‘Tiada Negara Lebih Besar Daripada Jay Chou’, Peminat Bengang Cuma 59,000 Tiket Sahaja Dijual

Sebelum ini Bernama melaporkan bahawa hanya 59,000 tiket dijual bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini (7 Jan).

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata perkara itu berikutan 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

FAM turut mengumumkan harga tiket perlawanan itu kekal seperti aksi peringkat kumpulan iaitu RM30 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak (6-12 tahun) bagi tempat duduk terbuka, manakala RM50 bagi tempat duduk premium dan RM60 bagi tempat duduk grandstand.

“Situasi ini tidak dapat dielakkan. FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik memastikan aksi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF ini dilangsungkan di Stadium Nasional berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

“Harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka ini sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada edisi 2018 dan adalah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika perlawanan separuh akhir Malaysia lawan Vietnam pada 2014,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Konsert Jay Chou, artis terkemuka dari Taiwan, akan berlangsung pada 15 Jan di Stadium Nasional.

Noor Azman berkata tiket bagi perlawanan itu hanya akan dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my bermula 3 petang Rabu.

Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik menentang di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada 10 Jan.

Sementara itu, FAM turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my, berikutan terdapat penjualan tiket palsu bagi perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

“FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku,” tegasnya.

Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 semalam. Vietnam muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

Sekiranya berjaya menundukkan pasukan paling cemerlang, Thailand, yang mempunyai enam gelaran, Harimau Malaya akan bertemu pemenang antara Vietnam dengan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Jan ini.

Pada Khamis, FAM memuat naik status penghargaan kepada peminat Harimau Malaya yang telah membeli habis kesemua 59,000 tiket perlawanan separuh akhir 1 menentang Thailand.

Namun masih ramai yang bengang dengan sikap FAM dan mereka yang bertanggungjawab kerana membuatkan 21,000 lagi tiket tidak tersedia untuk dibeli kerana Jay Chou.

Oleh sebab itu, di media sosial peminat mulai menyindir: “Tiada kelab lebih besar daripada negara, tiada negara lebih besar daripada Jay Chou.”

Mereka benar benar kecewa kerana Jay Chou ternyata lebih penting daripada Harimau Malaya.

Malaysia dalam misi penting untuk menamatkan penantian kejuaraan Piala AFF. Lawan mereka bukan calang calang, tetapi juara bertahan, Thailand.

Di media sosial para peminat berterusan meluahkan kemarahan mereka kerana ketika pasukan Malaysia memerlukan sokongan padu daripada penyokong, pihak Perbadanan Stadium Malaysia dan FAM gagal mencari solusi untuk memaksimumkan kapasiti penyokong.

Semuanya kerana Jay Chou.

Siapakah Jay Chou?

Menurut Wikipedia: Jay Chou merupakan selebriti yang lahir 18 Januari 1979. Dia merupakan penyanyi dan pelakon yang serba boleh.

Jay yang berasal dari Taiwan ini sangat popular kerana dia banyak menulis lagu untuk artis lain dan semua lagu dalam albumnya ditulis dan digubah olehnya sendiri.

Walaupun Jay sebenarnya sukakan muzik klasik, banyak lagunya menggabungkan unsur muzik tradisional Cina dan muzik barat serta menggabungkan R&B, pop, rock dan hip-hop. Pencapaian Jay di persada antarabangsa cukup luar biasa kerana pernah memenangi Anugerah Muzik Dunia sebanyak 4 kali.

Jay Chou mula memasuki industri muzik apabila dia muncul dalam pertunjukan bakat pada tahun 1998 sebagai pemain piano dan penulis lagu dan dia membuat persembahan bersama rakannya.

Walaupun persembahan mereka tidak menyerlah, penerbit dapat melihat bakat luar biasa Jay. Akhirnya Jay diupah sebagai komposer dan pencipta lagu untuk artis lain.

Akhirnya pada tahun 2000, Jay mengeluarkan album pertamanya yang berjudul “Jay”, yang pada masa pelancarannya, album itu segera menjadi hit. Sejak itu, Jay kerap mengeluarkan album setiap tahun.

Album-albumnya mendapat perhatian besar di kalangan Komuniti Berbahasa Cina Antarabangsa (termasuk tanah besar China, Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Indonesia). Sehingga kini sekurang-kurangnya Jay telah menjual kira-kira 25 juta rekod di seluruh dunia.

Pada tahun 2005, Jay membuat debutnya dalam lakonan menerusi filem Initial D, siri manga popular di Jepun yang diadaptasi ke skrin besar.

Di sana dia melakonkan watak utama, Takumi Fujiwara, dalam filem itu Jay dapat mempamerkan bakat lakonannya yang juga luar biasa, akhirnya Jay memenangi anugerah sebagai pendatang baru terbaik di Anugerah Kuda Emas ke-42 untuk lakonannya dalam Initial D.

Berturut-turut, Jay mula muncul di skrin besar, iaitu dalam filem kolosal Curse of Golden Flower bersama Chow Yun Fat dan Gong Li, yang dikeluarkan pada tahun 2006, serta dalam filem drama romantik yang dibintanginya dan diarahkan sendiri, “Secret” yang dikeluarkan pada tahun 2007.

Kemudian Jay mengeluarkan filem komedi sukan Kung-Fu Dunk pada tahun 2008. Dalam filem yang dibintanginya, Jay sentiasa mencipta lagu dan menyanyikannya untuk runut bunyi filem itu.

Malah dalam salah satu filem aksi terbaru “Fearless”, lakonan superstar kung fu, Jet Li, Jay turut diminta mengarang dan menyanyikan runut bunyi filem tersebut.

BACA:  Hannah Yeoh Beri Penjelasan Mengenai Isu Pentas Jay Chou