Teori Konspirasi: Kegagalan Penalti Messi Petanda Argentina Akan Juarai Piala Dunia

argentina penalti

Satu teori konspirasi telah pun dicetuskan bersandarkan kepada kenangan yang mendakwa bahawa kegagalan sepakan penalti Lionel Messi ketika menentang Poland adalah satu petanda Argentina akan muncul juara Piala Dunia Qatar 2022.

Argentina mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Poland 2-0 disebalik kegagalan sepakan penalti Messi selaku juara kumpulan C.

Kempen Piala Dunia 2022 tidak bermula baik buat Argentina yang disebut-sebut sebagai pilihan juara apabila tewas kepada Arab Saudi namun bangkit dalam dua perlawanan terakhir.

Poland walaupun tewas berjaya mengiringi Argentina dengan perbezaan gol mengatasi Mexico yang berjaya menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir mereka.

La Albiceleste dilihat mendapat laluan untuk ke suku akhir apabila bertemu Australia dan Poland pula bakal berdepan juara bertahan, Perancis yang merupakan pasukan pilihan utama.

Lionel Messi pastinya lega apabila kegagalan sepakan penaltinya tidak mendatangkan sebarang akibat buruk kepada Argentina apabila gol Alexis Mac Allister dan Julian Alvarez memastikan tiga mata kedua.

Namun disebalik kegagalan Messi itu telah memberikan berita gembira kerana peminat bola sepak Argentina telah menemui corak atau pattern yang mereka percaya akan membawa Argentina muncul juara.

Sebabnya sangat mudah kerana dalam dua kejuaraan Piala Dunia Argentina pada 1978 dan 1986 mereka juga telah mencipta corak yang sama di mana gagal menjaringkan penalti di perlawanan ketiga peringkat kumpulan.

Piala Dunia 1978

Pada Piala Dunia tahun 1978, ketika Argentina menjadi tuan rumah, penyerang legenda Mario Kempes tersasar disepakan penalti pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan.

Pada perlawanan terakhir kumpulan itu, Argentina menentang Itali di Buenos Aires. Argentina akhirnya tumpas dengan kedudukan 1-0 dan menduduki tempat kedua dalam kumpulan.

Bagaimanapun Mario Kempes menebus kekecewaan itu dengan memenangi Kasut Emas pada kejohanan itu, menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir ketika Argentina menewaskan Belanda 3-1, sekali lagi di Buenos Aires.

Piala Dunia 1978 buat pertama kalinya Argentina mendakap trofi keagungan Piala Dunia, lebih manis di tempat sendiri.

Piala Dunia 1986

Lapan tahun berselang pada Piala Dunia 1986 yang berlangsung di Mexico, legenda dan idola bola sepak dunia, Mendiang Diego Maradona juga melakukan perkara yang sama.

Di perlawanan ketiga peringkat kumpulan, Argentina menentang Bulgaria di Mexico City, Diego Maradona gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Skrip yang sama dengan Piala Dunia 2022, pada ketika itu Argentina berjaya menewaskan Bulgaria 2-0 dan muncul juara kumpulan di hadapan Itali.

Terlepas sepakan penalti tidak menjejaskan prestasi Maradona dan dia terus menjadi bintang di kejohanan itu dan mencipta sensasi yang ikonik di separuh akhir.

Maradona menjaringkan dua gol ketika menentang England pada separuh akhir dan jaringan ‘hand of god’ telah menjadi bualan sehingga ke hari ini.

Legenda Argentina yang merupakan antara pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman itu terus mempamerkan aksi hebat di final ketika Argentina menewaskan Jerman Barat 3-2.

Messi Kecewa, Penyokong Berharap

Lionel Messi nyata kecewa dengan kegagalan sepakan penaltinya itu kerana gol itu penting yang mampu membawa perubahan kepada perlawanan.

“Saya benar-benar kecewa terlepas sepakan penalti kerana saya tahu satu gol itu boleh mengubah keseluruhan perlawanan,” kata Messi selepas perlawanan.

“Tetapi saya fikir ia membuatkan pasukan tampil lebih kuat. Ia adalah perlawanan yang besar dan kami gembira kerana kami telah mencapai objektif kami untuk menduduki tempat teratas kumpulan selepas bermula dengan kekalahan kepada Arab Saudi.

Messi tetap positif memacu Argentina dan lega kegagalan itu membuatkan Argentina lebih kuat dan gol pertama Mac Allister membuatkan segalanya menjadi lancar.

“Selepas gol pertama, segala-galanya berjalan lancar. Kami melakukan apa yang kami cuba lakukan sejak permulaan kejohanan. Itu memberikan kami keyakinan untuk masa depan.”

“Saya penat tetapi ia adalah sama untuk semua orang. Esok kami akan berehat dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.”

Penyokong Argentina kini menaruh kepercayaan dan harapan disebalik kekecewaan awal Messi dan menganggap Argentina kini sedang menulis skrip yang sama untuk menjadi juara Piala Dunia 2022.

BACA:  Messi Menangis Ketika Menjulang Piala Copa Di Hadapan Penyokong Argentina