Thomas Lemar Buat Kejutan Dengan Memilih Untuk Menyertai Atletico Madrid

Naib juara La Liga musim lalu, Atletico Madrid membuat kejutan apabila mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Monaco bagi mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Perancis, Thomas Lemar.

Lemar merupakan pemain yang menjadi sasaran banyak kelab ternama Eropah termasuk Liverpool dan Arsenal. Beliau hampir berpindah ke Arsenal tahun lepas pada saat-saat akhir jendela perpindahan dengan Monaco bersetuju dengan harga yang ditawarkan Arsenal ketika itu.

Lemar bakal menjadi pembelian pertama Atletico Madrid musim panas ini, besar kemungkinan bagi menggantikan tempat Antoine Griezmann.

Tetapi perpindahan tersebut tidak dapat diteruskan kerana Lemar memilih untuk kekal di Monaco kerana merasakan masanya belum sesuai untuk berhijrah keluar dari Perancis.

Lemar mengharungi musim yang agak sederhana musim lepas jika dibandingkan dengan musim yang sebelumnya dimana beliau berjaya membantu Monaco menjuarai Ligue 1 bersama Kylian Mbappe dan Radamel Falcao.

Akibatnya saham beliau sedikit menurun dan harganya juga tidak setinggi seperti sebelum ini. Dan dalam perkembangan terbaru, Lemar akhirnya mengambil keputusan masanya sudah tiba untuk beliau memulakan fasa baru dalam kariernya dengan berpindah ke Atletico Madrid.

Lemar tersenarai dalam skuad Perancis yang akan beraksi di Piala Dunia nanti.

“Atletico Madrid dan Monaco telah mencapai persetujuan awal bagi perpindahan Thomas Lemar ke kelab kami.” Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Atletico Madrid malam tadi.

“Dalam beberapa hari selepas ini, kedua-dua kelab akan mencari jalan untuk mencapai persetujuan bagi memuktamadkan perjanjian ini.”

Atletico Madrid dilaporkan akan membayar £52.7 juta kepada Monaco untuk Lemar, nilai yang jauh lebih rendah daripada tawaran Arsenal tahun lepas yang berjumlah hampir £92 juta.

Lemar kini sedang bersama skuad kebangsaan Perancis yang sedang melakukan persiapan bagi menghadapi Piala Dunia 2018 di Russia yang akan bermula malam esok. Perancis akan memulakan kempen mereka Sabtu ini dengan pertemuan menentang Australia.

Perpindahan Lemar ke Atletico Madrid dijangkan akan memberi kesan kepada keputusan Antoine Griezmann sama ada akan terus kekal atau berpindah. Griezmann kini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Adakah Lemar dan Griezmann bakal bergandingan di Wanda Metropolitano musim hadapan ?

Walau bagaimanapun, bekas pemain Real Sociedad ini masih lagi berteka-teki mengenai masa depannya dan enggan mengesahkan sama ada beliau akan berpindah atau terus kekal di Wanda Metropolitano.

“Hari ini bukan hari yang sesuai untuk bercakap mengenai masa depan saya. Betul, saya sudah membuat keputusan mengenai perkara tersebut tetapi saya tidak akan mendedahkannya hari ini. Ini bukan masa dan tempat yang sesuai untuk mengumumkan perkara tersebut.”

BACA:  RASMI: Griezmann Akan Tinggalkan Atletico Madrid Hujung Musim Ini