Tiga Bintang Ulsan Hyundai Didenda RM53,000 Kerana Komen Perkauman Persenda Pemain Asia Tenggara

Tiga pemain dari Korea Selatan Park Yong-woo, Lee Gyu-seong dan Lee Myung-jae dijatuhkan hukuman gantung 1 perlawanan dan denda sebanyak 15 juta won (bersamaan RM53,000) oleh Jawatankuasa Disiplin K-League kerana komen berbaur perkauman di Instagram.

Walaupun komen tersebut dilakukan untuk tujuan gurauan dan ditujukan sesama mereka, perbuatan ketiga-tiga pemain Ulsan Hyundai ini dianggap menggambarkan sikap diskriminasi yang tidak dialu-alukan di dalam bola sepak.

Rakan sepasukan mereka, Jung Seung-hyun bagaimanapun terlepas daripada dakwaan yang sama.

Pada 11 Jun lalu, laporan Korea Football News mendedahkan perbualan Park Yong-woo dan Lee Gyu-seong yang mempersendakan menggelar rakan sepasukan mereka Lee Myeong-jae sebagai ‘Sasalak’ dan pemain ‘kuota Asean’.

Yong-woo dan Kyu-seong menyamakan Myeong-jae dengan pemain Buriram United dan Thailand, Sasalak Haiprakorn kerana kulit gelap yang dimiliki rakan sepasukan mereka itu.

Komen yang dilakukan di Instagram itu turut mendapat balasan oleh Myeong-jae dengan komen yang tidak menyenangkan.

Tindakan ketiga-tiga pemain mendapat kecaman penyokong bola sepak di Korea Selatan sehingga memaksa Ulsan Hyundai mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memohon maaf.

Selain itu, Ulsan turut memohon maaf kepada pemain Thailand, Sasalak Haiprakhon yang menjadi sasaran kepada komen perkauman oleh ketiga-tiga pemain.

Seperti semua sedia maklum, K-League menyediakan satu slot khas untuk pemain asing dari Asia Tenggara.

Hukuman dan denda sedemikian rupa merupakan yang kali pertama di dalam tempoh 40 tahun berlaku di K-League.

Selain pemain, Ulsan Hyundai turut didenda 53 juta Won (RM106,000) kerana gagal mendidik pemain mereka.

Bagaimanapun sehingga kini, tidak ramai pemain dari rantau ini yang berjaya melakukan penampilan di liga utama Korea Selatan itu kerana perbezaan kualiti dan jurang kompetitif yang dimiliki oleh liga itu.

Nama Sasalak sebenarnya tidak asing di kalangan peminat dan pemain yang beraksi di K-League.

Ini kerana pemain tengah Thailand itu pernah beraksi bersama Jeonbuk Hyundai pada 2021 sebelum kembali ke Buriram pada musim berikutnya.

Walaupun tidak beraksi di K-League 1 beberapa pemain dari Asia Tenggara lain beraksi di K-League 2 seperti Kogileswaran Raj (Chungbuk Cheongju), Nguyen Van Toan (Seoul E-Land), Nguyen Cahn Anh, Vu Minh Hieu (Cheonan City), dan Asnawi Mangkualam (Jeongnam Dragons).

BACA:  AFC Champions League: Ulsan 1-2 JDT