

Pemain ini sering disebut-sebut oleh orang Negeri Sembilan dan cukup cemerlang musim ini. Pergerakan kakinya sangat pantas dan sering kali gagal dibaca pemain lawan, kecuali Ander Hererra dalam pertemuan minggu lalu. Gelecekan, hantaran tepat dan rembatan kencang menjadi aset utama pemain Belgium ini.

Sayap kiri – Sadio Mane? (Liverpool)

Di sebalik prestasi turun naik Liverpool, Mane tetap konsisten dengan prestasi membanggakan. Larian laju dan ketepatan rembatan menjadikan pemain Senegal ini cukup ditakuti pertahanan dan penjaga gol pasukan lawan. Pemergiannya mewakili negara dalam Piala Negara Afrika menjadikan kelab Merseyside tersebut bagaikan anak ayam kehilangan ibu ketika dikejar musang.

Penyerang – Harry Kane (Tottenham Hotspur)

Dua musim lalu, dia dicabar oleh media dan pembenci pasukan Spurs dengan mengatakan bahawa Harry Kane akan hanya cemerlang selama semusim atau mat saleh sebut one season wonder. Namun, penyerang England ini menyahut cabaran tersebut dan kekal konsisten menjaringkan gol demi gol buat Spurs.

Penyerang – Romelu Lukaku (Everton)

Meskipun pasukan Everton lemas di tangga ketujuh, Lukaku terus menerus menoreh luka di hati lawan dengan menjaringkan gol demi gol buat pasukan biru Merseyside tersebut. Setakat ini Lukaku telah menjaringkan 24 gol – terbanyak dalam liga setakat ini. Andai Everton mempunyai barisan pertahanan yang mantap seperti Juventus, pasti Everton akan berada di tangga teratas.

Baca Juga

Baca Juga