Terlupa Hari Cuti, Pemain Man Utd Menganjing Ralf Rangnick Tanpa Belas

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick melalui detik yang agak memalukan kerana beliau datang ke padang latihan walaupun dirinya sendiri yang terlebih dahulu sudah memberi cuti kepada semua pemain.

Beliau mengumumkan cuti satu hari kepada kesemua anak-anak buahnya, namun mungkin kerana terlupa, beliau sendiri yang datang ke Carrington untuk memulakan sesi latihan.

Para pemain Manchester United juga tidak henti-henti menganjing pengurus interim mereka itu kerana datang ke padang latihan pada hari cuti.

Pengurus dari Jerman yang kini berusia 63 tahun itu telah dilantik sebagai pengurus interim sehingga akhir musim ini, dan beliau selepas ini akan berkhidmat sebagai penasihat kelab.

Rangnick sudah mengendalikan tujuh perlawanan yang melibatkan skuad setan merah dari semua pertandingan, dengan beliau berjaya membantu United mencatatkan empat kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Beliau juga berjaya membawa Man Utd untuk mara ke pusingan keempat saingan FA Cup selepas menumpaskan anak-anak buah Steven Gerrard di Old Trafford kemarin.

Menurut sumber laporan dari The Daily Mail, Ralf Rangnick terlupa yang beliau sudah memberi cuti kepada para pemainnya kerana kejayaan mereka menewaskan Villa dalam saingan Piala FA.

Beliau dikatakan terkejut melihat padang latihan di Carrington sepi dan sempat berfikir yang anak-anak buahnya merajuk tak nak datang berlatih.

Namun selepas beliau sedar yang beliau sendiri yang memberikan cuti, maka Ralf Rangnick memutuskan untuk pulang ke rumah.

Para pemain kebiasaannya akan menjalani saringan C0V-19 di tempat letak kereta sebelum mereka dibenarkan untuk masuk ke padang latihan Carrington.

“Dia (Ralf Rangnick) memanggil petugas dari dalam kereta untuk bertanya di mana tempat untuk jalani saringan dan beliau kemudiannya telah diberitahu tentang cuti yang beliau sendiri umumkan. Lepas itu beliau terus pergi meninggalkan pusat latihan.”

Jelas sumber dari Daily Mail.

“Benda itu jadi sebut-sebutan semua pemain dan mereka bergurau serta mengusik Ralf Rangnick tentang itu.”

The Daily Mail kemudiannya menambah lagi yang ada segelintir pemain yang tidak begitu terhibur ketika mereka diarahkan untuk turun jalani latihan pada hari Jumaat menjelang cuti musim sejuk.

Laporan sama turut mendedahkan yang Ralf Rangnick telah menjadualkan jam 2pm sebagai waktu untuk para pemain memulakan sesi latihan.

Sebelum Ralf Rangnick, Ole Gunnar Solskjaer pernah membawa para pemain untuk menjalani sesi latihan di Dubai ketika rehat musim sejuk.

Manchester United pada ketika ini berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga, dengan mereka enam mata di belakang West Ham yang sedang berada di kedudukan keempat.

Setan merah walau bagaimanapun masih mempunyai kelebihan dua perlawanan yang belum dimainkan, dan seandainya mereka memenangi kedua-dua perlawanan itu, maka mereka akan berpotensi untuk mencabar kedudukan empat teratas.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu akan kembali beraksi pada minggu ini untuk bertemu Aston Villa dalam saingan Premier League di Villa Park.

Selepas dikecewakan dengan keputusan 1-0 di Old Trafford sebelum ini, sudah tentu anak-anak buah Steven Gerrard itu akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam.

Kedua-dua pasukan sangat terdesak untuk mengutip tiga mata penuh dalam usaha mereka untuk memperbaiki kedudukan masing-masing dalam carta saingan liga.

Aston Villa akan turun dengan kekuatan baru selepas mereka berjaya mendapatkan khidmat Philippe Coutinho dan Lucas Digne.

Kedua-dua penandatanganan terbaru kelab itu berkemungkinan akan turun beraksi bertemu Man Utd nanti, dan sudah tentu mereka bakal membantu Villa untuk mengutip tiga mata penuh.

Sumber: SPORTbible

BACA:  De Gea Gembira Untuk Kekal Di Old Trafford Walaupun Dikaitkan Dengan Real Madrid