Thiago Alcantara Tidak Tolak Kemungkinan Kembali Sertai Barcelona

Pemain Bayern Munich, Thiago Alcantara tidak menolak kemungkinan kembali menyertai kelab lamanya, Barcelona pada masa hadapan. Thiago menyertai Bayern Munich pada tahun 2013 selepas tidak berpuas hati dengan minit permainan yang diperolehi beliau ketika itu.

Thiago telah membuka pintu hatinya untuk kembali pulang bermain di Sepanyol bersama Barcelona, tetapi menegaskan beliau masih gembira untuk kekal bermain bersama juara Jerman itu. Thiago menyertai Bayern Munich untuk kembali bergandingan dengan Pep Guardiola yang menguruskan Bayern Munich ketika itu.

Walaupun telah melakukan lebih 100 penampilan ketika bermain bersama skuad Catalan tersebut, Thiago telah dibenarkan untuk berpindah keluar dengan yuran perpindahan sekecil £17juta sahaja.

Jika dibandingkan dengan apa yang dibayar kelab bolasepak hari ini, jumlah tersebut amatlah rendah memandangkan kualiti yang dimiliki Thiago. Thiago berjaya memenangi 4 kejuaraan La Liga dan 1 medal Liga Juara-Juara Eropah ketika bermain bersama Barcelona.

Perjalanan Thiago di Jerman tidak bermula dengan baik kerana beliau gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama untuk dua musim pertamanya di Allianz Arena.

Tetapi tidak lama kemudian, Thiago mula menunjukkan prestasi sebenarnya dan sejak itu, beliau dianggap pemain paling penting dalam bahagian tengah Bayern Munich. Ketika bercakap kepada Catalunya Radio, beliau telah ditanya mengenai sebarang kemungkinan untuk kembali menyarung jersi Barcelona.

“Barcelona akan selalu menjadi rumah saya, kerana saya cintakan kelab dan bandar ini. Saya selalu terbayang kenangan manis ketika bersama Barcelona. Kamu tidak akan tahu bila saya akan pulang kerana saya amat gembira di Bayern Munich tetapi dunia bolasepak boleh berubah dalam sekelip mata. Segalanya boleh berlaku.”

Selepas menghasilkan persembahan cemerlang bersama kelab yang diwakilinya sekarang, Bayern telah bertindak pantas untuk mengikat kontrak beliau sehingga tahun 2021.

Terdapat juga laporan pada tirai perpindahan pemain lalu yang mana mengatakan Barcelona akan cuba mendapatkan Thiago andainya mereka gagal membawa masuk Philippe Coutinho dari Liverpool.

Thiago Alcantara mengakui perjalanan karier bolasepaknya mungkin akan berakhir dengan beliau kembali pulang bermain di Nou Camp.

“Saya menandatangani kontrak baru musim lepas dengan niat untuk kekal lebih lama di Jerman. Akan tetapi, selepas beberapa musim, kamu mungkin akan berasa lebih atau kurang selesa. Haluan kelab mungkin akan menuju ke arah yang berlainan dengan apa yang saya tuju. Peluang bermain dalam pasukan utama juga boleh mengubah pendirian saya.”

“Saya amat gembira sekarang dan hanya memikirkan musim di hadapan saya. Musim ini masih lagi panjang dan hanya itu sahaja yang perlu difikirkan sekarang ini. Selepas tamat musim ini, ketika itulah baru kamu bermuhasabah diri samada musim itu berlangsung dengan baik atau tidak. Tetapi buat masa ini, saya gembira untuk kekal di Bayern.”

Thiago mempunyai seorang yang adik yang kini bermain bersama Barcelona iaitu Rafinha Alcantara. Rafinha gagal untuk melakukan sebarang penampilan bersama skuad utama Barcelona sejak April lalu kerana mengalami kecederaan pada bahagian lututnya.

Tetapi Thiago telah memberikan kata-kata semangat kepada adiknya untuk kembali merebut tempat dalam skuad Ernesto Valverde.

“Rafinha telah menjadi lebih matang selepas mengalami kecederaan. Beliau telah belajar bagaimana untuk menjaga diri dengan lebih baik dan beliau akan kembali mendapatkan tempatnya dalam skuad Barcelona apabila sembuh nanti.”

Baca Juga

Baca Juga