‘The Next Drogba’ Tinggalkan Chelsea Untuk Sertai Crystal Palace Secara Pinjaman

Crystal Palace berjaya mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Belgium, Michy Batshuayi dari Chelsea pada saat-saat terakhir sebelum jendela perpindahan Januari ditutup awal pagi tadi.

Batshuayi berpindah ke Crystal Palace secara pinjaman sehingga penghujung musim ini tetapi tidak diketahui sama ada Palace mempunyai pilihan untuk menjadikan ia perpindahan tetap selepas tempoh pinjaman berakhir.

Pemain yang mendapat gelaran ‘The Next Drogba’ semakin dilupakan peminat Chelsea

Batshuayi merupakan pemain ‘buangan’ di Stamford Bridge dengan Maurizio Sarri memilih untuk membawa masuk bekas pemainnya, Gonzalo Higuain beberapa hari lalu.

Musim lalu menyaksikan Batshuayi mengharungi tempoh pinjaman yang berjaya bersama Borussia Dortmund. Beliau berjaya menjaringkan 9 gol dari 14 perlawanan untuk kelab Jerman tersebut.

Awal musim ini beliau berpindah ke Sepanyol untuk bermain dengan Valencia. Walau bagaimanapun, segalanya seperti tidak menjadi buat Batshuayi kerana beliau hanya mampu menjaringkan 3 gol dari 24 perlawanan.

Melihat pada prestasi buruk Batshuayi, Valencia mengambil keputusan untuk menamatkan tempoh pinjaman lebih awal dan Batshuayi dihantar balik ke Chelsea pada bulan Januari.

Michy menunjukkan potensi beliau yang sebenar ketika mewakili Dortmund musim lepas.

Chelsea yang sudah mempunyai Higuain dan Olivier Giroud di jentera serangan melihat Batshuayi sebagai pemain lebihan dan berusaha untuk mencari kelab untuk beliau sertai sehingga hujung musim ini.

Seteru London, Tottenham Hotspurs dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Batshuayi secara pinjaman selepas kecederaan yang melanda Harry Kane dan Dele Alli.

Walau bagaimanapun, sebuah lagi kelab London iaitu Crystal Palace berjaya memenangi perlumbaan untuk menandatangani Batshuayi selepas perbincangan di antara Chelsea dan Spurs terhenti atas sebab-sebab tertentu.

“Ini merupakan perpindahan yang fantastik buat Crystal Palace.” Beritahu pengerusi Crystal Palace, Steve Parish.

“Batshuayi  merupakan pemain yang sudah lama kami idamkan dan saya gembira kami akhirnya berjaya mendapatkan beliau dalam baju biru dan merah [warna Crystal Palace]. Batshuayi bakal menjadi penambahan yang sangat baik kepada skuad kami.”

Palace kini menduduki tangga ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris dan bakal berdepan Fulham dalam perlawanan yang seterusnya. Perlawanan terakhir mereka menentang Southampton berakhir dengan keputusan 1-1.

Pada hujung minggu lalu, Palace mencipta kejutan apabila menyingkirkan Spurs dari Piala FA untuk layak ke pusingan ke-5, hasil jaringan daripada Andros Townsend dan Connor Wickham.

BACA:  Sarri: Saya Akan Dipecat Jika Gagal Raih Sebarang Trofi Dalam Masa Empat Tahun