Terkini: Ole Diberikan Tiga Perlawanan Untuk Menyelamatkan Kariernya

Ole Gunnar Solskjaer telah dilaporkan mendapat talian hayat apabila telah diberikan tiga lagi perlawanan untuk menyelamatkan kariernya selaku pengurus Manchester United.

Ketua wartawan bola sepak Daily Telegraph, Jason Burt, melaporkan bahawa Ed Woodward dan Richard Arnold telah turun untuk bertemu dengan Ole Gunnar Solskjaer dan memberitahunya berita itu.

Namun ramai yang meragui mengenai tentang berita ini kerana ramai peminat percaya kerosakan telah berlaku dan bekas pemain Manchester United bertaraf legenda itu harus pergi sekarang.

“Ole Gunnar Solskjaer telah diberikan tiga perlawanan untuk menyelamatkan tugasnya. Ed Woodward dan Richard Arnold telah bercakap dengan Solskjaer dan menjelaskan bahawa #mufc mahu kekal menyokong, masa depannya berada dalam keseimbangan dan akan ditentukan oleh perlawanan akan datang.”

Berita ini ternyata benar apabila Ole Gunnar Solskjaer telah pun selesai mengendalikan sesi latihan di Carrigton sebagai persiapan untuk perlawanan menentang Tottenham Hotspur.

Bekas pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson yang menjadi sandaran terkuat Ole untuk ketika ini turut hadir di pusat latihan Carrington bersama bekas pengerusi, Martin Edward.

“Ole Gunnar Solskjaer menamatkan sesi latihan di Carrington hari ini, Sir Alex Ferguson turut berada di sana. Perasaan di sekeliling kakitangan adalah sama: Tuan Ole kekal. #MUFC”

“Manchester United bersedia memberinya peluang sekali lagi untuk perlawanan Tottenham & berpotensi untuk terus mengendalikan perlawanan Atalanta/City.”

Sebelum ini Ole Gunnar Solskjaer dikhabar anginkan akan dipecat sebelum atau selepas perlawanan menentang Spurs namun kini talian hayat Ole bertambah kepada tiga perlawanan.

Menang akan ada perlawanan seterusnya untuk Ole dan jika tewas selamat tinggal.

Selepas Spurs, Manchester United akan meneruskan saingan di Champions League dengan mengembara ke Itali untuk menentang Atalanta dan selepas itulah cabaran terbesar menanti Ole.

6 November, Manchester United akan melawan pasukan jiran mereka yang biru, Manchester City yang berada dalam prestasi terbaik setakat ini di Old Trafford.

Ferguson Bekap Ole

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mungkin dapat menarik nafas lega sedikit dan mungkin akan selamat sehingga perlawanan menentang Tottenham Hotspur apabila mendapat sokongan penuh Sir Alex Ferguson.

Ahli lembaga kelab Manchester United dikatakan ‘memberi pertimbangan serius’ untuk memecat Ole Gunnar Solskjaer sebelum perlawanan Manchester United menentang Tottenham Hotspur.

Pada hari isnin Pengarah Urusan Manchester United, Richard Arnold telah membatalkan semua temujanji beliau bagi mengadakan perbincangan dengan Glazer tentang kedudukan Ole. #OleStay atau #OleOut?

Butir perbincangan lanjut dalam mesyuarat Ahli lembaga kelab Manchester United tidak dapat dipastikan sehinggalah Fabrizio Romano yang menjadi antara sumber yang dipercayai memberi sedikit dapatan dari mesyuarat tersebut.

Menurut Fabrizio Romano beberapa orang penting dalam ahli lembaga pengarah termasuklah Sir Alex Ferguson menyokong penuh Ole Gunnar Solskjaer dan mahukan pengurus dari Norway itu diberikan peluang untuk perlawanan menentang Tottenham Hotspurs.

“Perbincangan dalaman Manchester United. Orang penting ahli lembaga pengarah (Sir Alex Ferguson juga) mahu memberi Solskjær peluang sekali lagi untuk mengendalikan perlawanan Tottenham. #MUFC”

“Tekanan masih tinggi di menghurungi Ole. Tiada perbincangan rasmi dengan Antonio Conte – tetapi dia akan menerima tugas itu pada hari-hari berikutnya.”

Tekanan masih memuncak buat Ole Gunnar Solskjaer kerana dia diberikan peluang sekali lagi untuk perlawanan menentang Tottenham Hotspur dan jika keputusan buruk berterusan maka akibat yang buruk juga menanti Ole.

Antonio Conte masih lagi menjadi nama teratas menggantikan Ole Gunnar Solskjaer walaupun masih tiada lagi perbincangan rasmi namun Conte dilaporkan bersedia bila-bila masa untuk menjadi Setan Merah.

Setakat ini Ole Gunnar Solskjaer telah mengalami lima kekalahan dalam sembilan perlawanan terakhir mereka dan tanpa sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di Premier League dan telah tersingkir dari Piala Liga yang akan berlangsung pada pertengahan minggu ini.

Kemuncak kepada tekanan yang dihadapi oleh Ole Gunnar Solskjaer adalah selepas dimalukan oleh Liverpool dengan satu keaiban yang akan diceritakan tanpa henti selagi wujudnya Manchester United.

Kecewa teruk yang bukan kepalang telah ditunjukkan oleh Sir Alex Ferguson usai Mohamed Salah menjaringkan gol kelima Liverpool sehingga menggeleng-gelengkan kepada seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi.

Sementara itu legenda Liverpool, Sir Kenneth Mathieson Dalglish yang lebih dikenali sebagai King Kenny ketawa puas nasib baik tak putih mata hitam tanda gembira amat.

North West Derby wujud kerana permusuhan dengan sejarah yang panjang antara Manchester United dan Liverpool menyaksikan Setan Merah lunyai dibelasah di Old Trafford.

Kesilapan demi kesilapan disulam dengan aksi kelakar bahagian pertahanan Manchester United menyaksikan Liverpool mendahului dengan empat gol tanpa balas.

Lima minit bersambung babak kedua menyaksikan pemain paling hebat di muka bumi ketika ini, Mohamed Salah melengkapkan hatriknya dan menjarakkan kedudukan kepada lima gol.

Dikala Mohamed Salah meraikan jaringan itu bersama rakan-rakan, kamera Sky telah menalakan lensanya ke wajah Ole Gunnar Solskjaer yang jelas kelihatan matanya mula berkaca.

Sejurus selepas itu shot terus ditukar kepada Sir Alex Ferguson yang menghembuskan nafas melalui mulut sambil terjuih lalu mengeleng-gelengkan kepala tanda tidak percaya.

Kemudian kamera terus memaparkan wajah pemain dan pengurus legenda Liverpool, Sir Kenneth Mathieson Dalglish yang kelihatan teramat gembira dan puas.

North West Derby ini sudah dilalui dan dialami oleh King Kenny selaku pemain dan juga pengurus, kemenangan satu kepuasan, menang besar dan mudah adalah satu nikmat.

Gelengan kepala Sir Alex Ferguson itu nyata menyakitkan untuk dilihat oleh peminat Setan Merah, namun kasih sayang Atuk Fergie masih mampu memaafkan Ole dan terus memberi peluang untuk perlawanan menentang Tottenham Hotspur.

BACA:  Teori Konspirasi Berkait Kegagalan Fernandes Menyempurnakan Sepakan Penalti