Terengganu Pertikai Keputusan FAM Ekoran Pahang Dianugerahkan Tiga Mata

Pasukan Pahang FC telah mendapat mendapat perkhabaran gembira apabila diberikan tiga mata daripada perlawanan menentang Kedah pada 3 Ogos 2016 di Stadium Darul Aman. Hal ini kerana Kedah telah menurunkan Mohd Rizal Mohd Ghazali yang digantung perlawanan setelah mengumpul tiga kad kuning dalam perlawanan berlainan.

Pemotongan mata ini nyata tidak memberi impak kepada Kedah yang selesa berada di tangga ke-3 liga. Tetapi perkara ini memberi kegembiraan kepada Pahang apabila terselamat dari tersingkir di saingan Liga Super.

Dalam kita bergembira jangan lupa yang berduka, berita ini menimbulkan rasa tidak puas hati Terengganu kerana pemberian 3 mata kepada Pahang bakal menutup peluang pasukan bola sepak Terengganu untuk beraksi pada Liga Super musim depan.

Baca : Pahang Dianugerahkan Tiga Mata, Terselamat Dari Penyingkiran

Terengganu juga mempertikaikan kenapa 3 bulan diambil FAM untuk membuat keputusan ini? Ikuti berita penuh yang diambil dari Berita Harian.

Kerajaan Terengganu berang dan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang memberi kemenangan percuma kepada Pahang, selepas Kedah didapati bersalah menurunkan pemain yang digantung pada aksi Liga Super, Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata keputusan memberi tiga mata kepada Pahang seperti diumumkan malam tadi, bakal menutup peluang pasukan bola sepak Terengganu untuk beraksi pada Liga Super musim depan, walaupun berjaya mengutip tiga mata pada aksi dengan Pulau Pinang, esok.

“Saya dimaklumkan, Pahang membuat bantahan kerana Kedah menurunkan pemain yang digantung beraksi dalam tempoh 72 jam selepas perlawanan pada 3 Ogos lalu. Tetapi, mengapa jawatankuasa itu mengambil masa panjang iaitu melebihi tiga bulan untuk membuat keputusan?

“Adakah jawatankuasa tatatertib FAM mempunyai agenda tersembunyi untuk menidakkan pasukan Terengganu daripada beraksi dalam liga super musim depan?” katanya kepada BH Sukan ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat negeri, di sini, hari ini.

Jawatankuasa tatatertib FAM yang mengadakan mesyuarat malam tadi memutuskan Kedah didapati bersalah kerana menurunkan pemain yang digantung ketika bertemu Pahang pada perlawanan liga super, 3 Ogos lalu.

Dengan keputusan itu, Pahang dihadiahkan tiga mata dan skuad Tok Gajah berpeluang untuk terus beraksi dalam liga super musim depan apabila secara automatik melonjak ke tangga ke lapan selepas memperoleh 23 mata.

Rozi berkata, ahli jawatankuasa tatatertib FAM tidak profesional dalam melaksanakan tugas dan sudah seharusnya berundur secara terhormat daripada terus memegang jawatan.

“Ahli jawatankuasa tatatertib FAM sepatutnya tidak mengambil masa lama untuk bermesyuarat. Jika mereka banyak tugasan lain, lepaskan jawatan atau tidak menawarkan diri untuk terus memegang jawatan pada pemilihan akan datang,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Baca Juga

Baca Juga