Tiga Sebab Kenapa Liverpool Bakal Gagal ke Liga Juara-juara Musim Ini

Pasukan Merseyside, Liverpool, telah menduduki tangga keempat Premier League musim lalu dan layak untuk bermain di pusingan kelayakan ke Liga Juara-juara (UCL) musim ini. Selepas undian pada 5 Ogos 2017, Liverpool dijadualkan bertemu pasukan di tangga keempat Bundesliga, TSG Hoffenheim.

Hoffenheim mengejutkan ramai pihak terutamanya di Jerman apabila muncul sebagai satu pasukan yang liat untuk ditewaskan dalam liga musim lalu. Keseluruhannya, mereka hanya tewas empat kali – kedua terendah di belakang Bayern Munich yang hanya tewas dua kali.

Pertemuan menentang Hoffenheim ini dijangka akan memberikan masalah besar kepada Liverpool walaupun mereka telah membeli Salah. Setelah analisisi secara rambang dilakukan, kami temui tiga sebab kenapa Hoffenheim akan layak ke peringkat kumpulan UCL, menyingkirkan Liverpool.

Serangan Hoffenheim yang Menggerunkan

Hoffenheim kebiasaannya menggunakan taktik 3-1-4-2, satu taktik yang jelas menunjukkan bahawa mereka hana mempunai empat pemain yang perlu fokus kepada pertahanan dn selebihnya menumpukan perhatian untuk mencipta gol.

Mereka juga bakal meletakkan harapan untuk menjaringkan gol di bahu dua penyerang utama mereka – Sandro Wagner dan Andrei Kramaric, di mana kedua-dua mereka masing-masing telah menjaringkan 11 dan 12 gol musim lalu.

Wagner pula bukan sekadar menjaringkan gol, dia juga membantu untuk membantu pergerakan pemain tengah dengan mengawal bola dengan kemas, menggunakan kekuatan fizikalnya. Apabila dia mendapat bola, pemain tengah akan melakukan pergerakan untuk mencari ruang memudahkan serangan direncana menghala ke kubu lawan.

Selain faktor dua penyerang tersebut, taktikal Hoffenheim yang secara keseluruhannya bermain dengan sistem ball posession dan serangan balas seringkali melemaskan pihak lawan. Dalam bundesliga musim lalu, hana Bayern dan Dortmund yang mempunyai posession lebih daripada kelab barat daya Jerman ini.

Yang penting, setiap pemain yang menerima bola sudah tahu ke mana arah yang patut dituju.

Pertahanan Liverpool yang dikemudi Joel Matip, Dejan Lovren dan Ragnar Klavan pasti akan berhadapan kesukaran untuk membaca gerakan-gerakan yang bakal dilakukan oleh rangkaian penyerang Hoffenheim.

Konflik Philip Countinho

Sejak tahun 2013, Philip Coutinho telah menjadi nadi utama pasukan Liverpool. Mana tidaknya, Coutinho telah membantu pasukan tetap tangga ketujuh atau kelapan ini muncul naib juara liga pada musim pertamanya. Kalau tidak kerana tergelincirnya Steven Gerrard, pasti Liverpool sudah menjadi juara.

Daripada seorang pemain yang hanya tahu menggelecek, permainan Coutinho telah meningkat kepada seorang perancang utama, mampu melakukan jaringan jarak jauh dan melakukan assist kepada rakan-rakan penyerang termasuklah Mario Balotelli.

Segalanya tampak indah buat pasukan Liverpool, sehinggalah Paris Saint Germain membeli penyerang Barcelona, Neymar Jr.

Dengan wang jualan Neymar berjumlah €222 juta masih belum terusik, Barcelona dikatakan nekad mahu membeli Coutinho.

Selaku kelab yang mahu memburu kejuaraan pada musim ini Liverpool pasti mahu mengekalkan pemain terbaik mereka ini dan menolak bidaan Barca yang dikatakan bernilai €100 juta. Liverpool juga memberikan amaran kepada Barca supaya berhenti mengganggu permata hati mereka itu.

Akan tetapi, nak dijadikan cerita, Coutinho sendiri telah menghantar permohonan perpindahan kepada pengurusan Liverpool, walaupun ditolak mentah-mentah.

Dengan kata lain, hati Coutinho sudah berada di timur Sepanyol dan rasa ingin bermain untuk Liverpool sudah pasti hilang ditelan angin.

Oleh itu, Klopp perlu menurunkan pengganti pemain Brazil ini untuk menentang Hoffenheim nanti. Dengan Sturridge dan Adam Lallana masih dibelenggu kecederaan, Liverpool pasti akan bergantun harap kepada pemain bintang baharu mereka, Mohamed Salah atau Dominic Solanke.

Faktor Nagelsmann

Tiga minggu selepas Liverpool melanti Klopp pada tahun 2015, Hoffenheim mengambil langkah berani dengan menaikkan pangkat pengurus pasukan bawah 19 tahun mereka yang ketika itu berusia 28 tahun untuk menjadi pengurus baharu.

Nagelsmann merupakan bekas pemain Augsburg dan 1860 Munich, namun kariernya sebagai pemain berakhir awal dek kecederaan yang tidak dapat disembuhkan. Kemudian Nagelsmann diambil Thomas Tuchel sebagai jurulatih di Augsburg.

Nagelsmann berjaya menyelamatkan Hoffenheim daripada penyingkiran pada musim 2015-16 dan telah mengejutkan banyak pihak dengan membawa kelab ini menamatkan liga di tangga keempat Bundesliga.

Dek kecemerlangan ini juga, Nagelsmann telah diangkat sebagai jurulatih terbaik Bundesliga musim lalu.

Sebelum permulaan musim lalu, sembilan pemain baru dibawa masuk dan diadun dengan pemain lama dengan cukup bagus.

Nagelsmann menyatakan dirinya adalah ibarat pembuat kek – campur semua bahan, letak ke dalam oven dan tunggu hasilnya macam mana, sekaligus membawa kepada perubahan taktikal di Hoffenheim.

Nagelsmann juga cukup suka mengaplikasikan perubahan taktikal dalam perlawanan dan pasti ini akan menekan Liverpool nanti.

Kesimpulan

Kali terakhir Liverpool memenangi UCL ialah pada 2005, pada malam kebangkitan di  Istanbul dan pastinya para penyokong Liverpool mahu melihat pasukan mereka kembali menjulang piala paling berprestij di Eropah tersebut. Namun, dengan aktiviti perpindahan yang suram, mampukah Liverpool layak ke UCL?

Rujukan :

1- This is Anfield

2- ESPNFC

Baca Juga

Baca Juga