Teknik Sepakan Percuma Messi Yang Luar Biasa

Lionel Messi merupakan seorang pemain yang handal dalam mengambil sepakan percuma, beliau banyak meluangkan masa untuk berlatih mengambil sepakan percuma.

Latihan yang dilakukan oleh Messi sangat luar biasa, beliau melatih badannya untuk berada dalam posisi yang sangat extreme dan membiasakan  keadaan buku lalinya yang membahayakan setiap kali mengambil sepakan percuma.

Sepanjang kariernya sebagai pemain professional, Messi telah berjaya menjaringkan 50 gol hasil dari sepakan percuma.

Sepakan percumanya yang berjaya menewaskan Alisson dalam peringkat separuh akhir liga Juara-juara adalah antara yang terbaik darinya.

Dalam satu podcast di Squawka, mereka telah menjelaskan tentang teknik sepakan percuma Messi:

“Setiap kali Messi merembat bola, beliau akan mengalihkan pinggulnya ke kanan. Tujuan dia berbuat begitu adalah untuk membuka ruang kepada kaki kirinya untuk melepaskan rembatan.”

“Apa yang beliau lakukan pada kakinya yang sebelah lagi adalah menjadikannya standing foot/ plant leg bagi mengalihkan beban berat badannya ke kaki luarnya.”

“Jadi apabila beliau melakukan susulan dan merembat bola, kaki kirinya datang dari kiri ke kanan. Lalu semuanya pergi ke arah luar buku lalinya, seperti mana keadaan kita seperti sedang terpelecok buku lali.”

“Kita panggil ini sebagai ‘inversion sprain’ apabila buku lali dipusing ke dalam pada masa yang sama, kamu meletakkan seluruh tenaga di kaki luar buku lali dan diputar masuk ke dalam.”

“Namun dalam kes Messi, beliau sudah melatih dirinya untuk memastikan badannya dapat mengawal pergerakan itu.”

Sebelum ini, Marca juga pernah menganalisis teknik sepakan percuma dari Messi dan ianya sangat menarik untuk dilihat.

Messi membengkokkan kakinya pada sudut 50 darjah, ini bermaksud beliau hampir menanam semua beban berat badannya di atas kakinya yang terpacak di atas padang sebelum merembat bola dan memberikannya kestabilan yang luar biasa.

Hasil kajian dari University of Barcelona turut menyatakan bahawa Messi menggunakan Magnus Effect untuk mengekalkan konsistensi dalam sepakan percuma beliau.

Yang mana Messi sudah terbiasa dan mampu mengawal gerakan badannya yang mempengaruhi trajektori pada bola yang dirembat.

Malah sepakan percuma yang dilakukan olehnya, Messi harus dalam keadaan tunduk. Ianya adalah satu teknik yang dilatih dan dibiasakan oleh Lionel Messi.

Messi harus menjalani latihan dengan kerap bertujuan untuk memastikan badannya terbiasa dan boleh mengelak daripada ditimpa kecederaan.

Lionel Messi sememangnya seorang pengambil sepakan percuma yang digeruni, beliau mampu untuk menetapkan sasaran dengan tepat dan dengan kekuatan bola yang secukupnya.

Pemenang enam kali Ballon d’or itu wajar untuk diberi gelaran pakar bola mati dengan kemahiran dan kemampuan yang dimiliki.

BACA:  Peminat Berduka Melihat Messi Menangis Ketika Sidang Media Terakhirnya Bersama Barca