“Terima Kasih Anfield” – Cristiano Ronaldo Terharu Melihat Kemuliaan Hati Penyokong Liverpool

Cristiano Ronaldo tampil mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Liverpool atas penghormatan yang mereka tunjukkan kepadanya.

Penyokong Liverpool memberikan tepukan semangat untuk Cristiano Ronaldo selama satu minit pada minit ke-7 dalam perlawanan yang menemukan The Reds bertemu Man Utd kemarin.

Tepukan semangat itu diberikan kepada Cristiano Ronaldo selepas beliau kehilangan bayi lelakinya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Tepat minit ke-7 permainan, kesemua penyokong yang ada di stadium bangun dan memberikan tepukan semangat kepada Ronaldo dan keluarganya.

Mereka bahkan turut menyanyikan lagu ‘You’ll Never Walk Alone’ sebagai tanda mengingatkan Ronaldo yang beliau tidak bersendirian melalui ujian ini.

Ronaldo sendiri beremosi melihat hal tersebut dengan beliau memuat naik status di laman media sosial, untuk mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Liverpool, yang sanggup mengetepikan perseteruan mereka demi memberi semangat kepada bintang utama setan merah itu.

“Satu dunia, satu sukan… Satu keluarga besar.. terima kasih, Anfield.”

Tulis Ronaldo dengan beliau turut memuat naik video para penyokong Liverpool memberi tepukan semangat selama satu minit itu.

“Saya dan keluarga saya tidak akan pernah lupakan detik penuh hormat dan belas kasihan ini.”

Ahli keluarga Ronaldo turut tampil mengucapkan terima kasih kepada penyokong Liverpool atas usaha yang mereka tunjukkan di Anfield itu.

Kakak Cristiano Ronaldo, Elma Aveiro menulis di laman instagram:

“Terima kasih untuk ini penyokong Liverpool. Kami tak akan pernah lupa apa yang kamu lakukan hari ini.”

Seorang lagi adik beradik Ronaldo, Katia Aveiro turut menulis:

“Jauh mengatasi bola sepak.”

Tulisnya di laman instagram bersama gambar penyokong Liverpool.

Ronaldo menyampaikan berita sedih tentang pemergian anaknya itu menerusi satu muat naik di laman instagram miliknya.

Beliau mendedahkan yang salah seorang dari anak kembar campuran beliau telah meninggal dunia.

Bayi lelakinya tidak dapat diselamatkan namun bayi perempuannya berjaya diselamatkan.

“Dengan rasa sedih yang sangat mendalam kami mahu mengumumkan yang bayi lelaki kami sudah meninggal dunia.”

“Ia merupakan kesakitan yang teramat sangat yang boleh dirasai oleh ibu bapa. Hanya dengan kelahiran bayi perempuan kami sahaja yang mampu beri kami kekuatan untuk mengharungi detik ini dengan harapan dan sedikit kegembiraan.”

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas jagaan rapi dan sokongan mereka.”

“Kami semua sedih atas kehilangan ini dan kami mohon beri waktu kepada kami di waktu yang benar-benar sukar ini. Bayi lelaki kami, kamu bidadara kami. Kami akan selalu menyayangi kamu.”

Tulis Cristiano Ronaldo di laman instagram miliknya.

Manchester United turut mengeluarkan kenyataan bagi memberi sokongan kepada Cristiano Ronaldo dengan menyatakan:

“Kesakitan kamu adalah kesakitan kami, @Cristiano. Kami kirimkan rasa sayang dan kekuatan untuk kamu dan keluarga kamu pada ketika ini.”

Anak pertama Cristiano Ronaldo, Cristiano Jr dilahirkan pada tahun 2010 melalui ibu tumpangan dengan beliau pada ketika ini sedang beraksi bersama skuad akademi setan merah.

Ronaldo kemudiannya dikurniakan anak kembar, Eva (perempuan) dan Mateo (lelaki) juga melalui ibu tumpang pada tahun 2017 yang lalu.

Pasangan beliau, Rodriguez kemudiannya selamat melahirkan anak perempuan mereka, Alana Martina pada tahun 2018 yang lalu.

Ronaldo kembali menyertai Manchester United dari Juventus pada musim panas lalu dengan Rodriguez bersama keluarganya turut sama ikut berpindah ke bandar Manchester.

Kedua-dua mereka bertemu ketika Cristiano Ronaldo masih lagi bersama Real Madrid dengan Rodriguez pada ketika itu bekerja di store Gucci.

Ronaldo pernah menceritakan kisah tersebut dalam satu siri dokumentari di Netflix dengan menyatakan:

“Dari detik itu (ketika mereka berselisih di hadapan store di mana Rodriguez bekerja) ia terus bermain di fikiran saya dan saya rasa ia waktu yang paling tepat.”

Pada tahun 2019 yang lalu, dalam satu temu bual bersama Piers Morgan, Ronaldo turut mengesahkan yang beliau akan kahwini Rodriguez satu hari nanti.

Pemain berusia 37 tahun itu menyatakan:

“Kami akan berkahwin satu hari nanti, itu sudah pasti. Geo merupakan sebahagian dari saya.”

“Dia banyak membantu saya. Saya jatuh cinta padanya dan saya betul-betul bersemangat kerana dia.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Allegri Percaya Ronaldo Akan Tamatkan Kemarau Jaringan Ketika Menentang Manchester United