“Tiada Keraguan Lagi”- Messi Anggap Pemenang Anugerah Ballon D’or Tahun Ini Sudah Boleh Disahkan

Bintang Paris Saint Germain, Lionel Messi menyatakan yang tiada keraguan lagi tentang siapa yang bakal memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Pemain penyerang Real Madrid, Karim Benzema merupakan antara calon kegemaran untuk memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu pada tahun ini.

Beliau dikatakan berhak untuk memenangi anugerah itu selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh dasyat sepanjang musim ini bersama Real Madrid.

Beliau berjaya membantu Real Madrid untuk memenangi gelaran Champions League musim ini selepas kejayaan mereka menewaskan Liverpool di pentas perlawanan akhir.

Ia merupakan gelaran Champions League kelima Ronaldo sepanjang kariernya bersama kelab dan ia juga merupakan piala ke-14 Real Madrid di pentas saingan Champions League.

Madrid berjaya mencatatkan kemenangan menewaskan Liverpool walaupun gergasi Premier League itu lebih dominan dalam perlawanan tersebut.

Gol jaringan Vinicius Jr pada minit ke-59 dalam perlawanan tersebut sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan berpihak kepada Los Blancos.

Thibaut Courtois sendiri dalam perlawanan itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa dasyat dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap beliau wira sebenar yang membantu Real bergelar juara.

Liverpool memiliki banyak kesempatan emas untuk menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut namun kesemuanya berjaya dinafikan oleh Courtois.

Benzema memainkan peranan penting untuk membantu Real Madrid layak ke pentas perlawanan akhir dengan beliau kerap menjaringkan gol-gol penting untuk skuad kendalian Carlo Ancelotti itu.

Beliau merupakan nadi penting yang membantu Real Madrid menewaskan gergasi Eropah seperti Paris Saint Germain, Chelsea, Manchester City dan Liverpool di pentas perlawanan akhir.

Beliau mengakhiri saingan musim ini sebagai penjaring terbanyak saingan Champions League selepas menjaringkan 15 gol, dua gol mengatasi Robert Lewandowski.

Pemenang tujuh kali gelaran Ballon D’or, Lionel Messi tampil memberi pandangan beliau tentang siapa calon paling layak untuk memenangi anugerah itu pada tahun ini.

Beliau percaya yang Karim Benzema sangat berpotensi untuk memenangi anugerah itu pada musim ini.

Bercakap kepada TyC Sports:

“Saya fikir tak diragukan lagi, ia sangat jelas yang Benzema telah mengharungi tahun yang menakjubkan dan akhirnya turut berjaya memenangi gelaran Champions League, dia menjadi watak penting sejak di pusingan 16 terbaik hingga ke perlawanan akhir.”

“Saya fikir tidak diragukan lagi dia akan menang tahun ini.”

Sukar sebenarnya untuk menafikan hak Benzema untuk memenangi anugerah tersebut apa lagi selepas memikirkan kehebatan beliau menjaringkan 44 gol dari 46 penampilan dalam semua pertandingan musim ini untuk Real Madrid.

Selain menjaringkan gol yang banyak, beliau turut berjaya mencatatkan 15 assists untuk membantu Real Madrid menjuarai saingan Champions League dan La Liga musim ini.

Legenda Arsenal, Thierry Henry turut menyatakan yang Benzema jelas sekali layak untuk menjadi penerima anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Bercakap kepada CBS Sports selepas tamat perlawanan tersebut, Henry mendedahkan bahawa:

“Saya hanya ada satu pesanan untuk France Football. Tutup saja undian Ballon D’or sekarang. Karim Benzema sudah memenanginya. Selamat tinggal.”

Benzema sebelum ini sering dianggap menjadi bayang-bayang Cristiano Ronaldo ketika karier bintang Portugal itu di Santiago Bernabeu.

Namun selepas pemergian Ronaldo menyertai Juventus, Karim Benzema berjaya menggantikan tempatnya dan menjadi nadi penting serta bintang besar Real Madrid.

Menurut kajian dari beberapa pakar, Karim Benzema merupakan calon pilihan untuk memenangi anugerah tersebut dan pemain seperti Sadio Mane, Kevin De Bruyne dan Mo Salah bakal menjadi pencabar terdekatnya.

Namun melihat kepada pencapaian dan statistik, Karim Benzema jelas sekali sangat berhak untuk memenangi anugerah itu pada tahun ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Pertikai Keputusan VAR Yang Menilai 'Handball' Messi Dan Benzema