Ten Hag Minta Peminat Manchester United Bersabar Dan Salahkan Rashford Yang Malas Bertahan

Erik ten Hag menyalahkan Marcus Rashford kerana peranannya yang lemah ketika bertahan membolehkan Porto menjaringkan gol pembukaan ketika Manchester United seri 3-3 dengan Porto, tetapi menafikan bahawa itu alasan utama penyerang itu dikeluarkan awal atau kerana dia cedera. Sebaliknya dia mahu menggilirkan skuad.

United mendahului 2-0 pada minit 20 di Estádio do Dragão menerusi Rashford dan Rasmus Højlund tetapi membiarkannya tergelincir ketika Pepê dan Samu menyamakan kedudukan Porto sebelum tamat separuh masa pertama. Gol Pepê diperoleh daripada hantaran lintang di sayap kiri Rashford dan pengurus itu ditanya sama ada ini sebab dia menggantikannya dengan Alejandro Garnacho.

Ten Hag berkata: “Saya perlu menontonnya kembali dan ia berlaku di sebelah kiri, pastinya kami tidak bertahan dengan baik malam ini. Marcus juga memainkan peranan dalam perkara ini tetapi seperti yang saya katakan ia kerana kami nak gunakan Garnacho – dan tiada kaitan dengan isu menentang Marcus Rashford.

“Kita perlu menggilirkan skuad. Kami mempunyai perlawanan yang sukar pada hari Ahad [di Villa Park] dan kami memerlukan pemain yang segar. Semua ini dah ada dalam perancangan” Ten Hag menyatakan bahawa pada rehat separuh masa dia bercakap tentang kegagalan Man United bertahan dengan lebih baik tetapi dikecewakan lima minit separuh masa kedua apabila Samu menjaringkan gol lagi.

“Kemudian ia benar-benar sukar kerana kami sudah menggariskan tentang mahu menanganinya pada [rehat] separuh masa dan kemudian anda melepaskan gol yang ketiga, jadi tidak patut,” kata Ten Hag.

“Jadi ia tidak bagus untuk bertahan lagi dan ia juga berkaitan dengan kesanggupan pemain.

“Tetapi selepas detik itu [kesilapan yang membawa kepada gol ketiga Porto] saya perlu memuji pemain: bagaimana mereka kembali dalam permainan, bagaimana mereka berjuang, bagaimana kami mencari jalan untuk mendapatkan gol penyamaan.”

Gol ketiga Man United hadir pada masa tambahan menerusi tandukan Harry Maguire, selepas Bruno Fernandes dibuang padang untuk perlawanan kedua berturut-turut. Beberapa hari sebelum itu Bruno Fernandes baru sahaja menang dalam rayuannya untuk membatalkan kad merah yang dia kutip pada aksi menentang Spurs.

Ten Hag sedang berjuang untuk menyelamatkan jawatannya selepas permulaan musim yang teruk. Jadi aksi berdepan Villa pada hujung minggu ini  sangat penting. Ten Hag berkata: “Jangan menilai kami pada masa ini. Saya menilai kami pada penghujung musim. Kami dalam proses. Tunggu sahaja. Kami perlu membangunkan pasukan ini. Kami akan berusaha dan teruskan. Kami akan berlawan.”

Tindakan Ten Hag mengeluarkan Rashford mengundang kemarahan pundit yang menganggap pengurus itu sudah gila.

“Dia mengeluarkan Marcus Rashford yang akhirnya kembali menunjukkan kualitinya, atas alasan dia risaukan perlawanan pada hujung minggu ini sedangkan dia [Ten Hag] sedang berjuang untuk mempertahankan jawatannya. Sedangkan kamu mahu menghantar mesej untuk menang perlawanan ini. Dan kamu mengeluarkan pemain kamu yang paling mengancam dalam perlawanan ini?”

BACA:  Erik Ten Hag dan Marcus Rashford Manusia Terbaik Bulan September